Dalam membahaskan persoalan sebab-sebab golongan relatif atau
subjektif tidak bersetuju dengan pandangan golongan objektif ini, seeloknya
audien mengetahui senario awal yang berlaku di dalam alam pensejarahan dunia.
Pada awal abad ke-19, para sejarawan dan sarjana dunia barat bertungkus lumus
berusaha untuk meletakkan sejarah pada kedudukan tersendiri. Kegiatan ini
dijalankan berpandukan metodologi atau kaedah-kaedah pensejarahan mereka
tersendiri yang berdasarkan pemahaman dan pengkajian masing-masing pada zaman
tersebut. Hal ini telah menimbulkan percanggahan dan pertentangan pendapat yang
hebat kerana masing-masing cuba
menegakkan pendapat dalam pelbagai aspek berkaitan sejarah dan pensejarahan.
Oleh yang demikian, berlakulah perpecahan dalam kalangan sejarawan sehingga
menyebabkan munculnya golongan objektif ( objektivis ) dan golongan relatif
atau subjektif ( relativis ). Kemunculan dua golongan ini sememangnya mencetuskan
suatu revolusi atau pembaharuan terhadap dunia penulisan sejarah.
Golongan objektif telah muncul seawal abad ke-19 dengan meletakkan
syarat bahawa penulisan sejarah harus ditulis secara objektif. Sejarah
kemunculan objektivis ini bermula apabila pensejarahan Eropah telah dipelopori
oleh pemikiran dan penulisan Leopold Von Ranke ( 1795-1886 ). [1]
Menurut Kamus Dewan edisi ketiga, objektif bermaksud kenyataan yang berasaskan
fakta yang sebenar, tidak dikuasai atau dipengaruhi oleh perasaan atau
prasangka diri. [2]
Hal ini juga boleh ditafsirkan bahawa sejarawan harus mempersembahkan penulisan
sejarah secara tepat sebagaimana ia berlaku, [3]
tiada unsur penambahan atau bias, dan pengadilan moral berasakan fakta atau
sumber yang boleh dipercayai. Pada asasnya, pengertian objektif bermakna tujuan
atau sasaran sesuatu sejarah yang dikaji dan ditulis iaitu merujuk kepada
persoalan untuk apa ( peristiwa atau
tujuan ) dan siapa ( pelaku sejarah atau sasaran ) sahaja.[4]
Tujuan atau sasaran dapat dibuktikan melalui sudut pensejarahan
misalnya di Tanah Melayu,sejarah yang berkonsepkan objektif ini dinyatakan
melalui penghasilan sesebuah karya sejarah. Karya-karya seperti Tun Sri Lanang
yang menulis semula Sejarah Melayu yang dibawa dari Goa
bertujuan memenuhi perintah Sultan Ma’ayah Syah. [5]
Begitu juga Misa Melayu karya Raja Chulan untuk memenuhi perintah Sultan
Iskandar dan Abdullah Munsyi menulis Hikayat Abdullah untuk memenuhi seorang
sahabat karibnya. [6] Walaupun
pada kaca mata sejarawan barat, karya-karya ini tidak langsung menunjukkan
keobjektifannya kerana terdapat unsur-unsur mitos dan dongeng namun setelah
dikaji karya-karya tersebut dengan jelas membuktikan pengarang-pengarangnya
mempunyai jawapan kepada persoalan ‘apa’
dan ‘siapa’. [7]
Pengertian objektif juga dari sudut luasnya pula lebih bersifat
kontroversi pada zaman pensejarahan moden dan amat memerlukan perbincangan yang
lebih meluas dan mendalam. Keobjektifan diertikan satu daripada beberapa sifat
atau hakikat sejarah itu sendiri. [8]
Terdapat ramai sejarawan yang mentafsirkan keobjektifan sebenar dalam penulisan sejarah berdasarkan
pandangan dan pendapat masing-masing. Antara sejarawan tersebut ialah W.H.
Walsh, J.B. Bury, Louis Gottschalk, Lord Acton, Sartono, Donald V. Gawronski,
Dundung Abdul Rahman dan lain-lain.
Pandangan Walsh terhadap pengertian penulisan sejarah secara
objektif ialah persoalan ini sebagai yang terpenting serta paling membingungkan
dalam sesuatu kajian sejarah. Hal ini merupakan satu kesukaran yang dihadapi
oleh sejarawan dalam usaha menentukan kebenaran. Menurut Walsh lagi, anggapan
yang mudah dalam hal-hal penyelesaian masalah adalah mewujudkan kebenaran
sejarah tersebut. Walsh mengaitkan sejarah dengan sains semulajadi sebelum
disahkan sebagai objektif. [9]
Menurut J.B.Bury pula, beliau menganggap bahawa sejarah itu adalah
sains, tidak lebih tidak kurang. [10]
Beliau menegaskan lagi, sejarah sama seperti kebenaran sains. Hal ini merujuk
kepada sebarang penulisan sejarah adalah sesuatu yang semestinya tepat dan tidak banyak persoalan ataupun
kritikan yang boleh ditimbulkan mengenainya. Beliau juga turut menyifatkan
kebenaran sejarah itu objektif sepenuhnya.
