1.0
PENDAHULUAN
Pensejarahan
disebut historiografi iaitu merujuk
hasil-hasil kajian dan tulisan sejarah oleh para sejarawan. Zaman sejarah
sesuatu bangsa itu bermula apabila bangsa yang berkenaan mula mencipta tulisan
dan dengan tulisan itu mencatitkan berbagai perkara untuk ingatan dan untuk
dijadikan pengajaran dan pedoman pada masa hadapan[1].
Dikatakan pensejarahan di China telah berlaku lebih kurang pada abad kelima
belas S.M. Namun begitu, penulisan
sejarah di China adalah dibawah kawalan maharajanya. Keadaan ini jelas berlaku
ketika pemerintahan dinasti-dinasti awal seperti dinasti Shang, dinasti Chou,
dinasti Chin dan dinasti Han.
Tulisan-tulisan
awal ini didapati ada hubungan rapat dengan kegiatan tilik-menilik dan
bertenung nasib golongan raja-raja dan bangsawan wangsa(dinasti) Shang
(1766-1122 S.M), wangsa pertama zaman sejarah sah di China[2].
Berpandukan keterangan ini jelaslah bahawa maharaja China yang baharu menaiki
takhta menggunakan pensejarahan sebagai alat untuk menguasai rakyat. Kenyataan
ini sangat dipersetujui memandangkan setiap kewangsaan di China wajib memiliki
pensejarahan mereka tersendiri serta menulis pensejarahan wangsa sebelum mereka
dengan tujuan memberitahu rakyat perihal kerajaan yang baharu ditubuhkan lebih hebat
berbanding kerajaan sebelumnya.
Pensejarahan
di setiap dinastinya adalah berbeza dari segi gaya penceritaan, namun begitu, tujuannya
tetap sama iaitu untuk memenangi hati rakyat. Maharaja China begitu bijak
memilih pensejarahan sebagai alat untuk menguasai rakyat kerana mentaliti
masyarakat tradisional China itu sendiri yang terlalu kuat menyanjungi
keperibadian maharaja sehinggakan setiap hal berkaitan maharaja adalah benar
dan tidak boleh dipertikai.
2.0
CARA
MAHARAJA CINA YANG BAHARU MENAIKI TAKHTA MENGUASAI RAKYAT MELALUI PENSEJARAHAN
2.1Menjatuhkan Hukuman Terhadap
Sejarawan
Antara tindakan yang dilakukan oleh Maharaja Cina
untuk menguasai dan megikat ketaatsetiaan para pegawai dan rakyatnya adalah
dengan menghukum para sejarawannya yang mengingkari dan melakukan sesuatu tanpa
kebenaran dan perintahnya. Hal ini adalah kerana Maharaja China sangat
memandang serius dan mengambil berat akan segala kegiatan penulisan yang
dijalankan oleh para sejarawannya.
Tindakan ini adalah bagi membolehkan segala
kebenaran mahupun pembohongan dapat disembunyikan daripada pengetahuan rakyat.
Baginda juga tidak mahu rakyat mengetahui realiti sebenar yang berlaku apabila
baginda mahu membina sejarah yang baru. Buktinya,pada zaman pemerintahan
Dinasti Chin, terdapat ramai tokoh-tokoh yang menderita di bawah pemerintahan
dinasti tersebut. Tokoh-tokoh ini telah didera kerana mengutuk corak
pemerintahan kerajaan Chin dalam karya penulisan mereka. Pada zaman tersebut
juga semua pengajian berbentuk persendirian tidak digalakkan dan tokoh-tokoh
intelektual akan diseksa sekiranya mereka tidak patuh kepada undang-undang
kerajaan[3].
Antara peristiwa lain yang membuktikan bahawa
Maharaja China sangat mengambil berat dan mengawal ketat penulisan sejarah
pemerintahanya adalah pada zaman
pemerintahan Maharaja Ming wangsa Han apabila Pan Ku dimurkai dan dihukum
penjara kerana menulis sejarah negara tanpa kebenaran Maharaja Ming.[4]
Peristiwa-peristiwa ini jelas menunjukkan bahawa Maharaja China sangat memandang
serius terhadap penghasilan penulisan sejarah pada zaman pemerintahan mereka.
Langkah yang diambil oleh Maharaja China
ini adalah tidak lain dan tidak bukan untuk menguasai pemikiran dan hati para
pegawainya dan khususnya rakyat.
Selain itu, terdapat sejarawan yang pada awalnya
merupakan pegawai kepercayaan maharaja akhirnya bertukar menjadi lawan kepada
maharaja tersebut apabila terdapat sejarawan yang cuba menulis pensejarahan
secara persendirian yang memaparkan hakikat sebenar pemerintahan kewangsaan.
Hal ini sangat bercanggah dengan dasar maharaja yang mahukan pensejarahan
dinasti taklukannya memiliki penceritaan yang baik menagatasi pensejarahan
sebelumnya dan untuk masa hadapannya. Ini dapat dilihat melalui peristiwa Ssu
Ma Ch’ien yang mahu membongkar kebenaran pemerintahan wangsa China. Jelaslah
Ssu Ma Ch’ien bukan sahaja ingin menunaikan tanggungjawab terhadap bapa dan
nenek moyangnya malah beliau berazam mencontohi Confucius bagi membezakan
kebenaran daripada kepalsuan, memuji kemuliaan dan mengutuk kebiadaban, dan
akhirnya menyanjung tinggi orang yang berbudi dan mencaci pihak yang berkhianat[5].
Dapat ditegaskan disini bahawa semestinya maharaja
yang memerintah harus bijak menakluki hati rakyat kerana tanpa rakyat tidak
mungkin sesebuah kerajaan itu mampu bertahan dan berkembang. Dengan ini kita
sangat bersetuju bahawa maharaja menghukum sejarawan yang terlibat dalam
penulisan pensejarahan wangsa dengan tujuan untuk mengelakkan segala kebenaran
terbongkar. Apabila maharaja menghukum sejarawan, maka rakyat akan menganggap
sejarawan yang bersikap memandai-mandai sedangkan keperibadian maharaja itu
sangat agung dan mesti dipelihara dan ditaati.
