nuffnang

Thursday, June 13, 2013

KRITIKAN SUMBER

PENGENALAN
Menurut Kamus Dewan, kritikan bermaksud  analisis, penilaian, dan ulasan, terhadap sesuatu karya sastera, dan dll); atau ulasan tentang keburukan seseorang atau sesuatu.[1]Menurut Yusof Ibrahim, sumber boleh didefinisikan sebagai suatu yang boleh dijadikan punca kepada lahirnya sesuatu pemikiran atau penulisan.[2]Jadi, secara ringkasnya, kritikan sumber pula bolehlah dikatakan sebagai penilaian yang dibuat terhadap sesuatu bahan yang dijadikan bukti terhadap sesuatu dakwaan atau penulisan.
            Kritikan sumber  melibatkan dua sumber iaitu sumber primer  dan sumber sekunder. Sumber primer adalah sumber yang biasanya dalam keadaan asli atau belum ditafsir dan diperlengkapkan lagi. Contohnya surat tidak rasmi, catatan, laporan harian, diari, dan lain-lain.Sumber kedua pula ialah sesuatu sumber lain yang telah diperoleh daripada sumber primer. Contohnya ialah buku, majalah, tesis dan sebagainya. Kebiasaannya, sumber primer menjadi pilihan sejarawan memandangkan sumber ini memepunyai maklumat yang tepat untuk diselidiki manakala sumber sekunder hanya digunakan untuk mengukuhkan sesuatu hujah mereka sahaja.[3]

TUJUAN KRITIKAN SUMBER
            Antara tujuan sesuatu kritikan sumber dibuat adalah untuk mengetahui ketepatan sesuatu fakta memandangkan ramai ahli sejarah yang mengganggap diri mereka hebat dalam sejarah sedangkan apa yang mereka bincangkan adalah tidak mempunyai asas dan bukti yang kukuh dalam bidang ini.[4] Terdapat juga ahli sejarah yang menganggap hasil tulisan mereka bersifat muktamad iaitu tanpa perlu penyelidikan lanjut dan tidak memerlukan pendapat pihak lain.Kaedaan ini akan menjadikan bidang sejarah terlalu sempit dan terlalu terikat pada sesuatu  hanya disebabkan oleh keegoan ahli-ahli sejarah.[5]

Kritikan  yang telus dan membina juga amat penting dalam memberi penjelasan yang tepat  dan boleh diterima oleh ahli sejarah yang lain.[6] Keadaan ini akan mewujudkan keharmonian dalam perhubungan antara ahli sejarah sekaligus menghasilkan satu penulisan yang berkualiti   hasil daripada penjanaan idea antara mereka.
           
Kritikan turut membantu dalam menjalankan penyelidikan aspek kaedah dan pendekatan sejarah seperti seperti tafsiran sumber. Dalam pentafsiran sumber, kaedah yang sesuai perlu digunakan bagi menghasilkan tafsiran yang tepat. Proses  pentafsiran sumber amat bergantung kepada proses kritikan. Ini kerana tanpa proses kritikan yang berterusan, ahli sejarah tidak dapat mengetahui data dan maklumat yang terdapat dalam sesuatu sumber dan dokumen. Jadi, kritikan membantu  memudahkan pentafsiran sumber.
           
Kritikan turut dilakukan bertujuan untuk mengetahui siapa penulis dan dari mana sumber dihasilkan supaya ahli sejarah dapat mempercayai kesahihan sesuatu sumber itu. Jadi, ahli sejarawan bebas membuat sebarang tafsiran atau tulisan asalkan mempunyai sumber-sumber yang cukup bagi mengukuhkan dan membenarkan tafsiran yang dibuat. Sumber tersebut perlulah disertai dengan nama penulis dan tempat ia dihasilkan agar tiada sesiapapun dapat menyangkal hasil tafsiran mahupun tulisan mereka.

            Kritikan sumber boleh dibahagikan kepada dua, iaiti kritikan luaran dan kritikan dalaman. Kritikan luaran adalah lebih tertumpu kepada menentusahan ketulenan sesuatu sumber yang diguna oleh ahli sejarah. Manakala kritikan dalaman lebih tertentu untuk kredibiliti sesuatu sumber tersebut.
KRITIKAN LUARAN
Definisi
               Kritikan luaran merupakan suatu usaha mengesahkan ketulenan atau kesahihan sumber asli itu. Usaha ini dilakukan bagi menyelesaikan masalah yang mempunyai kaitan dengan perbuatan pemalsuan sesuatu sumber. Istilah “kritikan”, yang digunakan umum untuk merujuk kepada proses penafsiran bukti, tidak lagi dipandang sebagai ‘satu pendirian mental yang negatif semata-mata’ bahkan sebagai ‘satu ujian untuk kebenaran’. Menurut Bloch, kritikan luaran ini berpunca daripada sikap sangsi terhadap keterangan-keterangan yang diberikan oleh saksi-saksi tentang masa lampau, dan kaedah-kaedah yang berkesan telah dicari yang “membenarkan pengasingan kebenaran daripada pendustaan”.[7] Sebab lain kritikan luaran ini timbul ialah bertujuan untuk mengesahkan sesuatu tuntutan politik.