Louis Gottschalk menerangkan maksud objektif dengn mengatakan bahawa
objektif adalah memperolehi pengetahuan yang tidak memihak ( kepada sesiapa )
dan benar serta bebas daripada reaksi peribadi seseorang. [11]
Beliau menyatakan seharusnya sejarawan menjadikan sesuatu pengkajian sejarah
adalah secara objektif dan ia diberikan keutamaan sebelum dan sepanjang
pengkajian itu dilakukan. Aktiviti tersebut perlu melalui pentafsiran di luar
batasan pemikiran para pengkaji sejarah yang bebas daripada penilaian secara
peribadi. Namun perkara yang paling dititikberatkan adalah bukti sejarah samada
secara bertulis atau lisan. [12]
Selain itu, konsep objektif ini
turut dikupas oleh Donald V.
Gawronski yang menyatakan bahawa penggunaan fakta sejarah tanpa melibatkan
perasaan memihak dan prasangka. [13]
Sartono, sejarawan dari Indonesia
menjelaskan pengkajian sejarah yang ditulis secara objektif adalah menunjukkan
kepada peristiwa atau kejadian itu sendiri. Hal ini bermaksud sejarah secara objektif merupakan proses
sejarah dalam keadaan yang sebenar berlaku. [14]
Beliau juga turut mengistilahkan objektiviti dalam istilah sejarah objektif
sebagai sejarah aktualitas, iaitu kejadian yang bebas daripada unsur subjektif.
[15]
Pandangan individu seterusnya mengenai konsep objektif ini ialah
Dundung Abdul Rahman yang menegaskan bahawa penulisan atau pengkajian
sejarah yang bersifat objektif dapat
dicapai melalui cara sejarawan membezakan antara metod penelitian dalam
menemukan realiti sejarah dan juga metod
rasional digunakan untuk melaksanakannya.[16]
Hal ini bermaksud kaedah penelitian iaitu mentafsir dan mengkaji sumber sejarah
akan menghasilkan kebenaran sejarah berkenaan sekiranya kaedah tersebut
disusuli dengan kaedah yang menggunakan akal fikiran yang wajar semasa
melaksanakannya.
Tidak ketinggalan pandang daripada T. R. Tholfsen yang mengatakan
seseorang sejarawan Barat dianggap
karyanya sebagai “ Objektif sesudah karya
itu dapat bertahan dari kritikan, dapat bersaing secara berkesan dengan
karya-karya lain dan ia melambangkan suatu yang jujur untuk melihat masa lalu
itu seperti sebenarnya berlaku.[17]
Secara keseluruhannya, dapat disimpulkan objektif dalam kajian sejarah adalah
memperolehi pengetahuan, maklumat dan bukti-bukti yang sahih berdasarkan sumber
dan dokumen yang asli semata-mata tanpa melibatkan unsur penilaian peribadi
serta bebas daripada unsur yang berlebih-lebihan seperti mitos dan lagenda. Hal
ini sama seperti yang disarankan oleh pengasas golongan objektif iaitu Leopold
Von Ranke [18] dan
pengikut- pengikutnya Walsh, Bury dan lain- lain.
Pemikiran dan penulisan Leopold Von Ranke ( 1795 – 1886 ) telah
mempelopori pensejarahan Eropah iaitu pada abad ke-19. [19]
Beliau dianggap sebagai “pengasas agung aliran sejarah objektif”. [20]
Beliau telah memberikan sumbangan yang bernas dalam pemikiran sejarah ini dan
juga tokoh terbilang dalam bidang pensejarahan moden. Beliau dianggap peneroka
era baru pensejarahan Barat atau sebagai pengasas bagi pensejarahan moden di
dunia Barat. [21]
Ranke mempunyai matlamatnya yang tersendiri dalam mengkaji sesuatu
pensejarahan. Menurut beliau, matlamat pengajian sejarah adalah untuk
menggambarkan kejadian-kejadian “sebagaimana sebenar berlaku” dan membiarkan
fakta-fakta sejarah bercakap sendiri tanpa penglibatan sejarawan. [22]
Bagi Ranke, penghasilan sejarah yang objektif sebagaimana sebenar-benar berlaku
apabila pengadilan moral diketepikan terus kerana ia akan membuka peluang bagi
kemasukan unsur – unsur berat sebelah atau prasangka sezaman. [23]
Sesuatu penulisan sejarah pada Ranke, mampu ditulis secara objektif
keseluruhannya sekiranya sejarawan mengikuti lunas – lunas yang digaris
olehnya.
Dalam karyanya, “ The Histories of Latin And Germanic Nation” pada
tahun 1824, terdapat lunas – lunas yang telah digaris oleh Ranke antaranya
ialah sejarawan harus berusaha membuat satu persembahan tulen fakta-fakta yang
berpandukan kepada penyelidikan yang teliti terhadap peristiwa-peristiwa lepas
yang khusus dan nyata besertakan tafsiran sumber-sumber yang asli. [24]
Melalui cara ini, penghasilan karya atau sebarang bentuk penulisan sejarah
bebas daripada unsur pengadilan moral yang boleh menggugat kewibawaan sebagai
suatu bidang ilmu yang sahih. Sejarawan harus Berjaya mengasingkan fakta yang
benar berdasarkan peristiwa benar-benar berlaku dengan peristiwa yang hanya
ditokok tambah berdasarkan imaginasi dan pengetahuan. [25]
Ranke telah menerangkan, sumber – sumber yang penting bagi kajiannya
adalah buku kenangan, catatan harian, surat – surat , laporan diplomatik
serta gambaran asli saksi – saksi.[26]
Beliau juga menggunakan kaedah hermeneutis yang dipelajarinya semasa di
universiti untuk memtafsirkan sumber – sumber tersebut. Baginya, kewibawaan
sejarawan berfikir secara kritis akan membuktikan sejarah yang dihasilkan
adalah objektif.
