nuffnang

Thursday, June 13, 2013

SUMBER SEJARAH II

PENGENALAN

Sebelum munculnya tamadun manusia, kehidupan manusia di peringkat awal dikenali sebagai masyarakat prasejarah ataupun disebut sebagai manusia Zaman Batu. Pada Zaman Batu ini, kehidupan manusia di anggap sebagai zaman yang tidak bertamadun. Hal ini kerana, zaman prasejarah hidup dalam keadaan primitif dan terbatas dalam segala aspek kehidupan mereka. Zaman prasejarah terbahagi dua tahap iaitu zaman prasejarah dan awal dan zaman prasejarah akhir. Masyarakat prasejarah yang terawal ditemui pada zaman awal Pleistocene (Zaman Ais) dikenali sebagai Autralopiehecines[1] di kawasan Timur dan Selatan Afrika. Selain itu, masyarakat awal prasejarah ini berkembang dan hidup merangkumi dalam dua zaman iaitu Paleolitik dan Mesolitik.
Manusia pada Zaman Paleolitik digambarkan mereka hidup secara berpindah randah dari satu tempat ke satu tempat, memburu binatang, memungut hasil Manusia hidup pada Zaman Paleolitik Akhir dan Zaman Mesolitik sekitar 50,000-10,000 B.C. dikenali sebagai manusia Homo Sapien iaitu manusia Zaman Batu Pertengahan. Ciri-ciri manusia-manusia zaman ini digambarkan mereka mula tinggal di gua-gua berhampiran di tepi-tepi sungai, mereka telah menggunakan alat-alat batu merepih yang halus daripada batu-batu sungai dan tajam untuk kegunaan pemotongan, mula memburu, menangkap ikan dan mereka mula melukis serta mengukir di dinding-dinding gua. Oleh yang demikian, wujud beberapa tapak arkeologi dunia yang menggambarkan kehidupan masyarakat tersebut adalah seperti di Afrika, di Eropah dan di China.[2] Daripada wujudnya zaman awal ini maka semakin berkembanglah penggunaan sumber sejarah dalam kehidupan manusia serta digunakan sebagai bahan penyelidikan sejarah supaya memperoleh fakta yang benar.
SUMBER-SUMBER SEJARAH
Sumber sejarah mempunyai beberapa makna bagi membolehkan seseorang itu mengetahui apa yang dimaksudkan dengan sumber sejarah. Menurut Oxford English Dictionary, sumber atau “source” bermaksud karya dan lain-lain yang menyediakan bukti atau rekod mengenai apa-apa maklumat yang khusus yang bersifat tulen atau asli berkenaan sesuatu fakta atau siri hal-hal tersebut.[3] Hal ini bermakna, sumber merupakan bahan yang digunakan bagi mengukuhkan lagi sesuatu pengkajian serta penyelidikan yang dilakukan ke atas sumber sejarah tersebut. Manakala menurut Kamus Dewan, sumber pula bererti asal, punca atau mula.[4] Selain itu, terdapat beberapa tokoh sejarah yang menjelaskan tentang apa yang dimaksudkan dengan sumber-sumber sejarah tersebut. Antara tokoh tersebut ialah R.G Collingwood yang menjelaskan, sumber sebagai teks yang mempunyai kenyataan mengenai sesuatu peristiwa sejarah.[5] Hal ini menjelaskan bahawa sumber adalah sesuatu bukti yang membolehkan kita mengetahui dan mempelajari sesuatu peristiwa sejarah tersebut.
Di samping itu, Muhd Yusof Ibrahim mentakrifkan sumber sebagai sesuatu yang menjadi punca kepada sesuatu lahiran pemikiran atau penulisan, tetapi berbeza dengan ilham kerana ia tidaklah abstrak mahupun spontan.[6]Hal ini kerana, sumber merupakan bahan yang boleh dirujuk kembali apabila kita memerlukannya semula. Oleh itu, pada amnya,  sumber juga boleh diertikan sebagai kumpulan bahan rujukan bagi kegunaan penyelidikan dalam mana-mana bidang keilmuan.[7] Oleh yang demikian, dalam hal ini,  bukanlah sejarawan sahaja yang memerlukan sumber untuk penyelidikan tetapi ilmu-ilmu lain juga memerlukan sumber bagi membantu membuktikan sesuatu pentafsiran sejarah. Selain itu, pada peringkat awal sumber ialah sekumpulan bahan-bahan yang tersimpan di tempat-tempat yang khusus seperti arkib, perpustakaan, muzium, pejabat menyimpan rekod, istana ataupun di rumah-rumah orang perseorangan yang ingin melakukan penyelidikan haruslah mengesan serta mengenalpasti akan sumber-sumber yang diperlukannya.