               Kritikan luaran melibatkan penyiasatan terhadap sumber asal yang khusus. Ahli sejarawan perlu mendapatkan semua maklumat yang mempunyai kaitan dengan sumber  asal dan berusaha untuk mengembalikan sumber kepada bentuk asal.[8] Kritikan menentukan ketulenan sumber bermaksud membuktikan keterangan lisan atau bertulis yang diperolehi.  Oleh sebab itu, mendapatkan semua maklumat berkaitan dengan sumber asli tersebut dimestikan bagi membuktikan integriti sumber tersebut. Sebagai contoh memastikan sumber tersebut tidak rosak semasa peralihan ke zaman sekarang, dan sekiranya mengalami kerosakan maka perubahan tersebut perlu dikenalpasti.     

Cara untuk menentukan ketulenan sesuatu dokumen.
Ujian Kimia
               Ujian kimia dilakukan bertujuan unuk menentukan umur sebenar sesuatu dokumen. Pemeriksaan dokumen ini melibatkan tentang penelitian terhadap keadaan kertas, dakwat, dan cap yang digunakan. Proses ini dilakukan kerana dalam penghasilan sesebuah dokumen, keadaan kertas, dakwat dan cap di dalamnya akan berubah mengikut peredaran masa dan zaman dari segi bahan-bahan yang digunakan. Pakar-pakar kimia boleh memastikan sama ada sesuatu dokumen itu benar-benar dikeluarkan pada masa yang didakwa oleh pihak-pihak yang memilikinya. Ujian kimia ini dapat membantu ahli sejarah dalam menentukan usia kertas, dakwat, dan lain-lain bahan yang digunakan dalam menghasilkan sumber tersebut.


Ujian Bahasa
               Ujian bahasa penting dijalankan oleh ahli sejarah kerana gaya bahasa di dunia ini adalah dinamik dan berubah mengikut zaman. Gaya bahasa sentiasa berubah dari sudut nahu, struktur ayat, ejaan, istilah, tanda baca dan sebagainya. Sebagaimana yang dinyatakan oleh G.J. Garraghan: “Gaya tulisan Latin oleh Livy yang bertarikh abad pertama tidaklah serupa dengan gaya tulisan Latin Einhard pada abad yang ke-9.”[9]. Masalah-masalah ini sering dihadapi oleh ahli sejarah dan mereka tidak dapat mengelakkannya kecuali ahli sejarah kerap kali merujuk sumber sejarah pada zaman dahulu. Sememangnya, ahli sejarah perlu mempunyai kemahiran dan memahami bahasa sebagai satu peraturan.

Ujian tulisan tangan
               Ujian ini hanya dapat dijalankan terhadap dokumen yang ditulis dengan tangan
dan bukan ditaip atau dicetak. Sebagaimana yang diutarakan oleh Garraghan,
 “tulisan tangan adalah satu ciri yang yang tersendiri”[10] dan pakar-pakar dalam bidang ini boleh mendedahkan perbuatan untuk meniru tulisan tangan orang lain. Misalnya, dalam kes pemalsuan Buku Harian Hitler itu,semua catatan telah dibuat dalam tulisan tangan Hitler, termasuklah menurunkan tandatangan Hitler pada tiap-tiap muka buku harian itu. Pakar-pakar telah menguji ketulenan dokumen itu dengan membandingkan tulisan tangan itu dengan dokumen-dokumen lain yang ditulis oleh Hitler. Kaedah perbandingan ini dapat mengenalpasti ciri-ciri persamaan dan perbezaan yang dihasilkan oleh seseorang yang sama ataupun individu yang berlainan. Kebanyakan sumber-sumber sejarah dalam  bentuk dokumen yang lebih awal yang wujud pada zaman lampau ditulis dengan tangan. Namun begitu, kebanyakan sumber yang terdapat pada hari ini dan sekitar pertengahan abad ke-19 dan ke-20 wujud dalam keadaan bertaip atau dicetak. Lazimnya, ujian tulisan tangan ini dilakukan oleh ahli sejarah sendiri berdasarkan pengetahuan, kemahiran dan pengalaman mereka menggunakan sumber sejarah dalam bidang penyelidikan.

Ujian bahan-bahan yang digunakan dalam buatan dokumen
               Akhirnya, ketulenan sesuatu dokumen boleh juga dipastikan dengan menentukan bahan-bahan yang digunakan dalam menghasilkan dokumen itu memang wujud pada masa yang ditarikhkan dalam dokumen itu sendiri. Misalnya, jika kertas digunakan sebelum tahun 1150 T.M., boleh dikatakan bahawa dokumen itu palsu kerana pada masa itu hanya kulit kambing digunakan sebagai kertas dokumen. Begitu juga dengan sebuah dokumen yang tulisannya dibuat dengan pensil dan didakwa telah dikeluarkan pada abad yang ke-15. Kita boleh menyatakan bahawa dokumen itu palsu kerana pensil hanya mula digunakan pada abad yang ke-16. Keputusan yang sama juga boleh dibuat tentang sebuah dokumen yang bercetak yang ditarikhkan pada tahun 1350, kerana teknik percetakan hanya diperkenalkan pada abad yang ke-15.
              