Berkembangnya aliran sejarah aliran objektif adalah bersaskan
keyakinan tentang kemampuan memperolehi fakta – fakta sejarah yang muktamad.[27]
Hal ini mendorong kepercayaan sejarawan terhadap sejarah adalah cabang sains
kerana mampu muncul secara bersifat saintifik dan objektif sebagaimana kkajian
sains tabii. [28]
Ranke terus menegaskan, sejarah yang saintifik menuntut sejarawan
bersikap objektif semasa menyelidik dan menulis. Hal ini disarankan kepada
mereka yang mengkaji sejarah harus ‘berdiri di luar’ peristiwa, masyarakat,
ataupun negara yang dikaji. Secara langsung sejarawan merupakan saintis yang
menganalisis perkaranya tanpa perlu melibatkan perasaan kemanusiaan dan sikap
memihak kepada sesuatu kumpulan atau sebagainya. Hasilnya, penulisan sejarah
yang sebenar – benarnya berlaku berjaya dihasilkan.
Pendapat Ranke disokong oleh J. B. Bury yang menegaskan prinsipnya,
‘sejarah adalah sains, tidak lebih dan tidak kurang’. Sejarah yang saintifik
dan sejarah sebagai sains membawa maksud yang sama iaitu sejarah yang objektif
mampu dihasilkan seratus peratus.
Walsh pula berpendirian sejarah yang objektif penting namun beliau
meletakkan keobjektifan sejarah pada paras yang lebih rendah daripada apa – apa
yang di capai oleh sains semulajadi. [29]
Hal ini disebabkan dalam ilmu sains semulajadi, keputusan muktamad dapat
diambil dalam menyelesaikan sesuatu permasalahan. Segala perselisihan tentang
sesuatu keputusan dapat di atasi melalui cara – cara tertentu dan seterusnya
mendapat pengakuan dan pengesahan daripada pakar yang berwibawa. Namun,
mengkaji sejarah tentang sesuatu pada masa silam bukan sekadar bergantung
kepada sumber – sumber yang diperolehi tetapi
juga memerlukan tafsiran yang khusus daripada sejarawan yang mengkajinya. Hal
ini tidak dapat tidak menimbulkan gmbaran – gambaran tertentu dalam minda
pengkaji tersebut malahan proses melengkapkan sejarah mengikut kronologinya
telah menimbulkan percanggahan di antara mereka.
Walsh menambah, ilmu sains semulajadi mampu muncul lebih objektif
berbanding sejarah adalah disebabkan keupayaannya untuk mengenepikan unsur
peribadi dan prasangka. Berbanding dengan ilmu fizik atau kimia yang mematuhi
syarat keobjektifan ini, sejarawan tidak dapat melepaskan diri daripada
pengaruh ‘satu set kepentingan, kepercayaan dan nilai’. Hal ini khususnya
apabila mereka memilih fakta yang benar – benar sahih dan menolak maklumat yang
tidak penting. Walaupun Walsh enggan menolak terus sejarah diterima sebagai satu
bidang ilmu yang objektif, beliau mengakui bahawa sejarah mempunyai kaedah –
kaedah yang utuh dalam memastikan unsur seperti emosi, prasangka dan nilai
peribadi tidak berleluasa sehingga menjadikan sejarah sebagai satu dakyah.
Selain itu, konsep yang dibawa oleh Ranke ini mempunyai persamaan
dengan konsep yang dikemukakan oleh Ibnu Khaldun melalui konsep “sejarah yang
betul”. Ibnu Khalldun merupakan seorang ahli falsafah yang telah berjaya
menghasilkan karya ulung berjudul Kitab
al – Ibar wa Ad- Diwan al- Mubtada’ wa al- Khabar fi Ayyam al- Arab wa al- Barbar. Karya ini begitu memberi
penekanan kepada soal objektiviti dalam sejarah. Ibnu khaldun melihat bahawa
kebenaran sejarah ditentukan oleh penekanan terhadap prinsip penilaian yang
melibatkan pemikiran yang kritis dalam kaedah penyelidikan. Beliau juga begitu
mementingkan penemuan kebenaran catatan atau maklumat. [30]
Hal ini bererti beliau menegaskan dalam menghasilkan karya yang objektif
seseorang ahli sejarah perlu memisahkan dirinya daripada penulisannya.
Sejarawan juga perlu mengabaikan kepentingan diri dan politik serta sentimen
perasaan dan sebagainya yang boleh membawa kepada sikap bias, serta mereka
perlu mengemukakan fakta – fakta yang sahih dan menggambarkan kebenaran.