2.2
Maharaja Mengarahkan Kawalan Terhadap Dokumen Kerajaan Serta Menghapuskan
Dokumen yang Tidak Sah
Maharaja China juga mempunyai kuasa untuk
menyekat,menghapus dan meminda sebarang penulisan atau dokumen-dokumen kerajaan
rasmi kerajaan. Dokumen-dokumen rasmi ini hanya digunakan oleh Maharaja sebagai
rujukan atau panduan sewaktu pemerintahan dan pentadbirannya, maka tanpa
kebenaran baginda sesiapa sahaja adalah
dilarang dan ditegah untuk membaca mahupun melihat isi kandungan
dokumen-dokumen tersebut. Oleh hal yang demikian dokumen yang dianggap
menggugat pensejarahan baru akan dihapuskan bagi menghilangkan bukti manakala
dokumen yang dianggap tidak menjejaskan dibiarkan sahaja. Tindakan tersebut
menunjukkan penguasaan Maharaja dalam penulisan sejarah sewaktu
pemerintahannya. Tujuannya adalah untuk memudahkan Maharaja China menguasai dan
mengawal tindak-tanduk para pegawai dan rakyatnya.
Antara buktinya adalah pada zaman pemerintahan
Dinasti Chin,terdapat beberapa sumber yang berkait dengan pemerintahan kerajaan
Chin disamping hikayat-hikayat tentang kerajaan tersebut.Namun, peristiwa
“Pembakaran Karya-karya” pada sekitar tahun 213 S.M oleh Maharaja Shih Huang Ti
bukan sahaja menghapuskan rekod karya-rekod karya yang ditulis sebelum zaman
dinasti chin malah telah meninggalkan kesan yang sukar dipadamkan dari memori
pengikut Kung Fu Tze yang menderita dibawah dinasti Chin[6].
Peristiwa ini jelas menunjukkan bahawa begitu
besar pengaruh Shih Huang Ti sebagai maharaja mengusai rakyat dan para
pegawainya.Tindakannya itu adalah bagi mengikat ketaatan dan kepatuhan rakyat
terhadap pemerintahannya.
Namun begitu tidak semua dokumen wangsa sebelumnya
dihapuskan. Hanya dokumen-dokumen yang dirasakan menggugat proses pengasasan
kerajaan yang baharu sahaja akan dilupuskan. Ini bertujuan menyembunyikan
kebenaran dan memastikan permulaan bagi pensejarahan kerajaan baharu dapat
diterima oleh masyarakat. Pelupusan bahan sejarah ini hanyalah bertujuan
mengelakkan rakyat tahu bahawa sebenarnya kerajaan baharu bersikap kejam
terhadap kerajaan lama dalam usaha menggulingkan kerajaan tersebut.
Pengawalan terhadap dokumen-dokumen kerajaan
berkenaan perjalanan pemerintahan yang dilakukan maharaja dengan niat untuk
menyembunyikan kebenaran dan memaparkan kebaikan. Sekiranya dokumen ini
tersebar,maka, dengan mudahnya rakyat berpaling tadah dan memusuhi kerajaan.
Oleh sebab itu, hanya setiausaha istana sahaja berhak melihat dokumen tersebut
untuk tujuan penyemakan.
Dengan ini dapat disimpulkan bahawa sememangnya
maharaja Cina mengawal ketat serta melupuskan pensejarahan yang menggugat
pembinaan kerajaannya dengan tujuan menguasai rakyat melalui pensejarahan. Maharaja
hanya memaparkan segala cerita-cerita yang baik berkenaan corak pemerintahannya
dan kelemahan pentadbiran disimpan kemas.
2.3
Maharaja Mengarahkan Para Sejarawannya Menulis Pensejarahan Wangsa
Selain
itu, maharaja menggunakan isu pensejarahan iaitu dengan mengarahkan para sejarawannya
menulis pensejarahan dinasti mereka. Hal ini disebabkan maharaja mahu rakyat
sedar dan tahu perihal pemerintahan kerajaan yang dipimpin. Apabila sejarawan
menceritakan peribadi maharaja yang merangkumi keagungan pemerintahannya, maka
secara tidak langsung menambat hati rakyat untuk berada dalam pemerintahan
maharaja tersebut. Sung Shih (Sejarah Dinasti Sung) yang merangkumi segala
peristiwa yang berlaku dari tahun 960 hingga tahun 1279 telah ditulis oleh
sekumpulan sejarawan dari dinasti Yuan setelah diperintahkan oleh maharaja[7].
Maharaja akan mengarahkan para sejarawan yang dipercayai untuk menulis
pensejarahan dinastinya.
Sejarawan
yang diarahkan menulis pensejarahan kebiasaanya merupakan pegawai istana. Hal
ini memudahkan bagi sejarawan mendapatkan maklumat perihal maharaja serta
pentadbiran kerana seperti yang diketahui segala dokumen tidak boleh dibaca
melainkan maharaja sendiri. Sebagai contoh Ssu Ma Chien merupakan sejarawan
istana yang merangkap ahli nujum istana serta setiausaha istana (Chung Shu
Ling) ketika wangsa Han berkuasa dan beliau sangat dipercayai oleh maharaja.
Antara tugasnya yang pertama setelah
menerima jawatan tersebut ialah memperbaharui keseluruhan takwim Cina, iaitu
demi memenuhi perintah Maharaja Wu Ti yang bercita-cita mewujudkan suatu
lembaran baru bagi wangsa Han itu[8].