Sumber sejarah terbahagi kepada empat jenis sumber. Antaranya ialah sumber pertama, sumber kedua, sumber lisan dan sumber arkeologi. Sumber pertama ini juga dikenali sebagai sumber primer yang merupakan kumpulan sumber ataupun bahan yang boleh dirujuk tetapi masih belum ditafsirkan.[8] Apa yang menjadikan sumber-sumber ini sebagai sumber pertama ialah keadaannya sendiri yang merupakan sumber yang pertama sekali mencatatkan sesuatu peristiwa yang berlaku. Kebiasaannya catatan itu dilakukan semasa peristiwa yang berlaku dan kadangkala dibiarkan begitu sahaja. Tetapi, ia juga diperbaiki lagi dalam sesuatu minit mesyuarat.  Manakala menurut Abdul Rahman Hj. Abdullah sumber pertama ialah keterangan daripada seorang saksi atau sesiapa sahaja yang terlibat sendiri dalam sesuatu perkara yang berlaku.[9] Hal ini kerana, ia bukanlah merupakan hasil kajian atau eksperimen terhadap sumber-sumber yang lain malah ia menjadi bahan kajian atau rujukan di kemudian hari. Selain itu, menurut Profesor Luis Gottchalk, dalam bukunya Understanding History: A Primer of Historical Method, menyatakan sumber pertama adalah sumber yang diperoleh daripada saksi-saksi dalam bentuk tulisan, catatan dan juga saksi utama kepada sesuatu peristiwa yang berlaku.[10] Dalam pengertian lain, ilmu sejarah merupakan sumber primer yang dikenali sebagai sumber awalan, sumber pertama, sumber utama dan sumber sezaman. Kebiasaannya, sejarawan memilih dokumen-dokumen asli ini sebagai sumber rujukan kerana ia memberi maklumat yang tepat dan benar untuk diselidiki. Hal ini disebabkan, semakin banyak kajian yang dilakukan dengan menggunakan sumber pertama, semakin dekatlah ia mencapai kesempurnaan dan kebenaran yang bermutu tinggi. Jika diumpamakan dengan penghasilan barang-barang perindustrian, maka sumber pertama itu merupakan bahan mentah bagi penghasilan barang-barang sesuatu barangan yang dihajati. Setelah bahan mentah itu diproses, barulah hasilnya didapati dan hasilnya itu merupakan suatu hasil pemgeluaran dari beberapa peringkat proses yang berlaku di sepanjang keseluruhan proses pengeluaran tadi.
Menurut Louis Gottchalk menyatakan perkataan asli boleh membawa pelbagai makna dan tafsiran yang berbeza.[11] Menurut beliau dengan menggunakan perkataan keaslian boleh mengelakkan ahli sejarah membuat hujah dan tafsir yang tidak tepat. Beliau juga berpendapat sumber boleh dikatakan sebagai asli berdasarkan kepada beberapa perkara iaitu dari segi kandungannya yang masih baru dan dihasilkan oleh idea-idea kreatif serta sumber asli juga tidak diterjemahkan ke bahasa yang lain dan kekal dengan tulisan asal pada sesuatu sumber tersebut.
Selain itu, sumber pertama merupakan sumber awal yang belum ditafsir dan sumber ini juga sukar untuk diperoleh kerana terhad, sulit, terhapus, milik peribadi atau orang perseorangan. Walau bagaimanapun, perkataan keaslian sumber sudah menjadi perkara biasa dan diguna pakai oleh kalangan ahli sejarah.[12] Penggunaan perkataan keaslian sumber oleh ahli sejarah perlu dilihat berdasarkan kepada dua aspek iaitu apabila ahli sejarah menggambarkan sesuatu sumber primer dalam keadaan tanpa disalin semula, diterjemahkan dan dihalusi yang diperoleh secara terus dari penulis. Pada peringkat ini, sumber primer boleh dikatakan sebagai sumber asli apabila sumber tersebut dilihat dari sudut asal usul sumber. Manakala sumber primer yang dikatakan tidak asli apabila pengkaji gagal memperlihatkan asal-usul sumber yang diperoleh tidak dalam bentuk “first-hand source”. Hal ini menyebabkan, berlakunya masalah kekeliruan apabila ahli sejarah membuat pentafsiran awal terhadap sumber tersebut sedangkan sumber tersebut sepatutnya dapat memberikan maklumat yang awal merujuk kepada persoalan-persoalan semasa penyelidikan dilakukan.
Sumber primer juga dikatakan sebagai sumber yang telah lepas. Sumber ini merekod tentang masyarakat pada zaman lalu.[13] Setiap sumber pertama itu juga mempunyai perspektif yang istimewa. Tetapi seseorang penyelidik itu juga haruslah berhati-hati dalam memilih sesuatu fakta yang tepat. Sebagai contoh, dokumen yang dianggap sumber pertama itu juga haruslah difahami dan diteliti agar membolehkan sumber tersebut masih dianggap sebagai sumber asli.
Selain itu, terdapat beberapa contoh dalam sumber pertama atau sumber primer ini. Sumber pertama ini termasuklah bahan yang berupa dokumen, surat rasmi, catatan, laporan, buku harian, warkah, titah perintah dan akhbar serta majalah. Surat-surat persendirian dan koleksi peribadi juga merupakan sumber pertama.[14] Hal ini kerana, surat-surat persendirian kebiasaannya merujuk kepada koleksi individu yang telah terlibat dalam pentadbiran negara dan mempunyai pelbagai bahan simpanan mereka. Bahan-bahan tersebut mungkin terdiri dari surat rasmi, dokumen perjanjian, diari dan bahan-bahan lain yang berkaitan dengan urusan negara. Di samping itu, koleksi peribadi tersebut di bawah nama individu berkenaan. Bahan-bahan yang tergolong dalam koleksi tersebut tidak semestinya bahan sejarah. Hal ini disebabkan, ada kalanya bahan-bahan tersebut meliputi pelbagai disiplin yang menjadi minat individu berkenaan.