Pandangan Ibnu Khaldun sangat bernas dan diakui oleh B. Lewis yang merujuk
Muqqadimah Ibnu Khaldun sebagai sebuah ensiklopedia sintesis mengenai
metodologi sains kebudayaan yang sangat
penting. Ia juga dapat membantu ahli sejarah menghasilkan kajian – kajian yang
benar bagi ilmiah…[31]
Walaupun pandangan Ranke telah Berjaya memikat hati kebanyakkan ahli
sejarah pada abad ke-19, namun, pengaruh aliran ini mulai tergugat sejak tahun
1890an apabila sarjana – sarjana seperti Karl Lamprecht dan Wilhelm ( Jerman ),
Henry Berr ( Perancis ) , Benedetto Croce ( Itali ) serta Carl Becker, James
Harvey Robinson dan Charles Beard (Amerika Syarikat) telah mempertikaikan
keupayaan sejarawan untuk menghasilkan penulisan sejarah yang bersifat objektif
dalam erti kata yang sebenar.
Menurut Kamus Dewan, subjektif bermaksud pandangan orang atau pihak
yang menilai ( tidak pada ciri – ciri
sebenar sesuatu yang dinilai atau dilihat ) iaitu melihat daripada sudut
pandangan atau mengikut perasaan sendiri. [32]
Hal ini dilihat apabila tafsiran yang
dlakukan lebih dipengaruhi oleh perasaan atau prasangka diri. Kajian sejarah
yang berkonsepkan subjektif adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Lazimnya
sejarawan yang melakukan kajian akan mentafsir bahan – bahan yang diperolehnya
mengikut tafsirannya sendiri. Tafsiran melalui kefahaman yang berbeza –beza
inilah yang menjadikan konsep subjektif begitu ketara dalam kajian atau
penulisan sejarah. Sememangnya konsep subjektif dan objektif dalam penulisan
sejarah mempunyai kaitan yang rapat antara satu sama lain samada dari segi
ideologi, pandangan dan kaedah penulisan. [33]
Kajian sejarah merupakan satu kajian yang boleh menimbulkan bias atau berat
sebelah yang kadang kala berbentuk ekstrem. [34]
Konsep subjektif ini dikatakan muncul dalam penulisan sejarah akibat
naluri dan kecenderungan semulajadi manusia sendiri yang suka memilih sesuatu
yang dianggap penting dan mengenepikan sesuatu yang dianggap tidak penting. Dapat
dilihat misalnya dalam penulisan karya dari timur iaitu Tuhfat Al- Nafis yang
cenderung menaikkan martabat golongan bugis dan mempersenda – sendakan
institusi kesultanan Melayu serta golongan Minagkabau. [35]
Begitu juga dalam karya – karya lain seperti Hikayat Abdullah yang memasukkan
pendapatnya tersendiri dan Misa Melayu yang menceritakan tentang kerajaan Perak
suatu ketika dahulu. Pengarang masing – masing mentafsirkan sejarah mengikut
kaca mata masyarakat pada zaman tersebut. Tidak ketinggalan juga karya dari
barat yang dianggap tergolong dalam penulisa sejarah secara relatif iaitu A History of Malaya ( R. O. Winstedt ) dan A
History of Peninsular Malaya. Sememangnya terdapat unsur relatif di dalam
penulisan sejarah kerana sejarah yang sebenar dan tepat adalah mustahil untuk
dicapai. [36] Ahli
sejarah yang berpegang kepada konsep subjektif ini dikenali sebagai golongan
relative atau relativis. Golongan ini berpendapat sejarah tidak mampu
dipaparkan keseluruhan realiti masa lampau, bahkan akan melahirkan pula
gambaran – gambaran yang bercanggah.[37]
Terdapat ramai pengikut aliran ini antaranya R. G. Colingwood, Charles A.
Beard, E. H. Carr dan lain – lain.
Antara pandangan sejarawan terhadap penulisan yang dipamerkan secara
subjektif ini adalah Buchahardt yang
mengatakan sejarah merupakan bidang ilmu yang paling tidak saintifik, namun
terdapat begitu banyak perkara yang wajar diketahui. Buchahardt juga mengkritik
pemikiran J. B. Bury yang berpendapat “sejarah adalah sains, tidak lebih, tidak
kurang”. Hal ini disebabkan sains adalah sesuatu yang tepat dan tulen
kebenarannya serta segala keputusan melalui pelbagai pengamatan, kaedah –
kaedah tertentu, uji kaji dan sebagainya. Di sini, tidak timbul banyak
persoalan yang mengelirukan sebaliknya dalam ilmu sejarah terdapat banyak
perkara yang perlu ditafsirkan hanya bersandarkan sumber dokumen yang ada.
Perkara ini telah menimbulkan persoalan yang membingungkan para pengkaji
sejarah.
Selian itu, golongan relatif berpendapat bahawa sejarah merupakan
suatu kajian penyelidikan yang dijalankan oleh sejarawan dan sejarah juga
adalah berbeza seperti juga kehidupan dan semangat pelbagai zaman. [38]
F. R. Ankersmit menyatakan bahawa setiap telaah sejarah samada dari masa silam,
masa kini, atau masa depan selalu bersifat objektif. [39]
Hal ini disebabkan setiap tafsiran sejarah oleh para pengkaji sejarah dilakukan
pada zaman yang berbeza dan individu yang mentafsir juga terdiri daripada orang
yang berlainan. Maka tidak hairanlah sekiranya sejarah ditulis secara subjektif
diterima pakai oleh masyarakat dunia.