               Terdapat beberapa persoalan yang perlu dijawab dalam hal membuktikan fakta keterangan lisan atau bertulis, inilah langkah pertama. Seseorang perlu menentukan asal sumber tersebut sama seperti di mana pada asalnya ditemui.[11] Sebagai tambahan, seseorang perlu mengetahui tarikh sumber tersebut dan menentukan bagaimana dekatnya  tarikh itu berhubung dengan tajuk yang sedang diselidiki.[12] Satu hal penting lain yang perlu ditentukan ialah bagaimana sumber tersebut berkait dengan tarikh penting yang lain. Semua maklumat ini yang berhubung dengan sumber asli juga akan membuktikan kepentingannya dalam menentukan kredibiliti dalam langkah kritikan dalaman kelak. Lebih berharga untuk dicatat di sini bahawa sejarawan membezakan antara asal usul sesebuah buku dan ketulenan, walaupun “mengenalpasti penulis merupakan langkah pertama membuktikan kesahihan”[13].
              
               Langkah kedua dan langkah terakhir dalam kritikan luaran  terdiri daripada penyelidikan integriti sumber. Dalam kata lain, ia mesti menentusahan sumber atau keterangan lisan dan bertulis yang telah diperolehi oleh sejarawan tidak rosak. Hanya dengan cara demikian menjadikan keterangan lisan dan bertulis dapat dibuktikan.[14] Sekiranya terdapat perubahan yang dilakukan dalam keterangan lisan dan bertulis tersebut, sejarawan itu perlu memastikan dia boleh membezakan yang asli daripada perubahan tersebut untuk mengekalkan keaslian sumber tersebut. Walaupun mungkin terdapat penambahan dan pengurangan sama ada secara sengaja atau tidak sengaja yang dilakukan terhadap sumber asli atau salinannya, ia perlu membuktikan bahawa sumber atau keterangan lisan dan bertulis itu sekurang-kurangnya lebih banyak diperlukan untuk melengkapkan penyelidikan.
              
               Bagi Garraghan[15] pula, beliau telah membahagikan kritikan luaran kepada enam persoalan iaitu:
  1. Bila sumber yang ditulis atau tidak bertulis dihasilkan? (Tarikh)
  2. Dimana ia dihasilkan? (Lokasi)
  3. Oleh siapa ia dihasilkan? (Pengarang)
  4. Daripada apa bahan prawujud itu diperoleh? (Analisis)
  5. Apakah nilai bukti yang terkandung? (Kredibiliti)
  6. Dalam bentuk asal apa ia dihasilkan? (Integriti)
R.J Shafer pula berkata bahawa: “it sometimes is said that its function is negative, merely saving us from using false evidence, wheres internal critism has the positive function of telling us how to use authenticated evidence”.[16]

KRITIKAN DALAMAN
            Proses kritikan dalaman dilakukan oleh ahli sejarah bermula selepas proses kritikan luaran selesai dengan sempurna. Jika kritikan luaran tujuannya adalah untuk menentukan ketulenan dan keaslian sesuatu sumber sejarah itu, maka kritikan dalaman pula bertujuan untuk menentukan kemunasabahan ataupun kewarasan (kerasionalan) tentang sesuatu isi kandungan sesuatu sumber sejarah[17]. Kritikan dalaman adalah mengenai kandungan sumber dan kebiasaanya diikuti kritikan luaran sendiri.[18]

            Tujuan dalam langkah ini adalah untuk membentuk kredibiliti sesuatu testimoni. Untuk memulakannya, ahli sejarah perlu memahami apa yang dimaksudkan saksi melalui bukti mereka. Hanya dengan itu, ahli sejarah dapat menentukan dengan betul kredibiliti saksi di bawah persoalan. Pembentukan kredibiliti saksi bermaksud membentuk kedua-dua kebolehan (yang diperkatakan diluar pengetahuan) dan  kebenaran (bahawa mereka adalah benar). Kebiasaannya, beberapa testimoni ditolak ke atas dasar ujian-ujian tersebut sebelumnya, sungguhpun testimoni-testimoni dalam jumlah yang banyak telah dibentuk sebagai dipercayai.[19]
Ahli sejarah akan mula melakukan proses tafsiran sumber setelah mengenalpasti ketulenan sumber. Terdapat beberapa aspek yang perlu ditekankan oleh ahli sejarah terhadap sumber sejarah. Ahli sejarah perlu menapis setiap sumber sejarah untuk menjamin setiap perkara atau butiran yang diambil daripada sumber boleh dipertanggungjawabkan. Hal ini bagi mengelakkan kesilapan dan kesalahan fakta sejarah yang dikemukakan oleh ahli sejarah. Di samping itu, ahli sejarah perlu mengesan fakta dan pernyataan yang dimuatkan dalam tulisan sejarah dan bukan hanya diterima secara terus daripada saksi-saksi yang diperolehi.  Selain itu, ahli sejarah perlu melakukan tafsiran sumber (interpretasi) secara rasional dari keterangan-keterangan yang diberikan oleh pelaku atau saksi sesuatu peristiwa. Pada peringkat ini, ahli sejarah perlu meneliti sedalam-dalamnya segala fakta yang terdapat dalam sumber-sumber sejarah.