 Di samping itu, kebanyakan dokumen mengenai Tanah Melayu disimpan di Pejabat Tanah Jajahan London.[15] Sebagai contoh, surat Perjanjian Pangkor yang ditandatangani di Pulau Pangkor di antara Raja Abdullah di satu pihak dengan Andrew Clark di pihak yang lain pula. Manakala catatan dan laporan oleh orang asing terutamanya oleh orang Cina, Arab, Portugis, dan juga Belanda[16] merupakan kumpulan sumber pertama yang sangat bernilai bagi mengkaji sejarah empayar tersebut. Dari segi tempatan tadi, maka beberapa buah naskhah yang merupakan peninggalannya adalah juga koleksi sumber pertama yang sangat penting. Antaranya ialah sebuah buku sejarah yang telah banyak diperkatakan yang asalnya berjudul Sulalatus Salatin. Sumber tulisan pula merupakan objek yang berbentuk dan berupa. Sebagai contoh, Tamadun Sumeria terdapat tulisan Cuneiform yang berbentuk baji. Di Mesir pula, terdapat tulisan Heiroglif yang dibentuk di atas kertas Papyrus. Hal ini kerana, sumber tulisan yang dilakar atau dipahat pada dinding, batu atau kulit kayu dapat membantu penyelidikan dan sejarawan boleh mendapatkan maklumat dari sesebuah tamadun yang ingin dikaji.
Buku harian juga merupakan sumber pertama atau primer. Buku harian ini merupakan dokumen yang sangat peribadi sifatnya dan jarang sekali dijumpai.[17] Sebagai contoh, buku harian tersebut ialah Jakarta Diary dari Mochtar Lubis yang banyak memuatkan data tentang situasi masyarakat Indonesia pada masa demokrasi terpimpin. Di dalamnya, terdapat pemikiran-pemikiran, perasaan-perasaan dan pentafsiran tentang kejadian-kejadian serta situasi tentang sesuatu peristiwa tersebut. Catatan harian tersebut membolehkan para sejarawan mendapatkan sesuatu maklumat yang tepat dan benar bagi membolehkan mereka membuat sesuatu penyelidikan. Selain itu, akhbar dan majalah merupakan salah satu daripada sumber pertama. Akbar dan majalah baik dalam bahasa Inggeris, Melayu, Cina atau Tamil telah merakamkan peristiwa sezaman baik pada zaman pemerintahan Britis atau Jepun, selepas merdeka dan hingga ke hari ini.[18] Di Malaysia, akhbar dan majalah terdapat dalam pelbagai bahasa seperti Inggeris, Melayu, Cina, dan Tamil yang mempunyai sejarah yang panjang dan merupakan salah satu rekod penting sejarah. Satu perkara yang jelas ialah akhbar-akhbar ini telah merakamkan peristiwa yang meliputi aspek politik, ekonomi dan sosial. Bagi memudahkan para penyelidik mengesan akhbar-akhbar ini ia telah dibahagikan mengikut kategorikan Inggeris, Melayu, Cina dan Tamil. Oleh yang demikian, penulisan akhbar dan majalah ini haruslah dititikberatkan agar segala data yang ditulis adalah tepat dan benar serta merangkumi sesuatu peristiwa yang benar-benar berlaku. Sekiranya sesuatu data dan fakta yang terkandung diubahsuai, maka sumber di dalam penulisan akhbar dan majalah tersebut  tidak boleh di anggap sebagai sumber pertama mahupun sumber asli. Hal ini kerana, sumber pertama merupakan sumber yang belum ditafsirkan dan masih dalam keadaan asli. Oleh yang demikian, para sejarawan haruslah berhati-hati dalam memilih sumber ini sebagai bahan rujukan.
Sumber pertama atau primer mempunyai kepentingannya dalam penggunaannya dalam ilmu sejarah. Antaranya ialah sebagai bukti kesahihan sejarah. Hal ini kerana, sumber pertama merupakan sumber asli dan belum ditafsirkan oleh pengkaji sejarawan. Sumber ini juga alat yang penting kepada ahli sejarah untuk membina pentafsiran dan pertanyaan yang boleh menyokong penulisan mereka dengan tepat.[19] Penggunaan sumber primer ini bukan hanya menolong kita memahami dengan lebih baik sesuatu peristiwa sejarah tetapi memberikan jawapan-jawapan kepada pertanyaan dan persoalan yang telah lepas. Selain itu, penggunaan sumber primer oleh ahli sejarah dapat menjelaskan tentang kebenaran sejarah dari sudut keabsahan dan ketepatan fakta sejarah.[20]Ahli sejarah juga dapat menghasilkan penyelidikan dan penulisan sejarah yang berkualiti dan baik. Sumber pertama ini boleh memberikan penghayatan kepada seseorang tentang sejarah serta memberi kesedaran bahawa sumber primer tersebut penting sebagai bahan rujukan. Hal ini disebabkan, para penyelidik perlu mempunyai matlamat utama untuk mencapai ketepatan dalam penyelidikan yang dilakukan.[21] Ketepatan merupakan ciri yang tidak boleh disangkal dalam penyelidikan sejarah. Hal ini kerana, sumber pertama mengekalkan lagi keobjektifan dalam penulisan sejarah agar tidak diselewengkan untuk dijadikan bahan rujukan pada masa akan datang.