Pandangan Hugiono pula mengatakan subjektiviti ialah kesaksian atau
tafsiran yang merupakan gambaran yang dihasilkan oleh perasaan dan akal fikiran
manusia. [40]
Katanya lagi, objek yang ingin memberikan gambaran tentang dirinya tidak
berbicara sendiri tetapi subjektiflah yang berbicara. Jelas di sini bahawa
beliau berpendapat segala sumber yang diperolehi seperti dokumen tidak mampu
memahamkan sejarawan melainkan sejarawan itu sendiri bertindak mentafsirkannya
berdasarkan pemikiran masing – masing.
Pengertian konsep relatif ini diteruskan oleh Sartono yang
mendefinisikan subjektiviti sebagai sesuatu yang bersifat subjek. Terdapat
empat item subjek di dalam subjektiviti khususnya dalam ilmu sejarah iaitu
subjektiviti peribadi seperti perasaan senang atau tidak,subjektiviti golongan
seperti suku, agama, ras, dan kelas,subjektiviti budaya seperti nilai dan
orentasi dan yang terakhir adalah subjektiviti waktu, Zeitgeist dan sebagainya. [41]
Perkara tersebut tidak dapat dipisahkan oleh para pengkaji sejarah yang
merupakan individu biasa dan lahir dalam zaman yang berlainan. Menurutnya lagi
k sejarah bersifat subjektif kerana setiap pengungkapan atau gambaran telah
melalui proses ‘pengolahan’ dalam pemikiran. Sejarah tersebut diamati dan
dialami serta dimasukkan ke dalam pemikiran subjek sebagai persepsi. Hal ini
sudah tentu ianya tidak terlepas daripada diwarnai oleh sesuatu yang subjek
atau penilaian.
Louis ottchalk turut memberikan takrifannya iaitu tinggalan zaman
lampau tidak lagi dapat dilihat dan disentuh pada zaman ini. Justeru, fakta –
fakta tersebut hanya terdapat dalam pemikiran sejarawan dan itulah yang
dikatakan subjektif. Menurutnya lagi, subjektif itu adalah perolehan khayalan
yang berdasarkan kepada pertimbangan yang bersifat peribadi. [42]
Penulisan sejarah secara objektif mendapat perhatian ramai
sejarawan. Menurut Abdul Rahman Haji Abdullah, kajian tentang ilmu sejarah ini
telah didorong oleh banyak faktor yang berbentuk relatif. Antaranya ;
“ Faktor naluri atau
kecnderungan semulajadi manusia sendiri yang suka memilih sesuatu yang dianggap
penting dan berguna serta mengenepikan sesuatu yang dianggap tidak berguna. Di
samping itu terdapat pula faktor agama dan ideology yang berbentuk pegangan dan
tindakan seseorang. Semakin kuat komitmen manusia kepadanya, maka semakin
besarlah kemungkinan ia bersifat subjektif.”
Hal in menerangkan bahawa setiap masyarakat atau setiap generasi
dapat memberikan pandangannya terhadap peristiwa yang berlaju pada masa lampau
berdasarkan pelbagai interpretasi masing – masing.
Penulisan secara subjektif ini diperjuangkan oleh sarjana – sarjana
seperti Profesor Carl Becker. Dalam sebuah rencana yang berjudul “ Detachment
and The Writing of History”, beliau menyangkal dakwaan golongan objektif yang
menerapkan “kebenaran mutlak” dalam penulisan sejarah. Beliau mengatakan juga
objektivis tersebut sendiri telah berkecenderung mentafsir fakta – fakta “dari
sudut tujuan – tujuan mereka sendiri atau kepentingan zaman mereka sendiri.”
Fakta – fakta sejarah tidak muncul sebagai entiti– entiti berasingan sebaliknya
ia adalah hasil pemilihan yang dilakukan oleh sejarawan sendiri berpandukan
kepada “pengalaman peribadi”. Misalnya dalam zaman yang dikongkong oleh
revolusi politik, maka sejarawan pada ketika itu berkecenderung untuk melihat
sejarah sebagai “ politik masa lampau”. Begitu juga sekiranya pada sesuatu
zaman berlaku kemelesetan ekonomi, maka sejarawan mentafsirkan sejarah sebagai
“ interpretasi ekonomi sejarah”.[43]
Becker telah memperkemaskan hujah – hujah beliau menerusi satu
penulisan yang bertajuk “ What re Historical Facts?” yang di karang pada tahun
1926 dan diterbitkan pada 1955. Menerusi penulisan tersebut, Becker menegaskan
lagi bahawa mustahil bagi seseorang sejarawan menggambarkan secara
keseluruhannya sebarang peristiwa yang benar sekalipun yang mudah sekali.
Selain itu, gambaran yang digambarkan oleh sejarawan tersebut tidak dapat
mengikis unsure peribadinya sendiri. Oleh itu, Becker berpendapat, “ sejarah
sesuatu peristiwa adalah tidak semestinya hal yang serupa untuk dua orang yang
berbeza.” Hakikat ini juga dapat dibuktikan
daripada kenyataan bahawa setiap generasi akan menulis sejarahnya sendiri. [44]
Selain Becker, Profesor Charles A. Beard turut membangkang apa – apa
yang dikatakan oleh Leopold Von Ranke dan mereka yang daripada golongan
objektif. Menerusi ucapannya yang bertajuk “ Written History as an Act of Faith”
dalam persidangan Persatuan Sejarah Amerika pada tahun 1933, memperakukan hujah
– hujah Becker bahawa “ sejarah adalah pemikiran sezaman mengenai masa lampau.