            Dalam penulisan sejarah, Edward Hallett Carr menyatakan ‘before you study the history, should study historian’ and ‘before you study historian, study historical and social enviroment’.[20] Pernyataan Carr ini menunjukkan bahawa untuk memahami sesuatu peristiwa sejarah dengan baik maka perlu difahami terlebih dahulu siapakah ahli sejarahnya dengan baik dan untuk mengetahui ahli sejarah tersebut perlu diselidik persekitaran sosial dan sejarah latar belakang pendidikannya.
TAHAP TAFSIRAN SUMBER
            Proses kritikan dalaman lebih banyak menumpukan kepada proses tafsiran ke atas kandungan sumber-sumber sejarah . Terdapat beberapa tahap tafsiran sumber yang perlu dilakukan oleh ahli sejarah seperti tafsiran verbal, tafsiran teknikal, tafsiran logik, tafsiran psikologi, dan tafsiran fakta. Proses tafsiran ini dilakukan supaya dapat menentukan keaslian kandungan sumber setelah menentukan ketulenan fizikal sumber-sumber tersebut.

Tafsiran verbal dilakukan apabila seseorang menumpukan perhatian pembacaan ke atas perkataan-perkataan yang terdapat dalam sesuatu dokumen secara individu ataupun berkumpulan.[21] Tafsiran ini lebih memfokuskan kepada aspek bahasa dalam usaha untuk mengetahui makna perkataan-perkataan dalam sesuatu dokumen serta mendapatkan idea yang cuba ditonjolkan oleh penulis dokumen. Proses ini juga memerlukan pengetahuan dari sudut bahasa yang mana ahli sejarah perlu menguasai lebih dari satu bahasa seperti bahasa Inggeris, bahasa Tamil, bahasa Cina dan sebagainya. Selain itu, ahli sejarah perlu mahir dalam penggunaan bahasa dan perkembangan bahasa bagi sesuatu zaman di mana sumber dan dokumen itu diperoleh.

Misalnya, sejarah Kesultanan Melayu Melaka boleh dirujuk melalui Sejarah Melayu. Namun begitu, salah satu masalah yang dihadapi oleh ahli sejarah semasa mengkaji Sejarah Melayu ialah naskah ini wujud dalam pelbagai versi dan bahasa. Kebanyakan sumber sejarah Kesultanan Melayu Melaka ini wujud dalam bahasa Cina, Thai, Jepun, Portugis, Belanda dan bahasa Arab, Tamil dan Jawa.[22] Kebanyakan ahli sejarah Malaysia bergantung kepada terjemahan bahasa-bahasa asing ini ke bahasa Inggeris.[23] Ahli sejarah menghadapi masalah dalam mendapatkan maklumat-maklumat sejarah dalam bahasa Inggeris bahkan daripada bahasa-bahasa asing lain.

Ahli sejarah juga perlu mengetahui aspek perbendaharaan kata yang terdapat dalam  sesebuah dokumen. Dengan mengetahui aspek perbendaharaan kata ini, ahli sejarah boleh menunujukkan ketepatan makna bukan saja dari segi perkataan, sinonim, peribahasa dan sebagainya. Ahli sejarah perlu memahami bahasa sebagai peraturan semasa dengan menggunakan perbendaharaan kata dalam ayat yang lengkap. Selain itu, ahli sejarah mesti memahami bahawa sesuatu bahasa di dunia itu sentiasa berevolusi, ini bermakna satu perkataan mempunyai makna yang berlainan pada masa yang berlainan. Contoh dalam sebutan Latin, perkataan ‘resarare’ pada zaman klasik bermaksud ‘to open’, tapi makna perkataan ini berubah pada zaman pertengahan dengan membawa maksud ‘to close’.[24] Bagi menjelaskan maksud sesuatu ayat, seseorang ahli sejarah perlu mengetahui  ‘konteks tatabahasa’ yang menggabungkan antara satu perkataan dengan perkataan lain. Seterusnya ahli sejarah perlu memahami konteks sintaksis dalam sesuatu ayat.