Sumber kedua atau sumber sekunder juga merupakan sumber sejarah yang penting. Sumber kedua ini ialah kajian-kajian ataupun penulisan-penulisan yang telah dilaksanakan oleh seseorang mahupun sesuatu kumpulan, tentang sesuatu peristiwa, tokoh-tokoh dan sebagainya. Kajian-kajian tersebut berdasarkan kepada sumber pertama.[22] Menurut amalan-amalan ilmiah pada hari ini, penghasilan sesuatu sumber kedua itu haruslah melalui suatu tatacara atau kaedah penyelidikan yang teratur supaya hasilnya akan merupakan suatu hasil yang boleh diterima kebenarannya. Selain itu, menurut Arba’iyah Mohd Noor, sumber kedua ini ialah ibarat tulisan atau buku yang ditulis oleh sejarawan tentang sesuatu tokoh, sesuatu sumber lain dan sebagainya.[23] Sumber kedua ini juga merupakan sumber-sumber sejarah yang telah diproses, ditafsir dan dinilai oleh ahli sejarah daripada bentuk sumber primer kepada bentuk sumber sekunder.[24] Louis Gottchalk dalam bukunya Understanding History: A Primer of Historical Method menyatakan sumber sekunder adalah sumber yang berbentuk catatan yang diperoleh daripada sesiapa sahaja yang bukan saksi iaitu seseorang yang tidak hadir semasa kejadian itu berlaku.[25] Sumber sekunder juga dikenali sebagai sumber kedua dan sumber bukan sezaman. Ahli sejarah selalunya akan mencari sumber kedua yang boleh dipercayai sebagai bahan rujukan supaya mereka  dapat memahami dan menyesuaikan sumber primer yang akan digunakan.
Sumber sekunder atau kedua ini mempunyai beberapa cirri-ciri menarik yang perlu. Ianya merupakan sumber mentah yang telah diproses oleh ahli sejarah semasa melakukan penyelidikan dan penulisan sejarah sama ada dalam bentuk teks ataupun buku-buku rujukan.[26] Pada peringkat ini, ahli sejarah akan menemukan fakta-fakta yang telah ditafsirkan, dianalisis dan dibuat pertimbangan bagi menentukan kesejarahannya tentang sesuatu peristiwa. Selain itu, sumber kedua atau sekunder ini merupakan sumber yang sudah diterjemahkan kepada bahasa Malaysia. Satu lagi sifat sumber sekuder iaitu sumber ini sudah dibuat tafsiran oleh ahli sejarah semasa mereka menjalankan kajian. Oleh itu, ramai pengkaji menjadikan sumber sekunder sebagai teks rujukan dan sumber maklumat kedua yang diperoleh.
Di dalam sumber kedua, terdapat beberapa contoh yang boleh didapati dalam penggunaan sumber tersebut. Antaranya ialah buku-buku, majalah dan juga akhbar, latihan ilmiah, tesis, karangan mahupun esei yang menganalisis sesuatu isu yang penting. Sebagai contoh, bagi sejarah tanah air pada zaman Melaka, penulisan sarjana Barat seperti A History of the Peninsular Malaya oleh R.J Wilkinson bolehlah dirujuk sedikit sebanyak tentang sumber tersebut.[27] Selain itu, karya-karya sastera atau novel-novel sejarah juga merupakan sumber kedua.[28] Tetapi, penulisan daripada sumber tersebut tidak dapat diterima sebagai pengertian sejarah yang sepenuhnya. Oleh sebab itu, sumber tersebut haruslah diamati dengan teliti jika kita ingin menggunakan atau menerimanya sebagai suatu sumber rujukan yang baik. Antara sebabnya ialah penulisan demikian ternyata merupakan hasil-hasil karya yang mencampuradukkan unsur-unsur kesusasteraan dengan sejarah.[29] Ia juga sering mengandungi motif subjektif mahupun motif dalam diri yang tertentu. Misalnya, Darus ahmad di dalam bukunya Raja  Ali Haji, Pahlawan Terbilang. Walau bagaimanapun, bukanlah bererti karya demikian tidak mempunyai fungsi dan kegunaannya ataupun tidak terpakai langsung. Malah ia juga memberikan teladan dan pengajaran kepada pembacanya. Oleh itu, pada dasarnya karya seperti itu boleh digunakan sebagai sumber rujukan kedua, tetapi penggunaannya haruslah dengan penuh hemat, teliti dan syak wasangka.[30] Penulisan yang dihasilkan pada kurun ke-18 dan ke-19 seperti Tuhfat Al-Nafis juga digunakan sebagai sumber kedua. Terdapat beberapa ahli sejarah menggunakan karya tersebut sebagai rujukan dan terdapat ahli sejarawan yang beranggapan mempunyai ketepatan dan kebenaran sejarah dalam sumber tersebut.[31] Akan tetapi, perlu diambil kira tentang sesuatu keobjektifan di dalam penulisan tersebut. Hal ini disebabkan terdapat beberapa unsur bias dalam penulisan karya tersebut. Teks Tuhfat Al-Nafis dianggap menarik disebabkan penulis menceritakan tentang asal usul dan watak Raja Kecik serta menceritakan tentang asal usul Raja Bugis di Mengkasar, bagaimana Sultan Mahmud Johor dibunuh, adakah semasa sedang berwuduk menurut naskhah Riwayat-Terengganu itulah yang menjadi minat ahli sejarah.[32]