Sejarah mencerminkan pemikiran pengarang itu dalam masanya dan konteks
budayanya.” Beard mendakwa lagi, “ pemilihan dan penyusunan bahan – bahan” oleh
sejarawan adalah dipengaruhi “ prasangka, kepercayaan, kegemaran, asuhan am,
dan pengalaman mereka terutama social dan ekonomi.” Fakta-fakta sejarah tidak terpilih sendiri
tetapi dipilih oleh ahli sejarah dah oleh itu merupakan “satu tindakan pilihan,
(satu) kepercayaan,dan (satu) interpretasi yang melibatkan nilai – nilai.” [45]
Kadangkala sumber – sumber sejarah tidak lengkap dan hal ini memaksa
sejarawan hanya mampu memaparkan sekadar yang ada. Namun, huraian Beard ini
mendapat segelintir sejarawan pada waktu itu. Beard terus menegakkan prinsipnya
dengan nada yang lebih tegas. Malahan Beard turut mengkritik Ranke dengan
mengatakan bahawa Ranke jauh menyipang daripada keobjektifannya dan merupakan “
salah seorang ahli sejarah yang paling berat sebelah yang dilahirkan oleh abad
yang ke 19.” [46]
Hal ini disebabkan Ranke dilihat mempertahankan kedudukan golongan konservatif
Eropah yang banyak berjasa kepadanya. Ranke juga hanya menceritakan sejarah yang
berlaku daripada aspek politik sahaja dan mengabaikan aspek – aspek lain
seperti ekonomi dan sosial.
Beard menyifatkan satu kesukaran untuk memunculkan sejarah secara
objektif seratus peratus kerana sumber – sumber sejarah bukanlah lengkap kerana banyak peristiwa yang
berlaku tidak dirakam oleh saksi mata atau peristiwa tersebut berlaku di luar
pengetahuan umum. Sejarawan juga didapati memilih maklumat tertentu sahaja
untuk melengkapkan sejarah. Hal ini bererti masih terdapat sesetenga maklumat
yang tercicir atau sengaja dicicirkan.
Di samping itu, terdapat kajian yang dijalankan di Malaysia terhadap penulisan –
penulisan sejarah dalam mengetahui kemampuannya untuk muncul secara objektif
atau tidak. Aktiviti ini dilaksanakan oleh Profesor Khoo Kay Kim. Dalam kajian
beliau menyatakan penulisan secara objektif tidak mampu ditegakkan malah ia
dipengaruhi oleh unsur – unsur subjektif yang berupaya menyelewengkan penulisan
tersebut. Menurut pandangan Khoo, persoalan objektiviti tidak bergantung kepada
kebenaran fakta – fakta semata – mata, tetapi bergantung kepada kebolehan ahli
sejarah untuk mengisahkan dan menceritakan dengan adil serta seimbang.
Sekiranya ahli sejarah meninggalkan maklumat tentang sesuatu perkara atau tokoh
contohnya, ia akan dianggap dan tidak bleh dipandang sebagai objektif.
H. E. Barnes pula sememangnya tidak bersetuju apabila penulisan
sejarah ditafsirkan seratus peratus secara objektif. [47]
Beliau turut menyenaraikan empat
kelemahan Ranke. Pertama, Ranke gagal menggunakan keseluruhan sumber – sumber
yang boleh didapati bagi sesuatu kajian yang dijalankan olehnya. Kedua, Ranke
terlalu menekankan soal – soal politik dan tokoh – tokoh. Ketiga, beliau
terlalu menonjolkan ketaatan keagamaan akibat daripada pengajiannya dalam
bidang teologi dan teorinya sejarahnya berbentuk ketuhanan.Akhir sekali, Ranke
terlalu ghairah untuk menulis sejarah mengenai Luther, keluarga Honenzollern,
dan Prussia .
[48]
Ranke dalam History of The Popes telah melambung – lambung
memuji perjuangan Martin Luther secara khusus dan kaum Protestan secara amnya.
Sebaliknya beliau mengutuk peranan kaum
Katolik dan Paus kerana didapatibertindak kejam atau memesongkan kesucian
ajaran agama Kristian. [49]
Profesor E. H. Carr menerusi karyanya yang berjudul Apakah Sejarah telah merumuskan bahawa
sejarah sebagai satu proses interaksi yang berterusan di antara sejarawan
dengan fakta – fakta. Ia merupakan suatu dialog yang tidak putus – putus dan
berterusan di antara masa kini dan masa lalu. Memetik kata – kata beliau iaitu;
“…masyarakat dan individu
tidak boleh dipisahkan…( dan ) …ahli sejarah… adalah manusia individu lain, dia
juga adalah gejala sosial, hasil dan
jurucakap secara sedar dan tidak sedar masyarakatnya; dalam kedudukan inilah
dia mendekati fakta - fakta lampau
sejarahnya. (
Hlm. 31 )
Dalam bukunya yang bertajuk What
is History? Carr telah menimbulkan persoalan terhadap golongan objektif
dalam usaha menentukan keobjektifan sejarah dengan hanya bersandarkan kepada
pemisahan mutlak antara objek dan subjek, atau “antara si pemerhati dengan
perkara yang diperhati”. [50]
Bagi Carr, pemisahan diantara objektif dan subjektif tidak sesuai dalam
pengkajian sejarah kerana ia tidak mencerminkan hubungan yang sebenar di antara
ahli sejarah dengan perkara yang dikajinya. Dapat dilihat contohnya, fakta yang
hanya berdasarkan kepentingan yang diberikan kepadanya tanpa mempedulikan
kepentingan dari sudut interpretasi atau pentafsiran yang dimajukan oleh sahli
– ahli sejarah. Hal ini bermaksud sekiranya
ciri – ciri tersebut tidak disatukan iaitu diasing – asingkan, maka
keobjektifan dalam erti kata yang sebenar gagal dilaksanakan.