Ini jelas membuktikan tujuan Maharaja Wu Ti mengarahkan Ssu Ma Chien
memperbaharui takwim bukan sahaja untuk memastikan perjalanan pentadbirannya
menjadi teratur tetapi lebih bersifat melobi hati rakyat agar melihat wangsanya
lebih baik daripada wangsa sebelumnya.
Tambahan
lagi Negara China telah mencapai zaman kegemilangannya di bawah pemerintahan
Maharaja Wu Ti itu, maka wajarlah sejarahnya dicatatkan untuk diambil ikhtibar
dan diketahui oleh orang di kemudian hari[9].
Berdasarkan keterangan ini jelaslah mengapa maharaja mahu pensejarahan
kerajaannya ditulis. Tanpa penulisan sejarah yang menceritakan kebaikan
pemerintahannya, rakyat tidak akan memberikan taat setia kerana merasakan ada
maharaja lain yang lebih layak berbanding beliau.
Selain
itu Ssu Ma Ch’ien juga diarahkan oleh Maharaja Kao Tzu menulis pensejarahan
untuk mencari kebenaran bagi memperbaiki kelemahan dalam pentadbiran. Amalan
berilmiah ini bermula dengan arahan maharaja Kao Tzu yang ingin tahu tentang
sebab musabab kejatuhan wangsa Ch’in pada tahun 206S.M, supaya wangsa Han yang
diasaskannya dapat diperkukuh. Ini merupakan kebaikan yang dapat diperoleh
melalui penulisan pensejarahan dimana maharaja dapat memperbaiki corak
pemerintahannya berbanding dinasti lepas.
Secara
umumnya, semua maharaja yang baharu menaiki takhta menggunakan kekerasan sama
ada peperangan mahupun tipu muslihat bagi menjatuhkan maharaja wangsa
sebelumnya. Pensejarahan bertujuan menutup kesalahan yang dilakukan. Karya yang
dirasakan menyokong kerajaannya akan diketengahkan. Sebagai contoh kitab
T’ung-shih. Kitab-kitab jenis ini juga ditaja pemerintah dan lebih mengutamakan
perkembangan institusi dan pemikiran manusia dan jatuh bangun wangsa-wangsa[10].
Namun
begitu, pensejarahan bukan sahaja untuk menambat hati rakyat terhadap kekuasaan
baharu yang muncul, tetapi juga untuk menjadikan pensejarahan wangsa yang telah
tumbang sebagai suatu ingatan dan ikhtibar terhadap kerajaan baharu. Dan kerana
ingin mengabadikan keagungan kerajaan yang mereka cintai dan sebagai kebaktian
terakhir kepada wangsa yang telah tumbang itu pada umumnya bekerjasama dengan
wangsa yang baru berkuasa untuk menulis sejarah wangsa yang diganti[11].
Ini sebagai langkah agar wangsa yang telah tumbang itu tetap menjadi sejarah
penting walaupun tidak berkuasa lagi. Bagi maharaja dan pembesar-pembesar Cina,
sungguhpun mereka tidak mentadbir kerajaan, namun, pensejarahan mesti
dicatatkan dan dibukukan untuk tatapan generasi akan datang serta panduan
kepada pemerintah baharu. Jelaslah bahawa maharaja menggunakan pensejarahan
sebagai aspek penting penaklukan hati rakyat.
2.4Pengukuhan
Kerajaan Melalui Proses Pendiayahan Politik
Antara
cara lain yang digunakan oleh maharaja dalam menguasai rakyatnya adalah melalui
konsep pengukuhan kerajaan melalui proses pendiayahan politik. Ini bermaksud
maharaja mengeluarkan manifestonya untuk membuktikan kepada rakyat bahawa
kerajaan yang dibinanya telah mengalahkan kerajaan sebelumnya yang tidak dapat
meneruskan pemerintahan. Oleh yang demikian, sudah semestinya rakyat mesti tunduk
kepada kerajaan yang baharu dibentuk tersebut dan melupakan kerajaan lepas yang
sudah tidak boleh memerintah lagi. Bahan yang digunakan oleh maharaja sebagai
alat pendiayahan mereka adalah karya Shu Ching atau dikenali juga sebagai Shang
Shu. Secara umumnya, buku ini merupakan himpunan ucapan raja-raja dan para
pembesar awal China sehingga zaman awal kerajaan Chou[12].
Penggunaan
kitab ini bertujuan untuk memperkenalkan kepada rakyat siapakan maharaja baru
yang menaiki takhta menggantikan maharaja sebelumnya. Buku ini bukanlah buku
sejarah khusus, namun kandungan buku ini mampu menarik rakyat untuk tunduk
terhadap kekuasaan maharaja yang baru memerintah dan sekaligus menganggap
maharaja sebelumnya adalah maharaja yang gagal dalam menjalankan pentadbiran.
Kerana itu, kisah pemula-pemula wangsa Hsia, Shang dan Chou yang dianggap
sebagai watak-watak pemerintah contoh dan cerita tentang raja-raja akhir
wangsa-wangsa Hsia dan Shang terutamanya yang dianggap sebagai manusia durjana,
diperuntukkan ruang yang banyak dan dijadikan landasan bagi menyampaikan
pengajaran moral itu[13].
Maharaja Cina sememangnya menjadikan pensejarahan ini sebagai satu batu
loncatan untuk memburuk-burukkan pensejarahan dinasti lain dan menaikkan
dinasti mereka.
Masyarakat
tradisional Cina mudah menyokong mana-mana kerajaan yang baharu menaiki takhta
kerana mentaliti mereka terlalu kuat berpegang kepada penyembahan nenek moyang
dan taat setia kepada pemegang tampuk pemerintahan. Penggunaan karya ini sangat
berkesan kerana sememangnya masyarakat tradisional Cina tidak dapat lari dari
hakikat bahawa ketaatan terhadap maharaja adalah asas kehidupan. Contoh nyata
pada kewangsaan China ialah ketika kerajaan Chou berjaya menggulingkan Kerajaan
Shang dan menyelewengkan segala pensejarahan sejarah wangsa tersebut. Daripada
Shu Ching (Kitab Sejarah) ini terdapat beberapa halaman yang menyatakan
pelbagai keterangan tentang tipu muslihat sebagai propaganda politik oleh ketua
kerajaan Chou untuk mempertahankan daerah jajahannya ke atas dinasti Shang[14].