Oleh yang demikian, terdapat kepentingan terhadap penggunaan sumber kedua atau sumber sekunder. Antaranya ialah berfungsi sebagai bahan rujukan yang telah diproses dan mengalami perubahan secara fizikal iaitu daripada berbentuk fakta-fakta mentah kemudiannya digunakan untuk menghasilkan penulisan sejarah dalam bentuk jurnal, artikel dan buku.[33] Sumber sekunder penting dalam membuat kajian, mahupun pandangan sekali lalu, sedikit sebanyak menggambarkan tentang pandangan seseorang pengkaji itu terhadap perkara dan juga terhadap alam persekitaran masa lalu yang dikajinya. Kadangkala pandangannya itu melambangkan pandangan rasmi masyarakat ataupun pemerintah sezamannya ataupun budaya serta sikap yang cuba dipaksakannya terhaddap perkara yang dikajinya seperti halnya dengan apa yang dilakukan oleh beberapa orang pentadbir British yang dinyatakan.[34]Selain itu, sumber kedua ini boleh memberikan gambaran sebenar kepada ahli sejarah tentang sesuatu peristiwa yang ditulis kerana telah ada orang yang terdahulu mengkaji tentang peristiwa tersebut. Pada kebiasaannya, ahli sejarah akan berhati-hati dengan sumber sekunder apabila mereka membuat analisis secara kritikal. Hal ini kerana, ahli sejarah cuba mengelakkan berlakunya kesilapan terhadap kajian yang mereka lakukan. Di samping itu, sumber sekunder dapat memberikan lain-lain data dalam bentuk bibliografi iaitu pengkaji lain dalam menghasilkan sesuatu karya.[35] Menerusi sumber kedua atau sumber sekunder ini ahli sejarah cuba mendapatkan petikan dan keterangan untuk digunakan sebagai bahan dalam pnyelidikan dan penulisan mereka. Peristiwa sejarah yang ditulis dengan baik akan dapat mendedahkan kepada pembaca bukan hanya peristiwa masa lampau tetapi juga mengenai peristiwa masa kini. Selain itu, perkara yang paling ialah pengkaji-pengkaji tempatan harus bijak dalam mentafsir segala sumber yang diperoleh[36] bagi memastikan sumber kedua atau sumber sekunder ini boleh digunakan sebagai bahan rujukan yang telahh ditafsirkan daripada sumber pertama.
Sumber lisan juga tergolong dalam sumber-sumber sejarah. Sumber lisan merupakan kejadian-kejadian yang baru yang masih terakam dalam ingatan seseorang. Data lisan seperti ini dapat dicapai melalui dua jalan iaitu melalui saksi mata yang paling dekat dengan kejadian dan kedua melalui saksi perantara.[37] Sumber lisan juga dikenali dengan istilah tradisi lisan iaitu maklumat-maklumat tentang kejadian sejarah yang disebarkan dari mulut ke mulut, saksi perantaraan yang tidak dikenali kecuali saksi yang menghubungkan maklumat itu kepada pendengar.[38] Ini bermakna sumber lisan ini merupakan pertuturan oleh penyaksi iaitu saksi ataupun tokoh dalam sesuatu peristiwa.
Sumber lisan ini boleh didapati daripada temuduga dan wawancara dala bentuk rakaman.[39] Mereka yang terlibat dalam peristiwa tersebut akan memberikan maklumat asal mengenai peristiwa yang dialami oleh mereka. Jika seseorang yang terlibat tersebut memuatkan maklumatnya ke dalam pita rakaman atau perakam suara, maka itu juga boleh dianggap sebagai sumber pertama. Tetapi jika mereka menulisnya, maka ia menjadi sumber pertama yang bertulis dan bukan lisan lagi. Manakala bagi sumber lisan dalam kategori kedua pula adalah maklumat daripada mereka yang tidak menyaksiakan atau terlibat dalam sesuatu peristiwa yang diterangkan.[40] Walau bagaimanapun, proses temubual hendaklah mengambil kira latar belakang, kewibawaan seseorang serta mengetahui sejauhmanakah seseorang tersebut mengetahui tentang sesuatu peristiwa. Seseorang penyelidik yang hendak mencari maklumat melalui sumber lisan perlu arif tentang jenis dan kaedah mendapatkan sesuatu keterangan yang benar.[41] Sumber lisan juga berkaitrapat dengan tradisi sastera rakyat seperti mitos, lagenda dan puisi. Sasterawan yang mendapat atau menggunakan sumber ini harus bijak memilih, mentafsir dan membandingkan fakta bagi mendapatkan kebenaran sesuatu maklumat. Proses ini dilakukan kerana terdapat kelemahan sesuatu maklumat. Proses ini dilakukan kerana terdapah yang kelemahan pada sumber ini terutama apabila wujudnya unsure tokok tambah yang bercampur dengan unsur dongeng, mitos dan lagenda.
Terdapat beberapa menjelaskan lagi sumber lisan tersebut. Antaranya ialah keterangan hidup seseorang pada masa pendudukan Jepun. Dengan syarat dia menyaksikan sendiri peristiwa itu berlaku dan mengambil kira tentang pengalaman peribadi seseorang itu.[42] Sumber ini membantu memberikan gambaran yang jelas tentang pendudukan Jepun ketika itu. Misalnya keganasan, kerakusan mahupun kekejaman yang berlaku pada zaman tersebut. Selain itu, dengan perkembangan teknologi dan telekomunikasi yang pesat, sumber lisan ini mengambil bentuk audio-visual iaitu melalui alat pandang dengar seperti radio, kaset, video, filem, televisyen dan sebagainya.[43] Misalnya, dalam konteks masa kini, Cable News Network (C.N.N) telah membuka lembaran sejarah baru dengan bertindak sebagai perakam peristiwa-peristiwa penting di dunia, tepat sebagaimana berlakunya peristiwa-peristiwa itu. Dengan itu kejadian-kejadian penting dalam sejarah kontemporari seperti Perang Iraq-Amerika atau kejatuhan Soviet Union dan Bosnia Herzegovina, semuanya itu dapat diketahui melalui wartawan-wartawan CNN yang turut berada di tengah-tengah kancah peristiwa yang dilaporkannya itu.