Carr menyatakan bahawa penafsiran sejarah menunjukkan tahap kemajuan
seseorang ahli sejarah dengan mempamerkan interpretasi yang bernas dan halus.
Bagi Carr, sejarah secara muktamad ataupun kebenaran mutlak tidak mampu dicapai
sampai bila – bila. [51]
Selain itu, pandangan daripada Profesor David Thomsom mengatakan, “
kemungkinan tentang ( menghasilkan ) sesuatu gambaran ( sejarah ) yang benar –
benar ‘objektif’ dan ‘tidak berat sebelah’ adalah sememangnya satu keajaiban. Thomson menghujahkan
ketidakupayaaan ahli sejarah untuk menulis sejarah yang objektif berpunca
daripada “keadaan sekeliling sosialnya dan asuhannya, atau oleh fikiran dan
pendirian yang diwarisinya.”
R.G. Collingwood memberi tafsiran dengan menganggap semua sejarah
adalah sejarah pemikiran yang memerlukan ahli sejarah menggambarkan kembali
pengalaman – pengalaman yang lalu. Dalam erti kata lain, sejarah adalah
peristiwa yang lalu dan sejarawan menghuraikan tentang perkara yang berkaitan
dengan pelbagai bidang seperti sosiologi, politik, mahupun ekonomi.
Kesimpulannya, penulisan sejarah tidak mampu dipaparkan secara
seratus peratus atau sepenuhnya objektif. Kesukaran dalam mempersembahkan fakta
– fakta yang tulen dan benar serta secara menyeluruh telah menjadikan kerelatifan
diguna pakai oleh sejarawan. Walaupun terdapat pelbagai pendapat dan
percanggahan idea dalam kalangan ahli sejarah, namun penting bagi generasi akan
datang diberikan maklumat yang tepat mengenai peristiwa – peristiwa sejarah
yang berlaku suatu ketika dahulu.
[1] Ishak bin Saat, Ilmu Sejarah
Antara Tradisi Dan Moden, Shah Alam : Karisma Publications Sdn. Bhd., 2007,hlm.
27.
[2] Noresah Baharom ( pysn ), Kamus Dewan, Edisi Ketiga, Kuala Lumpur
: Dewan Bahasa Dan Pustaka, 2000, hlm.
939.
[3] R. Suntharalinggam, Pengenalan Kepada Sejarah, Kuala Lumpur,
Marican & Sons Sdn. Bhd. , 1985, hlm 119.
[4] Muhd Yusof Ibrahim dan Mahayudin Haji Yahya, Sejarawan Dan Pensejarahan, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa Dan
Pustaka, 1988, hlm. 231
[5] Tun Sri Lanang ( terjemahan oleh Muhammad Haji Salleh ), Sulalatus
Al-Salatin , Kuala Lumpur : Dewan Bahasa Dan Pustaka, 1997, hlm. Xii.
[6] Ishak bin Saat, Ilmu Sejarah Antara Tradisi Dan Moden,
Shah Alam : Karisma Publications Sdn. Bhd. , 2007,hlm. 7.
[7] Antara yang menolak karya
ini sebagai karya agung Melayu yang objektif ialah J.C. Bottoms, Winstedt, dan
Wilkinson. Mereka melihat dari sudut kaca mata mereka sendiri iaitu penulisan
sejarah haruslah mengandungi kaedah dan teori-teori sejarah moden, fakta-fakta
sejarah mesti daripada sumber yang terpilih, tafsirannya tepat dan saintifik,
bersikap humanistik, bebas daripada unsure-unsur mitos dan lagenda dan
mempunyai self revelatory seperti yang digariskan oleh R.G. Collingwood
dalam bukunya, History of Ideas.
[8] Mohd Yusof Ibrahim, Ilmu Sejarah : Falsafah , Pengertian Dan
Kaedah, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa Dan Pustaka, 1997, hlm. 212.
[9] Penjelasan yang terperinci
terdapat di dalam bukunya An Introduction to Philosophy of History.
[10] Mohd Yusof Ibrahim, Ilmu Sejarah : Falsafah, Pengertian Dan
Kaedah, 2000, hlm. 147-148.
[11] Louis Gottchalk, Understanding History : A Primer of
Historical Method. Second edition,
New York : Alfred A Knopf, 1969, hlm 42.
[12] Keterangan lebih terperinci
di dalam; Louis Gottchalk, Mengerti
Sejarah, ( terjemahan ) Nugroho Notosusanto, Indonesia : Yayasan Penerbit
Universitas Indonesia, 1975,hlm. 27.
[13] Donald V. Gawronski, History Meaning And Method, Philippine :
Foresman And Company, 1975, hlm. 15.