Hal ini jelas memperlihatkan sikap maharaja Cina yang mahu mengukuhkan takhta
yang baharu dibina dan menenggelamkan dinsti yang digulingkan.
Adanya
propaganda politik ini walaupun dicampur dengan unsur mitos dan lagenda, namun
ianya merupakan pendekatan paling berkesan dalam usaha menguasai rakyat.
Sejarah juga menjadi cerminan contoh teladan dan pengajaran bagi raja, pegawai
dan seluruh rakyat dan berperanan sebagai alat pengesahan kekuasaan politik dan
umpanan mendapat kerjasama dan sokongan seluruh rakyat kepada kerajaan[15].
Selain itu, pendiayahan politik ini turut jelas dilihat menerusi ucapan
maharaja pada kewangsaan awal yang terdapat dalam kitab Shu Ching. Antaranya
ikrar agung daripada maharaja wangsa Chou. Ikrar agung ini dikatakan ucapan
Raja Wu, raja pertama wangsa Chou, dalam usaha mendapatkan ketaatsetian seluruh
rakyat demi memantapkan kekuasaan wangsanya. Dia mencuba mengesahkan kuasanya
dengan menyamakan dirinya dengan T’ang, pengasas wangsa Shang, dan mengesahkan
wangsa Tang dijatuhkannya terlebih dahulu[16].
Kitab
ini kini umum dianggap sebagai satu alat pendakyah kerajaan Chou untuk
mengesahkan tindakannya mengambil alih kuasa daripada kerajaan Shang sebelumnya[17].
Berdasarkan keterangan tersebut dapat ditegaskan disini bahawa sememangnya
pengukuhan kerajaan melalui pendiayahan politik adalah salah satu cara yang
digunakan oleh maharaja Cina dalam usahanya untuk menakluki hati rakyat supaya
memihak kepada kerajaan yang baharu ditubuhkan. Maharaja Cina sangat bijak
dengan menjadikan pensejarahan itu sebagai alat untuk menarik rakyat tunduk
kepada kekuasaan baharu.
2.5
Pengiktirafan
Kerajaan Baharu Melalui Pensejarahan
Masyarakat
Cina tradisional pada dinasti awal sangat berpegang kuat pada tradisi
penyembahan nenek moyang mereka, ketaatan kepada pemerintah serta ketaatan
kepada ibu bapa. Oleh sebab itu, maharaja mengambil kesempatan ini untuk
menguasai rakyat menggunakan kaedah pensejarahan dimana maharaja menggunakan
konsep penerimaan mandat daripada syurga. Masyarakat tradisional sangat menjaga
sejarah mereka sungguhpun terselit unsur mitos di dalamnya kerana ketaatan
mereka terhadap pemerintah.
Buktinya
maharaja menggunakan konsep mandat dari syurga walaupun secara realistiknya
ianya hanyalah suatu tipu muslihat semata. Tipu muslihat ini termasuklah konsep
t’len ming (iaitu mandat dari syurga) yang digunakan oleh ketua kerajaan Chou
untuk mempertahankan penentangan masyarakat Shang terhadap penaklukan mereka
itu[18].
Berdasarkan pernyataan inilah maharaja menguatkan kepercayaan rakyatnya
terhadap kerajaan yang baharu dibina itu telah berjaya menggulingkan kerajaan
sebelumnya yang gagal menjalankan pemerintahan menurut arahan daripada Tuhan
sehingga Tuhan murka lalu menjatuhkan kerajaan itu dan menabalkan kerajaan
baharu.
Hal
ini dilihat juga menerusi kitab Shu Ching yang menceritakan tentang kerajaan
Tang yang berjaya merebut kuasa daripada kerajaan Hsia lantas menjadikan mandat
dari Tuhan sebagai alasan untuk mengelakkan kerajaannya dituduh kejam kerana
menggulingkan dinasti Hsia. Raja itu pulang dari gerakan menghapuskan Hsia, dan
tiba di Po lalu membuat pengisyhtiharan ke seluruh pelosok negeri. Titah raja,
“Wahai sekalian rakyat di seluruh pelosok negeri, dengarlah baik-baik
pengisyhtiharanku ini. Tuhan yang Agung telah mengurniakan manusia nilai moral
yang sekiranya dipatuhi membawa ke jalan yang betul. Tetapi rajalah yang
bertanggungjawab memandu mereka”[19].
Keterangan Shu Ching ini membuktikan bahawa sememangnya maharaja menguasai
pemikiran rakyat melalui konsep pensejarahan yang menekankan konsep kepercayaan
terhadap Tuhan.
Konsep
masyarakat tradisional Cina yang menganggap dinasti sebagai pusingan kewangsaan
dimana berakhirnya suatu pemerintahan akan diganti oleh pemerintah yang lain
bertepatan dengan kehendak T’ien. “Keruntuhan dan kemusnahan sesebuah negeri
boleh disebabkan oleh seorang manusia. Kegemilangan dan kesejahteraan sesebuah
negeri boleh juga lahir daripada kebaikan seorang manusia”[20].
Ini membuktikan bahawa maharaja mengukuhkan kedudukannya dalam masyarakat
dengan menggunakan konsep siapa yang berjaya menaiki takhta bererti memiliki
keperibadian yang baik disamping kebolehan memerintah yang diiktiraf oleh
pemberi mandat iaitu Tuhan bagi menggantikan maharaja sebelumnya yang gagal mentadbir.