Terjemahan pula adalah satu proses literasi di mana petikan dari satu bahasa diterjemahkan kepada bahasa yang lain  untuk menjelaskan kepada pembaca tentang pemikiran, emosi, yang sama seolah-olah dalam bahasa yang sebenar. Proses ini penting dalam memahami sesuatu dokumen ataupun sumber sejarah kerana ia menentukan ketepatan sesuatu peristiwa sejarah yang dikaji. Proses penterjemahan yang dilakukan oleh ahli sejarah yang mahir juga sering kali tidak tepat dan maksud asal sering terpesong. Hal ini berlaku disebabkan sikap sambil lewa ahli sejarah tersebut semasa membaca dan menterjamah dokumen-dokumen tersebut. Secara tidak langsung mereka telah melakukan pembacaan yang tidak tepat dan mengemukakan fakta sejarah yang salah serta hasil kajian terhadap dokumen-dokumen tersebut tidak dapat memberikan tafsiran sumber yang tepat. Proses penterjemahan ini memerlukan ketepatan dan pembacaan yang luas. Ahli sejarah perlu meningkatkan kualiti pembacaan yang luas dengan merujuk pelbagai jenis sumber . Pengetahuan yang mendalam tentang sumber-sumber sejarah akan dapat membantu di kalangan ahli sejarah apabila melakukan proses penterjemahan dan tafsiran terhadap sumber.

Lazimnya seseorang ahli sejarah akan cuba menganalisa sesuatu perkara dengan tujuan menghampiri kebenarannya.[25]  Terdapat beberapa pendekatan tafsiran yang boleh dijalankan oleh ahli sejarah antaranya adalah tafsiran teknikal. Kaedah tafsiran ini dapat menjelaskan tujuan penulisan sumber dilakukan oleh seseorang penulis dengan mengenal pasti sebarang pembacaan spesifik ke atas sumber sejarah yang digunakan.[26] Proses tafsiran teknikal adalah berdasarkan dua pertimbangan iaitu tujuan penulis dan melakukan bentuk pembacaan yang tepat. Kedua-dua pertimbangan ini dapat membezakan sumber yang hanya memberi maklumat sahaja atau sumber yang bercampur kepada ahli sejarah. Bagi ahli sejarah untuk memahami sesuatu dokumen adalah penting untuk melihat bentuk luarannya dan merujuk kepada corak serta teknik yang digunakan penulis untuk mempersembahkan kebenaran sumber-sumber sejarah. Seseorang ahli sejarah yang melakukan penyelidikan perlu memberi perhatian kepada larangan dan halangan yang dikemukakan. Sekiranya ingin merujuk kertas-kertas seperti dokumen kerajaan perlu digunakan dengan berhati-hati, jika tidak dilakukan dengan teliti dan cermat ahli sejarah akan mengemukakan fakta-fakta sejarah yang salah.

Proses seterusnya ialah tafsiran logik; merupakan satu proses yang dilakukan oleh ahli sejarah untuk menyambung pelbagai bahagian sumber mengikut kaedah pemikiran yang betul.[27] Proses ini memberikan satu jalinan peristiwa yang bersambungan dalam pemikiran sejarawan, sebelum atau sesudah sesuatu peristiwa yang berlaku. Proses penyambungan idea-idea utama boleh diperoleh dari pembacaan yang luas terhadap sumber-sumber sejarah. Ahli sejarah boleh memberikan idea dan pandangan terhadap tafsiran sumber yang dikaji tetapi hendaklah berasaskan kepada kebenaran peristiwa-peristiwa sejarah yang telah berlaku. Idea dan pemikiran ahli sejarah akan dapat membina kronologi peristiwa-peristiwa sejarah mengikut urutan masa dan tempoh terjadi. Kebolehan ahli sejarah dalam membuat tafsiran secara logik dapat mengemukakan fakta-fakta sejarah secara tepat dan sahih.

Ahli sejarah akan melakukan proses tafsiran yang seterusnya iaitu tafsiran psikologi. Proses ini adalah untuk melihat pemikiran dan karektor penulis sesuatu sumber yang dipengaruhi oleh faktor persekitaran fizikal, sosial, dan intelektual.[28] Tafsiran psikologi nerupakan proses membaca mengikut sudut pandangan bagi mendapatkan pemikiran sejarah. Proses ini biasanya berkaitan dengan idea emosi seseorang penulis atau pun ahli sejarah. Ahli sejarah bebas menggunakan emosi dalam penulisan sejarah kerana mereka bebas mengemukakan idea dan sudut pandangan masing-masing. Namun begitu, sekiranya mereka dipengaruhi oleh emosi, meraka akan menghasilkan tafsiran yang berat sebelah dan tidak bersikap profesional.