Sumber lisan juga mempunyai kepentingannya dalam ilmu sejarah. Hal ini kerana, sumber lisan merupakan sumber terawal dan tertua dalam sejarah terutamanya mengenai peristiwa sejarah yang tidak mempunyai rekod rasmi atau catatan mengenainya. Sumber lisan ini membolehkan seseorang mendengar sendiri maklumat sebenar yang diberikan oleh tokoh-tokoh seperti Dato’Onn Jaafar, Tuanku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Tun Abdul Razak dan beberapa orang yang lain dalam hal penubuhan dan perkembangan parti UMNO dari sejak tahun 1946 sehinggalah Tanah Melayu mencpai kemerdekaan pada tahun 1957.[44] Selain itu, sumber lisan juga dianggap sebagai sumber alternatif  kepada sumber primer dan sumber sekunder dalam penulisan sejarah. Oleh yang demikian, para penyelidik haruslah menjadi pendengar yang sabar dan tenang apabila wujudnya keadaan yang sedemikian. Hal ini disebabkan untuk membolehkan seseorang ahli sejarawan mendapatkan sumber yang sahih dan benar agar sumber lisan ini dapat digunakan bagi mengukuhkan lagi sesuatu fakta sejarah. Para penyelidik juga haruslah mendengarkan semula pita rakaman sambil membuat transkripnya dan kemudiannya memohon respoonden menandatangani transkrip tersebut.[45]
Dalam kajian sejarah, kedudukan lisan merupakan suatu bidang yang memainkan peranan yang tersendiri pada masa kini. Sumber ini merupakan testimoni orang yang terlibat, baik dengan mengalami atau menyertainya ataupun melihat dan menjadi saksi dalam peristiwa-pwristiwa tertentu. Melalui proses temubual mereka yang terlibat atau melihat dan mendengar tentang sesuatu kejadian itu, kemungkinan masalah berat sebelah dalam menjalankan sesuatu penyelidikan itu dapat dikurangi atau tidak dapat dihapuskan sama sekali.[46]
Sumber arkeologi juga merupakan sumber sejarah dan penggunaannya dalam ilmu sejarah adalah begitu penting. Arkeologi merupakan kajian yang melibatkan dua aspek iaitu pertama dari sudut material kebudayaan dan kedua kemanusiaan dan lingkungan.[47] Sumber ini merupakan satu disiplin yang jelas menunjukkan bahawa manusia ditafsir aspek kehidupannya berasaskan kepada hasil tinggalan material dengan tumpuan kepada kesan pembuatan. Selain itu, sumber arkeologi ini juga dikatakan sebagai alat-alat warisan seperti perhiasan rantai, gelang, manik, tiang ukiran dan senjata.[48]
Di samping itu, sumber arkeologi ini juga ditakrifkan oleh beberapa tokoh sejarawan. Antaranya ialah Leonard Cottrell menyebut arkeologi adalah kajian terhadap apa sahaja yang dihasilkan oleh manusia dan ia akan memperjelaskan mengenai dirinya dan juga perkembangan budaya yang wujud sezaman dengannya. Manakala A. Haviland pula berpendapat bahawa arkeologi merupakan disiplin yang termasuk ke dalam bidang antropologi dan kajian mengenai dengan kehidupan manusia.[49] Sementara pengertian arkeologi yang ditafsirkan oleh Kamus Dewan bahasa dan Pustaka pula menjelaskan suatu kajian secara saintifik mengenai sesuatu kebudayaan dengan penumpuan terhadap zaman prasejarah dengan menggunakan kaedah penggalian dan menganalisis dan menghuraikan data-data peninggalannya.[50] Sumber arkeologi ini terdapat dalam pelbagai bentuk dan rupa seperti bangunan, monumen, batu nisan dan seramik. Selain itu, arkeologi merupakan suatu kajian tentang masa silam manusia. Ilmu ini juga merupakan susunan kaedah penyelidikan masa lalu bagi menggambarkan data-data yang diperoleh dan latihan akademik serta orientasi teori ahli arkeologi.[51] Ahli-ahli arkeologi ini mengkaji kerja-kerja manusia kuno, artifak-artifak mereka iaitu barang buatan manusia dan tempat-tempat kegiatan dan petempatan manusia tersebut.