Sistem
pentadbiran di China adalah berdasarkan konsep kitaran kewangsaan. Maharaja
yang baharu menaiki takhta akan mengatakan bahawa kejatuhan kerajaan lalu
adalah kerana tidak lagi disukai oleh Tuhan sehingga dijatuhkan hukuman turun
dari takhta. Kerajaan yang baharu adalah kerana yang terpilh menggantikannya
maka berjanji akan melakukan hal yang lebih baik. Budaya politik China
menganggap bahawa raja, ketua utama Negara, adalah putera T’ien (T’ien tzu) yang dianugerahkan mandat
memerintah (t’ien ming) oleh T’ien,
satu kuasa agung, untuk memimpin manusia di dalam kesentosaan[21].
Ini mengukuhkan lagi kepercayaan rakyat terhadap maharaja. Sekiranya amanah
yang dianugerahkan itu dicabuli maka mandat yang diberikan akan dirampas
kembali dan dianugerahkan kepada T’ien-tzu yang baru pula[22].
Dengan
menulis sejarah wangsa atau wangsa sebelumnya-wangsa sebelumnya, kerajaan yang
sedang berkuasa berupaya mendiayahkan bahawa mereka sebenarnyalah telah
menerima t’ien-ming atau mandat t’ien untuk memerintah dengan sahnya[23].
Rakyat yang memegang tradisi ketaatan kepada pemerintah dengan sendirinya akan
mengesahkan kenaikkan kerajaan baharu dan tunduk pada kekuasaan baharu
menggantikan yang lama. Dengan itu tercapailah hasrat maharaja yang mahu
mengusai rakyat melalui pensejarahannya. Oleh itu, sangat dipersetujui bahawa
maharaja menggunakan pensejarahan sebagai usaha untuk menguasai rakyat.
2.6
Mengubah Dokumen Pensejarahan
Pensejarahan
yang dijadikan alat penguasaan maharaja Cina terhadap rakyatnya juga melalui cara
mengubah dokumen pensejarahan. Hai ini sangat ketara ketika pemerintahan
dinasti awal di China. Berlakunya pengubahan dalam dokumen pensejarahan adalah
disebabkan maharaja berlumba-lumba untuk menaikkan kerajaan yang beharu
ditubuhkannya. Maka, maharaja akan mengarahkan sejarawannya mengubah mana-mana
dokumen wangsa sebelumnya dengan tujuan menghapuskan bukti dan menampilkan
kebaikan dinastinya.
Kerajaan Chou adalah bukti paling nyata untuk menyokong
hujah bahawa maharaja mengubah dokumen pensejarahan. Setelah berkuasa, kerajaan
Chou dipercayai telah memusnahkan catatan zaman Shang yang berkemungkinan
mempersoalkan kesahannya mengambil alih kuasa daripada kerajaan tersebut[24].
Hal ini dipertegaskan dengan menyentuh niat sebenar maharaja iaitu unutuk menguasai
rakyat bagi mendapatkan sokongan terhadap kekuasaan baharu yang muncul
menggantikan kerajaan Shang itu. Maharaja Chou tidak mahu kerajaan yang baharu
diasaskannya dibayangi dengan gaya mahupun pemerintahan kerajaan Shang yang
disifatkan para sejarawan sebagai dinasti yang baik dan kerana kekejaman
kerajaan Chou yang mahukan takhta tersebut. Berdasarkan pernyataan inilah
timbulnya idea untuk menyelewengkan dokumen pensejarahan berkenaan dinasti
Shang tersebut.
Ada beberapa naskah zaman kewangsaan Shang, namun begitu
kebanyakan kitab-kitab seperti T’ and Shih, Pan Keng, Kao Tsung Yung Jih, His
Po K’ an Li, dan Wei Tzu yang didalammya terdapat penceritaan tentang tipu
muslihat yang dilakukan oleh kerajaan Chou dalam usaha untuk menggulingkan
kerajaan Shang. Walaupun bagaimanapun, terdapat beberapa fakta berkenaan
sejarah dinasti Shang dalam Shu Ching yang tidak sama atau tidak selari dengan
keterangan kerajaan Chou tentang dinasti Shang[25].
Ini jelas membuktikan sikap pemerintah dinasti Chou yang benar-benar mahukan
kerajaannya diiktiraf lebih daripada kerajaan Shang yang sememangnya mendapat
sokongan daripada rakyat sebelum kerajaan itu digulingkan. Dengan penipuannya
dalam pensejarahan, maka rakyat akan beranggapan bahawa sebenarnya kerajaan
Shang yang disokong dahulu hanyalah kerajaan tanpa kejayaan dan kerajaan baharu
ini bakal merubah kehidupan mereka.
Setiap kerajaan yang berjaya menaiki takhta pasti akan
berusaha melupuskan pensejarahan kerajaan sebelumnya. Maharaja sedaya upaya
mengarahkan para sejarawannya menulis sebuah pensejarahan yang lebih hebat agar
rakyat tidak lagi dibayangi oleh pemerintahan kerajaan yang lepas. Setiap
maharaja mahukan pensejarahan yang terbaik untuk dinastinya mengalahkan dinasti
lalu. Sebagai contoh, kerajaan Manchu sedaya upaya mengutuk pensejarahan
dinasti Ming. Ini kerana maharaja mahukan sokongan daripada rakyat dalam proses
pembinaan sebuah kerajaan yang baharu.
Dengan
itu, maka setujulah dikatakan maharaja menggunakan isu mengubah dokumen
pensejarahan sebagai cara untuk menguasai rakyat. Tujuan maharaja melakukan
pengubahan dokumen ini tidak lain hanya untuk mengesahkan kerajaan yang baharu
dibinanya dan melupuskan segala bukti kekejaman penaklukannya ke atas kerajaan
lepas. Jelas dilihat disini, seandainya maharaja masih lagi menggunakan
pensejarahan dinsti lalu, bagaimana kerajaan yang baharu akan dikenali oleh
rakyat. Tanpa sokongan rakyat maka penubuhan kerajaan hanyalah sia-sia. Dengan
ini sangat dipersetujui pengubahan dokumen sebagai cara penguasaan maharaja ke
atas rakyat melalui pensejarahan.