Ramai dalam kalangan ahli sejarah Barat yang terdiri daripada pegawai tadbir British yang menulis tentang Sejarah Malaysia gagal memberikan tafsiran psikologi secara tepat dan jelas. Misalnya J.M.Gullick, seorang pegawai tadbir yang berpengalaman selama 35 tahun dalam pentadbiran di Tanah Melayu dan luar negara banyak melakukan tafsiran yang berat sebelah terhadap raja-raja Melayu, kelemahan raja-raja Melayu dan pentadbiran raja-raja Melayu.Gullick pernah menggambarkan baginda Omar, Raja Terengganu tentang cara berpakaian tidak terurus, pembinaan  balai-balai rong yang agak kasar dan menunjukkan bahawa raja-raja Melayu tidak mempunyai ‘prestij’ sebagai seorang raja.[29]

Proses tafsiran yang terakhir perlu dijalankan ahli sejarah ialah tafsiran fakta. Proses ini digunakan setelah ahli sejarah berjaya memahami makna dan kandungan sumber atau dokumen yang dikaji. Proses ini dilakukan dengan mengaplikasikan satu atau lebih daripada tiga kaedah tafsiran yang diterangkan sebelum ini. Menerusi tafsiran fakta, ahli sejarah dapat mengemukakan fakta-fakta sejarah yang signifikan sama ada secara individu atau berkumpulan bagi menjelaskan sebab dan akibat sesuatu peristiwa berlaku.[30]  Menurut Ibn Khaldun, kebenaran sejarah adalah bergantung kepada kebenaran fakta yang diperolehi.[31] Beliau berpendapat peristiwa sejarah yang lepas adalah catatan bukan fakta sejarah sepertimana ia dikatakan sebagai peristiwa yang benar-banar berlaku dan kebenaran sejarah bergantung kepada kajian lanjutan yang dilakukan oleh ahli-ahli sejarah. Ini kerana ahli sejarah bukan hanya berfungsi merujuk kepada fakta semata-mata tetapi mereka berusaha menterjemahkan fakta secara tepat.

Kebanyakan ahli sejarah berpegang kepada prinsip dan kaedah bahawa “tiada sejarah tanpa interpretasi”.[32] Pandangan ini ditegaskan oleh John Cannon dalam bukunya The Historian at Work bahawa ‘ the historian is not a chronicler of the past events but an interpreter of the past and his success or failure depends to a considerable extent upon the balance he success in striking between himself and the past’.[33]  Dalam melakukan proses tafsiran ke atas fakta-fakta dan membina idea-idea yang bernas, ahli sejarah menghadapi pelbagai masalah. Ahli sejarah sukar untuk mengenal pasti secara mudah sesuatu fakta sejarah dengan hanya berdasarkan dokumen sejarah semata-mata. Ahli sejarah perlu membina pemikiran sejarah berdasarkan kandungan dokumen yang ditafsir dari sudut pandangan mereka . Sekiranya ahli sejarah gagal berbuat demikian, maka mereka hanya mengemukakan pandangan dan pemikiran bertentangan tanpa mengambil kira latar belakang serta keadaan sesuatu peristiwa yang berlaku.

CARA MELAKUKAN KRITIKAN DALAMAN
            Bagi membolehkan untuk memahami sumber atau testimoni dengan betul, ia adalah perlu untuk mengetahui jenis orang yang mencipta atau membuat sumber; dengan lain perkataan, apakah sikap dan minat mereka.[34] Seseorang perlu menyiasat  ke atas pendidikan mereka, kedudukan dalam hidupnya, pandangan politik dan sifat.[35]  Umur dan pembawaan mereka juga turut penting.[36] Pengetahuan ini juga terbukti berguna dalam faktor penentu kredibiliti saksi. Tambahan pula, ia adalah penting untuk mengetahui bagaimana dan mengapa sumber khusus berlaku sepertimana yang dimaksudkan. Selepas ahli sejarah telah memahami dengan betul kandungan testimoni tersebut dan apakah yang dimaksudkan oleh saksi,  mereka seterusnya boleh memeriksa kredibiliti saksi tersebut.

            Langkah seterusnya ialah untuk membentuk jika orang di belakang sumber adalah benar-benar dalam kedudukan yang diketahui orang pertama tentang perkara dibawah penyiasatan dan samada mereka adalah jujur. Ia dikatakan bahawa sikap yang betul pada ketika ini adalah untuk samada kedua-duanya tidak mudah tertipu atau tidak percaya bagi membolehkan melakukan keadilan kepada sumber dalam persoalan.[37] Testimoni saksi tidak boleh tidak diambil kira kecuali mereka benar-benar kehilangan kepercayaan. Ia boleh diterima kepada saksi untuk melakukan beberapa kesalahan sekiranya sisa-sisa testimoninya  benar-benar kukuh. Dalam kata-kata seorang sejarawan,
The credibilty of tetimony, then, derives from the competence and varacity of the witness, and these two qualifications must not be taken for granted. His ability to observe must be established, the opportunity to observe verified, his honesty ascertained, his testimony compared with that of other witnesses to discount the errors any one witness may make”[38]

            Juga dalam butiran yang membantu membentuk kredibiliti sumber adalah pengetahuan tentang jenis sumber, termasuklah sifatnya dan tujuannya.[39] Setiap butiran sumber mempunyai kriteria pernilaian yang tersendiri. Di samping itu, beberapa kebenaran saksi, sifat moral, dan kemampuan adalah telah pun terbentuk, khususnya mereka yang dalam kehidupan awam.[40] Oleh itu, testimoni seperti saksi tersebut tidak perlu diperjuangkan kecuali ia terbukti sebaliknya.