            Sumber arkeologi dikategorikan kepada tiga jenis sumber. Antaranya ialah artifak, ekofak dan feauture. Sumber artifak ialah alatan yang dihasilkan oleh manusia dan digunakan untuk tujuan memenuhi dan membantu dalam menjalani kehidupan sehari-hari. Usaha penyelidik mendapatkan keterangan dari sumber bertulis membantu para penyelidik mendapatkan sumber artifak atau sumber berbentuk fizikal.[52] Sebagai contoh, artifak ialah seperti alatan batu, kapak genggam, kapak batu, beliung batu, tembikar tanah, gelang batu, alatan chopping dan chopper dan pisau batu tembeling. Manakala sumber ekofak ialah sesuatu yang bukan hasil atau dibuat oleh manusia tetapi dapat menjadi petunjuk bahawa pernah wujud adanya kehidupan manusia. Sumber ekofak terdiri daripada fosil, tulang, kerangka manusia, polen tumbuhan, sisa pembakaran dan arang. [53]Sumber feature pula sesuatu yang berada di permukaan tanah atau di bawah permukaan tanah dan sekiranya diubah atau dipindahkan tanpa rekod yang rapi maka akan memusnahkan data yang sedia ada. Sumber ini terdiri daripada struktur bangunan, nisan, benteng perkotaan, asas pelapik tiang, bendul pintu dan bekas pembuangan sampah purba.[54] Di dalam sumber arkeologi juga terdapat beberapa contoh bagi membolehkan para pengkaji melakukan penyelidikan terhadap sesuatu sumber tersebut. Menurut Philon dalam buku Abdul Rahman Haji Abdullah, contoh sumber arkeologi yang terbaik ialah seperti Tujuh Benda Ajaib di Dunia iaitu pyramid di Mesir, Taman Tergantung di Babylon, Patung Zeus di Olympia, rumah berhala Artemis di Ephesus, makam di Halicarnassus, patung besar di Rhodes dan rumah api di Iskandariah.[55] Memang antara ketujuh-tujuh benda ajaib itu Cuma pyramid di Mesir sahaja yang masih gagah bertahan, sedangkan yang lain-lainnya hancur ditelan zaman. Bagaimanapun, ia menandakan kemajuan teknologi purba yang tinggi sehingga sanggup membina bangunan-bangunan yang begitu canggih. Misalnya, pembinaan pyramid itu sendiri bukan sahaja memerlukan tenaga buruh yang tidak terbilang, bahkan juga memerlukan kecerdasan matematik yang tinggi untuk merangka dan menyempurnakannya.[56] Selain itu, candi-candi yang ditemui di Kedah menggambarkan bahawa telah wujud pengaruh Hindu dalam masyarakat zaman silam. Dengan terjumpanya candi-candi ini maka menguatkan lagi bukti bahawa orang Hindu atau masyarakat zaman silam yang telah mula bertapak di Kedah pada kira-kira abad ke-11 apabila Kedah ditakluk oleh Kerajaan Cola dari India Selatan.[57] Contoh sumber arkeologi daripada warisan dari pengaruh Islam pula ialah seperti masjid, perhiasan pada makam dan batu nisan. Terdapat juga kod undang-undang ditulis pada batu seperti Batu Bersurat di Terengganu.
            Sumber arkeologi mempunyai kepentingannya dalam sumber sejarah, Sumber arkeologi ini boleh membantu ahli sejarah dalam usaha mengumpul maklumat sejarah serta membolehkan ahli sejarawan menganalisis dan mengkaji sesuatu bahan peninggalan.[58] Selain itu, sumber ini juga dapat melihat kesinambungan budaya dan struktur perkembangan masyarakat sezaman dengannya. Contoh yang paling ketara adalah di Gua Gunung Runtuh. Jumpaan manusia Perak Man yang disertai dengan bekal bubur seperti alatan batu, sisa daging binatang dan hamparan kulit siput di samping kedudukan rangka ini dalam keadaan melentur di anggap mempunyai keistimewaan tersendiri.[59] Sebenarnya bidang arkeologi ini banyak membantu sejarawan kerana budaya sesuatu bangsa yang wujud di sesuatu kawasan terlalu singkat.[60] Oleh itu, agak sukar bagi mereka untuk menentukan tempoh sebenar bahan-bahan yang telah ditemui. Arkeologi bukan sahaja dapat membantu sejarawan dalam bidang sejarah tetapi turut juga memberi sumbangan yang penting dalam bidang antropologi.[61] Walaupun perkara utama yang dikaji berbeza antara kedua-dua disiplin ilmu ini, namun arkeologi adalah sebahagian dan tambahan kepada antropologi. Hal ini kerana, hasil pengkajian arkeologi bukan sahaja menerangkan tentang jumpaan-jumpaan bahan sejarah tetapi terdapat juga percubaan menerangkan perkembangan hubungan manusia dengan manusia lain, pencapaian mereka serta maklumat budaya yang wujud. Di samping itu, dalam kes-kes tertentu, sejararawan boleh dan sering mendapatkan bantuan daripada pakar dalam bidang lain demi menentukan umur atau sesuatu bukti sejarah. Manakala bagi tarikh berlakunya sesuatu kejadian sejarah, nama seseorang tokoh, kewujudan sesuatu produk, bahan atau artifak di sesuatu era yang lampau hanya merupakan maklumat asas untuk digunakan oleh para sejarawan bagi membantunya menggambarkan atau menceritakan sesuatu peristiwa atau era silam.[62] Pengetahuan ahli sejarah tentang sumber amat penting supaya mereka dapat memilih, mengkelaskan dan menggunakan sumber secara sistematik. Menerusi cara ini ahli sejarah dapat menghasilkan penyelidikan dan penulisan yang berkualiti dan mencapai kebenaran sejarah.[63]
            Selain itu, ahli arkelogi masa kini mengkaji lebih daripada sumber artifak. Hal ini dapat membolehkan para ahli arkeologi mengkaji cara masyarakat awal berkembang dan tamadun terbentuk dalam proses yang kompleks, dinamik, dan berubah-ubah serta dipengaruhi oleh pelbagai faktor persekitaran, hubungan dengan yang lain, pertambahan populasi dan keperluan yang berubah.[64]  Arkeologi telah berkembang menjadi subjek yang mementingkan ketepatan dan memerlukan pelbagai disiplin sains bagi mengkaji manusia awal. Semuanya berdasarkan pentafsiran terhadap sebarang bukti yang ada. Hal ini kerana, kebiasaannya tinggalan budaya manusia yang tahan lama supaya dapat dibuat kesimpulan bagi aspek abstrak dan tidak ketara tentang kehidupan manusia seperti kepercayaan dan pengaruh budaya.












