2.7
Penubuhan Biro Sejarah
Antara
cara lain yang diguna pakai oleh maharaja Cina dalam mendapatkan sokongan
rakyat sekaligus menguasai rakyatnya adalah dengan menubuhkan Biro Sejarah.
Penubuhan Biro Sejarah ini adalah untuk menguasai rakyat melalui pensejarahan.
Namun begitu, muslihat penubuhan Biro Sejarah ini adalah untuk menguasai segala
bentuk penulisan sejarah agar tidak lari dari tujuan sebenar penulisan sejarah
kewangsaan itu. Ia telah ditubuhkan pada zaman T’ang (618-906 T.M)[26].
Penubuhan
Biro Sejarah telah membawa kepada pandangan baharu terhadap bidang sejarah
China itu sendiri. Jika sebelum penubuhannya, sejarah telah wujud, malahan
telah ada penulisan sejarah, namun tidak begitu kritikal dan tidak mementingkan
ketepatan dan sekadar cerita sekitar kewangsaan sahaja. Namun pada dinasti
T’ang (618-906 T.M), perkataan Shih ini telah menjadi bertambah nyata dengan
tertubuhnya Biro Sejarah[27].
Bermula pada zaman inilah sejarah menjadi bertambah penting dan menarik minat
sejarawan untuk melakukan kajian tentang pensejarahan di China. Oleh sebab
itulah Biro Sejarah berfungsi sebagai pemantau terhadap kegiatan-kegiatan
penulisan sejarah di Negara China.
Maharaja menekankan penubuhan ini apabila munculnya
sejarawan-sejarawan yang menulis menurut kehendak sendiri tanpa mengambil kira
perintah raja dan tanpa kebenaran raja. Han-shu misalnya, diperintahkan ditulis
secara rasmi oleh kerajaan hanyalah setelah mendapati keluarga Pan telahpun
mengusahakannya secara persendirian[28].
Penulisan persendirian seperti inilah yang mahu dikawal oleh pemerintah kerana
bimbang cerita-cerita yang kurang enak sampai ke pengetahuan rakyat. Dengan
kata lain, iaitu dengan pengertian penulisan dilakukan dengan perintah
kerajaan, Han shulah dan bukan Shih Chi, yang merupakan kitab sejarah
rasmi pertama di China[29].
Ini bermaksud penubuhan Biro Sejarah membawa tujuan mengkaji karya-karya
sejarawan bagi tujuan menguasai sepenuhnya pensejarahan itu. Bagi karya yang
dirasakan menggugat kerajaan yang baharu dibina akan dianggap tidak sah
manakala karya yang mencerminkan gambaran kehebatan kerajaan akan diteruskan
dan diperakui sah oleh maharaja.
Biro sejarah juga ditubuhkan dengan tujuan mengawal
institusi pendidikan persendirian yang dirasakan menggugat pembentukan kerajaan
baharu. Pada masa tersebut juga, semua pengajian berbentuk persendirian tidak
digalakkan dan tokoh-tokoh intelektual akan diseksa sekiranya mereka tidak
patuh kepada undang-undang negara[30].
Maharaja sangat bimbang terhadap penularan pemikiran yang berlaku dalam
masyarakatnya. Kebanyakan sejarawan telah menulis kebenaran berkenaan kerajaan
sehinggakan terdapat segelintir rakyat yang mulai sedar tentang corak
pemerintahan yang lebih kepada mitos untuk menangkat maharaja sebagai pemerintah.
Oleh sebab itu penubuhan Biro Sejarah dirasakan sangat penting dalam memastikan
kerajaan kekal berkuasa.
Walaupun banyak rekod rasmi kerajaan Chin dianggap sahih,
namun kebanyakannya telah dibuat penambahan atau direka-reka oleh pengarangnya[31].
Hal ini turut menjadi pendorong kepada penubuhan Biro sejarah pada zaman
dinasti T’ang. Penubuhan ini bagi memastikan terdapat badan yang berupaya
mengawal segala penghasilan karya dan mengesahkannya sebagai sah dan menjadi
dokumen rasmi. Adakalanya terdapat kitab yang sudah pun dianggap “sejarah
rasmi” yang sah diketepikan sebagai tidak sah kemudiannya[32].
2.8
Pensejarahan
Daripada Pemerintah kepada Pemerintah
Seterusnya,
pensejarahan China turut dikaitkan dengan pensejarahan yang dibolot oleh
golongan pemerintah. Golongan pemerintah merujuk kepada maharaja yang memegang
tampuk pemerintahan. Pernyataan ini merujuk kepada walaupun seseorang maharaja
dan kerajaannya digulingkan, namun, pensejarahan itu akan tetap berterusan dan
dimonopoli oleh maharaja seterusnya. Dengan itu golongan pemerintah sentiasa
mengawal dan memastikan pensejarahan memihak kepada siapa yang mengasaskan
kerajaan. Ini dapat dilihat menerusi kitab tulisan Ssu Ma Ch’ien, Shih Chi.
Bahagian Kedua adalah berkenaan jadual tertib-tarikh yang mengandungi sepuluh
bab berkenaan keluarga diraja dinasti Chou dan pembesar-pembesar dinasti Han[33].
Pernyataan
ini menunjukkan kepada bahawa sememangnya pensejarahan China dibolot golongan
pemerintah dengan tema daripada pemerintah kepada pemerintah. Kitab-kitab kerajaan
awal China lebih tertupu kepada penceritaan keperibadian maharaja, salasilah
keturunan maharaja serta para pembesarnya. Ini bertujuan untuk melobi rakyat
selain menonjolkan keagungan maharaja yang menaiki takhta. Oleh sebab
kitab-kitab itu juga umumnya, dihasilkan golongan yang sama-golongan
pegawai-sarjana-maka isi dan perkara yang dimuatkan juga sesuai dengan nilai
pandangan, keperluan dan tujuan golongan ini[34]
Wujudnya
pencatat kanan dan kiri telah membuktikan bahawa pensejarahan dibolot pemerintah.