            Terdapat beberapa perkara sejarawan perlu berhati-hati pada langkah ini. Mereka perlu berhati-hati untuk tidak mengandaikan tentang peluang atau kesempatan saksi untuk mengamati, bermaksud mereka adalah mahir. Bukan saja ia perlu dibentuk bahawa peluang itu adalah benar, tetapi ia perlu dibentuk dimana saksi yang mahir akan mengambil peluang atau kesempatan. Perkara lain yang perlu diberi perhatian ialah kesilapan sumber biasa. Dalam senarai teratas ialah kesalahan memori dan prasangka, meskipun kelemahan seperti kemahiran pemerhatian tidak sempurna juga berdepan dengan cabaran serius.[41] Kelemahan seperti ini ke atas sebahagian saksi atau pengarang sumber lebih mudah membawa kepada salahfaham terhadap sebahagian sejarawan.

            Walaupun sejarawan enggan untuk menerima testimoni seorang saksi, mereka membenarkan dalam melakukannya asalkan saksi berkelayakan. Kebiasaannya lebih dari seorang saksi adalah baik, dan jika lebih adalah lebih baik. Sudah tentu saksi perlu mahir dan jujur, serta harus menjadi hampir dengan dilaporkan atau sekurang-kurangnya ambil pengetahuan mereka daripadanya.[42] Semakin layak saksi-saksi tersebut, semakin mudah tugasan ahli sejarawan. Mereka kemudian boleh membandingkan testimoni-testimoni dan membuang kesilapan-kesilapan di dalamnya, sama seperti menggunakan sumber mereka yang boleh dipercayai dalam menentukan kebolehpercayaan saksi atau bukti baru.

            Dalam membandingkan suatu sumber dengan yang lain bagi menentukan kredibiliti, terdapat tiga kemungkinan. Mereka boleh mempersetujuinya dengan sumber dalam persoalan, mereka boleh tidak bersetuju, atau mereka akan senyap. Persetujuan antara sumber-sumber adalah tidak cukup untuk membentuk kredibiliti sumber dalam persoalan. Ia perlu ditentukan jika sumber-sumber adalah bebas, sebaliknya seseorang akan mengesyaki konspirasi atau kebergantungan ke atas suatu sumber asal.[43] Terutama sekali jika peristiwa tersebut adalah peristiwa awam, maka perlu ada huraian atau laporan yang berdiri sendiri.

Walaubagaimanapun, jika sumber tidak dipersetujui atau berlawanan, maka seseorang perlu memeriksa darjah perbezaannya dan sifat sumber-sumber tersebut. Perbezaan pada isi dan maklumat yang kecil adalah tidak mencukupi  untuk hilang kepercayaan sumber dalam persoalan, dan pada hakikatnya ia adalah biasa dan dijangkakan.[44] Seseorang perlu berhati-hati untuk tidak keliru antara bantahan ketara dengan yang sebenarnya, dan menyedari bahawa berhati-hati dan bersabar tertakluk pada peraturan kritikan berkemungkinan akan menghuraikan bantahan yang ketara.[45] Walaubagaimanapun jika terdapat bantahan yang sebenar , maka tidak ada sumber boleh digunakan sehingga satu daripadanya mendapat kredibiliti atas beberapa dasar. Jika subjek berlaku menjadi masalah kontroversi, maka testimoni-testimoni terhadap pihak yang berminat perlu ditangani dengan penuh berhati-hati.

Kemungkinan yang ketiga pula ialah sumber menjadi senyap atas sumber dalam persoalan. Sikap ke arah demikian satu bukti adalah negatif , meskipun ia tidak ditolak dengan segera. Bagi menolak sesuatu testimoni, ia perlu dibentuk bahawa saksi atau bukti senyap adalah berkebolehan mengetahui peristiwa dan berada di kedudukan di mana mereka perlu melaporkannya.[46] Walaubagaimanapun, ini adalah sukar untuk membentuk perkara-perkara tersebut.

            Selepas ahli sejarah telah menapis terus sumber dan menggunakan peraturan kritikan luaran dan dalaman dengan ketat, seseorang itu boleh mula menulis. Pemesanan dan mensintesiskan seluruh bahan dan rujukan kepada pembinaan semula  peristiwa yang betul adalah satu cabaran yang termasuk dalam interpretasi sebahagian sejarawan. Sikap di mana mereka menginterpretasi sumber yang mereka percayai telah membentuk pembinaan semula peristiwa yang khusus.

KESIMPULAN
            Secara ikhtisarnya, kaedah penyelidikan sejarah adalah bertujuan untuk memenuhi matlamat ahli sejarah dalam menjelaskan kebenaran sejarah terhadap peristiwa-peristiwa sejarah. Proses penyelidikan sejarah tidak akan sempurna sekiranya tanpa melibatkan kritikan luaran dan kritikan dalaman. Walaupun kedua-dua kritikan ini berbeza tujuannya, tetapi pada akhirnya mempunyai matlamat yang sama iaitu mewujudkan kebenaran sejarah. Oleh itu,bagi mencapai kebenaran dalam sejarah, ahli sejarah perlu jujur dan bertanggungjawab terhadap kajian-kajian yang dijalankan oleh mereka. Ahli sejarah perlu bersikap liberal dan terbuka terhadap sumber-sumber sejarah yang digunakan samada sumber yang digunakan adalah benar atau palsu. Maka, kebenaran dalam sejarah dapat dicapai.
           