[14] Sartono Kartodirdjo, Pendekatan
Ilmu Sosial Dalam Metodologi Sejarah, Jakarta : PT Gramedia Pustaka Utama, 1992,hlm. 15.
[15] Ibid, hlm. 65.
[16] Dundung Abdul Rahman, Metode
Penelitian Sejarah, Jakarta : Logos
Wacana Ilmu, 1999,hlm. 9.
[17] Trygue R. Tholfsen, Historical Thinking : An Introduction,
New York : Harper And Row Publishers, 1967, hlm. 227.
[18] Lahir pada 21 Dis 1795 di Wieche, Saxony ,
Jerman. Tamat pelajaran di School Schulforta, memasuki Universiti Leipsic,
pnekhususan teologi dan ilmu dari dunia klasik. ( Yunani dan Rumaw ). Minat
membaca dan mengkaji tokoh terdahulu. Meninggal di Berlin pada 23 Mei pada usia
91 tahun.
[19] Ishak B. Saat, Ilmu Sejarah Antara Tradisi Dan Moden,
Shah Alam : Karisma Publications Sdn. Bhd., 2007, hlm. 27.
[20] P. Geyl, Debates With Historians, hlm. 9 (
penyunting ) R. Suntharalingam, Pengenalan Kepada Sejarah,Kuala Lumpur :
Marican & Son ( M ) Sdn. Bhd., 1985, hlm.120.
[21] Qasim Ahmad, Karya Sejarah : Pendekatan Dan Persoalan,
edisi kedua, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa Dan Pustaka, , 2000, hlm. 58.
[22] Muhd Yusof Ibrahim dan
Mahayudin Haji Yahya, Sejarawan Dan
Pensejarahan, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa Dan Pustaka, 1988, hlm. 276.
[23] R . Suntharalingam, Pensejarahan Barat, Penerbit Fajar
Bakti, Petaling Jaya, 1987, hlm. 110.
[24] R . Suntharalingam, Pengenalan Kepada Sejarah, Marican &
Sons ( M ) Sdn. Bhd., Kuala Lumpur, 1988, hlm. 60.
[25] Ishak B. Saat, Ilmu
Sejarah Antara Tradisi Dan Moden, Karisma
Publications Sdn, Bhd., Shah Alam, 20007, hlm. 28.
[26] Ibid, hlm. 28.
[27] Ibid, hlm. 27.
[28] Abdul Rahman Haji Abdullah, Pengantar
Ilmu Sejarah, Dewan Bahasa Dan
Pustaka, Kuala Lumpur, 1996, hlm. 106.
[29] R . Suntharalingam, Pengenalan
Kepada Sejarah, Marican & Sons (
M ) Sdn, Bhd., Kuala Lumpur, 1985, hlm. 127.
[30] Muhd Yusof Ibrahim dan
Mahayudin Haji Yahaya, Sejarawan dan Pensejarahan, hlm. 290.
[31] B. Lewis, Encyclopedia of Islam, London , jilid iii, 1971, hlm. 830.
[32] Kamus Dewan, edisi keempat, Kuala
Lumpur .
[33] Ishak B. Saat, Ilmu Sejarah Antara Tradisi Dan Moden,
Karisma & Sons Sdn. Bhd., Shah Alam, 2007, hlm. 12.
[34] Dundung Abdul Rahman, Metode Penelitian Sejarah, hlm. 6.
[35] Raja Ali Haji, 1998 (peny) Virgiana Maheson Hooker, Tuhfat Al – Nafis, Yayasan Karyawan Dan
Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur .
[36] Abdul Rahman Haji Abdullah, Pengantar Ilmu Sejarah, Dewan Bahasa dan
Pustaka, Kuala Lumpur, 1994, hlm. 113.
[37] R. Suntharalingam, Pengenalan
Kepada Sejarah, Marican & Sons
Sdn. Bhd., 1985, hlm. 119.
[38] Ishak B. Saat, Ilmu Sejarah Antara Tradisi Dan Moden, Karisma
Publications Sdn. Bhd., 2007, hlm. 28.
[39] Dundung Abdul Rahman, Metode
Penelitian Sejarah, hlm. 6.
[40] Hugiono & Poerwantana, Pengantar Ilmu Sejarah, Rineka Cipta, Jakarta , 1992, hlm. 26.
[41] Sartono Kartodirdjo, Pendekatan Ilmu Sosial dalam Metodologi Sejarah, hlm. 219.
[42] Louis Gottchalk, Mengert Sejarah, (terj) Nughoro
Notosusanto, hlm. 28.
[43] R. Suntharalingam, Pengenalan Kepada Sejarah, Percetakan P.
K. S. Sdn. Bhd., Petaling Jaya, 1985, hlm. 122.
[44] P. L. Synder (peny ), Detachment and the Writing of History.
Esseys and letters of Carl Becker, Ithaca ,
1967, hlm. 41-64.
[45] Ibid, R. Suntharalingam,
hlm 122.
[46] Ibid, hlm. 122.
[47] Barnes juga merupakan penentang aliran pemikiran objektivis.
[48] H. E. Barnes, A History of Historical Writing, second
edition, Dover Publication Inc, New
York , 1963, hlm.246.
[49] R. Suntharalingam, Pensejarahan Barat, hlm. 133.
[50] R. Suntharalingam, Pengenalan Kepada Sejarah, hlm. 128.
[51] Ibid, hlm. 130.
No comments:
Post a Comment