Pencatat ini bertujuan mencatatkan geraklaku maharaja untuk dijadikan panduan
maharaja yang akan datang agar segala yang baik dijadikan teladan dan yang
buruk dijadikan sempadan. Menurut kitan Li Chi: “ apabila maharaja melakukan
sesuatu Pencatat Kiri mencatitkannya; apabila baginda bercakap Pencatat Kanan
pula mencatitkannya.”[35].
Tujuan catatan ini dilakukan adalah bagi tujuan pedoman kepada pemerintah
seterusnya. Menjadi tradisi dan kepercayaan maharaja agar berpegang kepada
amanah sebagai pemimpin, maharaja tidak boleh membaca catatan tentang dirinya
agar tidak berlaku sebarang ketidakselarasan catitan dengan sikap sebenar
maharaja.
Penulisan
sejarah dianggap sesuatu yang hanya berhak dilakukan oleh kerajaan[36].
Pernyataan ini sangat menyokong hujah yang dikemukakan bahawa pensejarahan
sememangnya dibolot oleh golongan pemerintah. Akibatnya, seperti yang diamati
para pengkaji, jadilah kitab-kitab tersebut “daripada pegawai, untuk pegawai”[37].
Pensejarahan yang dimonopoli golongan pemetintah ini bertujuan memastikan
kelancaran dalam bidang pentadbiran. Dengan adanya pensejarahan perihal
maharaja, maka ianya dapat mengawal rakyat untuk memberi taat setia kepada
kerajaan.
Setiap
catatan yang menulis tentang keperibadian raja akan dibukukan dan disalurkan ke
pusat-pusat pendidikan dengan tujuan untuk member gambaran yang lebih jelas
kepada rakyat. Malahan wujudnya sistem peperiksaan bertujuan memastikan setiap
yang ingin menjadi pegawai haruslah mereka yang benar-benar menyanjungi
keagungan maharaja selain daripada memiliki ketaatan yang tinggi terhadap
negara. Oleh sebab itu mahaja dinasti Ching sanggup menaja buku pensejarahan
pada zamannya bagi memastikan rakyat tahu polisi kerajaan yang dibina.
Bukti
lain adalah, maharaja berhak memilih karya apa yang dibenarkan ditulis oleh
para sejarawannya. Ini bererti, sungguhpun sejarawan boleh menulis
pensejarahan, namun isi karya hendaklah yang menyanjungi pemerintah bukan
mengungkapkan kebenaran semata. Ini menunjukkan betapa kuatnya pengaruh
pemerintah dalam bidang penulisan itu sendiri.
Dapat
ditegaskan di sini bahawa sememangnya pensejarahan dinasti awal China
ditunjangi oleh barisan pemerintah. Walaupun wangsa bertukar ganti, namun,
pensejarahan tetap dipelopori institusi pemerintah. Sememangnya menjadi tradisi
kepada politik maharaja Cina bahawa siapa yang memegang tampuk pemerintahan
akan menguasai segalanya termasuklah pensejarahan. Melalui pensejarahan, mereka
dapat mengawal gerak laku rakyat serta pegawai untuk taat setia kepada
kerajaan.
3.0
KESIMPULAN
Sebagai
kesimpulan, kita sememangnya bersetuju bahawa maharaja Cina yang baharu menaiki
takhta menggunakan pensejarahan sebagai langkah berkesan untuk menguasai
rakyatnya. Kenyataan ini sangat tepat dalam menggambarkan corak penaklukan
maharaja Cina terhadap rakyatnya. Mereka sebenarnya tidak berniat mengenepikan
kebenaran sejarah, tetapi konsep kebenaran objektif ini kurang dititikberatkan[38].
Frasa ini bersesuaian dengan sikap maharaja yang terlalu taksub mahukan
penulisan sejarah yang mencatatkan keagungannya sehinggakan banyak campuran
mitos dan lagenda semata-mata untuk menarik rakyat membaca karya tentang
dinasti tersebut. Hal ini dilihat melalui sikap rakyat tradisional Cina yang
berjaya menjaga pensejarahan mereka dengan baik.
Disamping
itu, masyarakat zaman tersebut yang memegang kuat tradisi maharaja mereka juga
amat melarang sebarang bentuk pindaan yang dilakukan oleh sejarawan mereka
dahulu walaupun di dalamnya terdapat unsur-unsur campuran antara fakta sejarah
dengan cerita mitos, lagenda, dan sajak-sajak berkenaan kepahlawanan[39].
Pendekatan penaklukan melalui pensejarahan yang dilakukan oleh maharaja Cina
nyata memberi kesan yang sangat baik terhadap kerajaan yang dibina kerana
rakyat Cina sangat percaya terhadap maharaja mereka. Ia juga bertujuan dijadikan
cerminan, contoh tauladan dan pengajaran kepada raja-raja, para pegawai dan
seluruh rakyat;serta sebagai alat pengesahan kekuasaan politik dan umpanan
mendapatkan kerjasama dan sokongan seluruh rakyat kepada kerajaan[40]
BIBLIOGRAFI
Abdul
Rahman Haji Ismail, China: Pensejarahan
dan Pembinaan Tamadun, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 2001
Abdul
Rahman Haji Ismail , China Tradisional :
Pensejarahan, Pusingan Wangsa dan Proses Pencinaan, Terbitan Tak Berkala,
Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, No 3, Universiti Sains Malaysia, 1983
Abu Talib Ahmad dan Cheah Boon Kheng (disunting), Isu-Isu Pensejarahan (esei penghargaan
kepada Dr. R. Suntharalingam), Universiti Sains Malaysia, Pulai Pinang, 1995
Arbai’yah Mohd. Noor, Ilmu
Sejarah dan Pensejarahan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
Ishak Saat, Ilmu
Sejarah: Antara Tradisi dan Moden, Shah Alam: Karisma Publication Sdn.