BIBLIOGRAFI
-          Arba’iyah Mohd Noor, Ilmu Sejarah dan Pensejarahan, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 2002
-          E.H. Carr, What is History?, Pelican Books, London, 1965.
-          G. J. Garraghan, A Guide to Historical Method, Penyunting J. Delanglez, Westport, 1973.
-          Hajah Noresah bt. Baharom, B.Sc. (UM), M.A.(Birmingham), Kamus Dewan edisi ketiga, Kuala Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka,1994.
-          J.M Gullick, Rulers and Residents, Influence and Power in the Malay States 1870-1920, Oxford University Press, New York, 1992.
-          Louis Gottschalk, ed., Generalization in the Writing of History, The University of Chicago Press, Chicago & London, 1969.
-          Lucey, William. History : Methods and Interpretation. Chicago : Loyola UP, 1958.
-          Marwick, Arthur : The Nature of History, edisi ke-3. London : Macmillan, 1989.
-          Rozeman Abu Hassan, Mengenali dan Mentafsir Sumber-sumber Sejarah,Karisma Publication Sdn. Bhd., Shah Alam, 2004.
-          R. Suntharalingam , Pengenalan kepada Sejarah, Marican & Sons (M) Sdn. Bhd. Kuala Lumpur, 1985.





[1] Hajah Noresah bt. Baharom, B.Sc. (UM), M.A.(Birmingham), Kamus Dewan edisi ketiga, Kuala Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka,1994, hlm.713.
[2] Arba’iyah Mohd Noor, Ilmu Sejarah dan Pensejarahan, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, 2002, hlm. 50.
[3] Ibid, hlm. 51.
[4] Rozeman Abu Hassan, Mengenali dan Mentasir sumber-sumber sejarah, Shah Alam: Karisma Publications Sdn. Bhd,2004,hlm. 36.
[5] Ibid.
[6] Ibid

[7] Bloch March, The Historion’s Craft, hlmn. 79-86.
[8] Lucey, William. History : Methods and Interpretation. Chicago : Loyola UP, 1958, hlmn 23
[9] G.J. Garraghan, A Guide to Historical Method, Penyunting J. Delanglez, Westport, 1973, hlmn. 178.
[10] Ibid., hlmn.179
[11] Marwick, Arthur. The Nature of History.edisi ke-3. London : Macmillan, 1989, hlmn 222
[12] ibid
[13] Lucey, William. History : Methods and Interpretation. Chicago : Loyola UP, 1958, hlmn 47
[14]Ibid hlmn 62
[15] Gilbert J. Garraghan, A guide to Historical Method, Fordham University Press, New york (1946), hlmn. 168.

[16] Ibid., hlmn. 118.
[17] Arbai’yah Mohd Noor, Ilmu Saejarah dan Pensejarahan,Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 2002, hlmn 60.
[18] Lucey , William, History: Methods and Iinterpretation,Chicago : Loyola UP,1958, hlmn 24
[19] ibid
[20] E.H. Carr, What is History?, Pelican Books, London, 1965.
[21] Garraghan, G.J. A Guide to Historical Method, hlmn 321
[22] Zainal Abidin bin Abdul Wahid, Sejarah Malaysia:Pentafsiran & Penulisan, hlmn 16-17
[23] Ibid hlmn 17
[24] Ibid hlmn322
[25] Garraghan, G.J. A Guide to Historical Method, hlmn 321
[26] ibid
[27] ibid hlmn 329
[28] ibid
[29] J.M Gullick, Rulers and Residents, Influence and Power in the Malay States 1870-1920, Oxford University Press, New York, 1992, hlmn 11-12.
[30] Garraghan, G.J. A Guide to Historical Method, hlmn 330
[31] Muhd. Yusof Ibrahim dan Mahayudin Hj. Yahya, Sejarawan dan Pensejarahan, Ketokohan & Karya,hlmn 183
[32] ibid
[33] John Cannon (ed.), The Historian at Work, hlmn 8.
[34] Marwick, Arthur : The Nature of History, edisi ke-3. London : Macmillan, 1989, hlmn 223
[35] Lucey , William, History: Methods and Iinterpretation,Chicago : Layola UP,1958, hlmn 73
[36] Ibid hlmn 78
[37] Ibid hlmn 73
[38] Ibid hlmn 73-74
[39] Ibid hlmn 77
[40] Ibid hlmn 78
[41]Ibid hlmn  75
[42] Ibid hlmn 79
[43] Ibid hlmn 80
[44] Ibid hlmn 81
[45] Ibid hlmn 83
[46] Ibid hlmn 84

No comments:

Post a Comment