Bhd., 2007.
Muhd
Yusuf Ibrahim, Mahyuddin Haji Yahaya, Sejarawan
dan Pensejarahan : Ketokohan dan Karya, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala
Lumpur, 1988
[1] Abdul
Rahman Haji Ismail , China Tradisional :
Pensejarahan, Pusingan Wangsa dan Proses Pencinaan, Terbitan Tak Berkala,
Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, No 3, Universiti Sains Malaysia, 1983, hlm 1
[3] Arba’iyah
Mohd Noor. Ilmu Sejarah Dan Pensejarahan,
Dewan Bahasa dan Pustaka , Kuala Lumpur, 2002, hlm 203
[4] Ibid.,hlm.208
[5] Abu Talib Ahmad dan Cheah Boon Kheng (disunting), Isu-Isu Pensejarahan (esei penghargaan
kepada Dr. R. Suntharalingam), Universiti Sains Malaysia, Pulai Pinang, 1995,
hlm 98
[6] Arba’iyah
Mohd Noor. Ilmu Sejarah Dan Pensejarahan,
Dewan Bahasa dan Pustaka , Kuala Lumpur, 2002,hlm.203
[7] Arba’iyah
Mohd Noor, Ilmu Sejarah dan Pensejarahan,
Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 2002, hlm 211
[8] Muhd Yusuf Ibrahim, Mahyuddin
Haji Yahaya, Sejarawan dan Pensejarahan :
Ketokohan dan Karya, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1988, hlm72
[9] Ibid
[10] Abdul
Rahman Haji Ismail, China: Pensejarahan
dan Pembinaan Tamadun, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 2001, hlm 15
[11] Abdul
Rahman Haji Ismail , China Tradisional :
Pensejarahan, Pusingan Wangsa dan Proses Pencinaan, Terbitan Tak Berkala,
Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, No 3, Universiti Sains Malaysia, 1983, hlm 8
[12] Abdul
Rahman Haji Ismail, China: Pensejarahan
dan Pembinaan Tamadun, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 2001, hlm
139
[13] Ibid, hlm 139 &
140
[14] Arba’iyah
Mohd Noor, Ilmu Sejarah dan Pensejarahan,Kuala
Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka,2002, hlm 199
[15] Abdul
Rahman Haji Ismail, China: Pensejarahan
dan Pembinaan Tamadun, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 2001, hlm 22
[16] Ibid, hlm 144
[18] Arba’iyah
Mohd Noor, Ilmu Sejarah dan Pensejarahan,
Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 2002, hlm 199
[19] Abdul
Rahman Haji Ismail, China: Pensejarahan
dan Pembinaan Tamadun, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 2001, hlm
142
[21] Abdul
Rahman Haji Ismail , China Tradisional :
Pensejarahan, Pusingan Wangsa dan Proses Pencinaan, Terbitan Tak Berkala,
Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, No 3, Universiti Sains Malaysia, 1983, hlm 24
[23] Abdul
Rahman Haji Ismail, China: Pensejarahan
dan Pembinaan Tamadun, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 2001, hlm 14
[25] Arba’iyah
Mohd Noor, Ilmu Sejarah dan Pensejarahan,
Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 2002, hlm 199
[26] Abdul
Rahman Haji Ismail , China Tradisional :
Pensejarahan, Pusingan Wangsa dan Proses Pencinaan, Terbitan Tak Berkala,
Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, No 3, Universiti Sains Malaysia, 1983, hlm 2
[27] Arba’iyah
Mohd Noor, Ilmu Sejarah dan Pensejarahan,Dewan
Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 2002, hlm 200
[28] Abdul
Rahman Haji Ismail , China Tradisional :
Pensejarahan, Pusingan Wangsa dan Proses Pencinaan, Terbitan Tak Berkala,
Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, No 3, Universiti Sains Malaysia, 1983, hlm 4
[29] Abdul
Rahman Haji Ismail, China: Pensejarahan
dan Pembinaan Tamadun, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 2001, hlm 11
[30] Arba’iyah
Mohd Noor, Ilmu Sejarah dan Pensejarahan,Dewan
Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 2002, hlm 203
[32] Abdul
Rahman Haji Ismail, China: Pensejarahan
dan Pembinaan Tamadun, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 2001, hlm 12
[33] Arba’iyah
Mohd Noor, Ilmu Sejarah dan Pensejarahan,Kuala
Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka,2002, hlm 205
[34] Abdul
Rahman Haji Ismail, China: Pensejarahan
dan Pembinaan Tamadun, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 2001, hlm
22-21
[35] Abdul
Rahman Haji Ismail , China Tradisional :
Pensejarahan, Pusingan Wangsa dan Proses Pencinaan, Terbitan Tak Berkala,
Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, No 3, Universiti Sains Malaysia, 1983, hlm 10
[37] Abdul
Rahman Haji Ismail, China: Pensejarahan
dan Pembinaan Tamadun, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 2001, hlm 21
[38] Ishak
Saat, Ilmu Sejarah: Antara Tradisi dan
Moden, Karisma Production Sdn.Bhd, Shah Alam, 2007, hlm 33
[39] Arba’iyah Mohd Noor, Ilmu Sejarah dan Pensejarahan, Dewan
Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 2002, hlm 197&198
[40] Abdul
Rahman Haji Ismail , China Tradisional :
Pensejarahan, Pusingan Wangsa dan Proses Pencinaan, Terbitan Tak Berkala,
Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, No 3, Universiti Sains Malaysia, 1983, hlm 10
No comments:
Post a Comment