KESIMPULAN

            Sebagai rumusannya, sumber bagi penulisan sejarah berbeza dengan penulisan karya kreatif. Hal ini kerana, penulisan sejarah memerlukan sumber sejarah yang sahih. Tanpa sumber sejarah, sejarawan tidak berupaya menghasilkan pensejarahannya. Sumber sejarah ini sangat penting dalam kajian atau penyelidikan sejarah. Dalam usaha untuk menghasilkan sesuatu karya sejarah, seseorang sejarawan itu mestilah berusaha mendapatkan sumbernya, kemudian memilih sumber tersebut tetapi bukan memilih mana-mana yang sesuai untuk digunakannya tetapi mana-mana yang ada kaitan sama ada secara langsung ataupun tidak langsung dengan peristiwa yang dikajinya.[65] Sumber tersebut haruslah dikaji serta dianalisis sumbernya itu untuk mendapatkan fakta dan seterusnya untuk membolehkannya melakukan penulisan serta membuat tafsiran terhadap peristiwa yang berkenaan. Hal ini kerana, dengan adanya sumber sejarah yang tepat ini boleh membuktikan keobjektifan sesuatu fakta sejarah. Hal ini disebabkan sejarah terdiri daripada sekumpulan fakta-fakta yang telah diteliti dan dipastikan.[66]











                                 


BIBLIOGRAFI

Abdul Rahman Haji Abdullah, Pengantar Ilmu Sejarah, Universiti Sains Malaysia:            Dewan Bahasa dan Pustaka, 1994.
Akram Fouad Khater, Sources in the History of the Modern Middle East, New York:          Houhton Mifflin Company, 2004.
Arba’iyah Mohd Noor, Ilmu Sejarah dan Pensejarahan, Kuala Lumpur: Dewan     Bahasa dan Pustaka, 2002.
Bala,B, Penyelidikan dan Penulisan Sejarah, Selangor: Pusat Pengajian Jarak Jauh             Universiti Kebangsaan Malaysia, 2000.
Carr,E.H, Apakah Sejarah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1998.
Collingwood,R.G, Idea Sejarah (terj.Muhd Yusof Ibrahim), Kuala Lumpur: Dewan          Bahasa dan Pustaka, 1985.
Dudung Abdurrahman,M.Hum, Metode Penelitian Sejarah, Jakarta: Logos wacana            Ilmu, 1999.
Hawker,S, Little Oxford Dictionary and Thesaurus, New York: Oxford University             Press, 1998.
Kamus Dewan, Edisi Keempat, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2005.
Khoo,K.K, Pensejarahan Melayu Nusantara, Kuala Lumpur: Teks Publishing Sdn.            Bhd, 1998.
Muhd Yusof Ibrahim, Ilmu Sejarah:Falsafah, Pengertian dan Kaedah, Kuala         Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1985.
Raja,S.S, A Guide To Historical Sources at The University of Malaya, Selangor:     Karisma Publications Sdn. Bhd, 2004.        
Rozeman Abu Hassan, Mengenali dan Mentafsir Sumber Sejarah, Selangor: Karisma         Publications Sdn. Bhd, 2004.
Qasim Ahmad, Karya Sejarah:Pendekatan dan Persoalan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2000.
Wong,D.T, Sejarah Sumber dan Pendekatan, Kuala Lumpur: Universiti Malaya,    2006.
Zuraina Majid, Archaeology in Malaysia: Centre For Archaeological Research        Malaysia, Universiti Sains Malaysia, 2003.




[1] Rozeman Abu Hassan, Mengenali dan Mentafsir Sumber Sejarah, Selangor: Karisma Publications Sdn. Bhd, 2004, hlm. 2.
[2] Ibid.
[3] Sara Hawker, Little Oxford Dictionary and Thesaurus, New York: Oxford University Press, 1998, hlm. 983.
[4] Kamus Dewan Edisi Keempat, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2005, hlm. 1541.
[5] R.G Collingwood, Idea Sejarah (terj. Muhd Yusof Ibrahim), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1985, hlm. 348.
[6] Muhd Yusof Ibrahim, Ilmu Sejarah:Falsafah, Pengertian dan Kaedah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1985, hlm. 348.
[7] Ibid.
[8] Arba’iyah Mohd Noor, Ilmu Sejarah dan Pensejarahan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1997, hlm. 155.
[9] Abdul Rahman Haji Abdullah, Pengantar Ilmu Sejarah, Universiti Sains Malaysia: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1994, hlm. 74.
[10] Rozeman Abu Hassan, Mengenali dan Mentafsir Sumber Sejarah, Selangor: Karisma Publications Sdn. Bhd, 2004, hlm. 18.
[11] Ibid, hlm. 19.
[12] Ibid.
[13] Akram Fouad Khater, Sources In The History Of The Modern Middle East, New York: Houghton Mifflin Company, 2004, hlm. 1.
[14] Sivachandralingam Sundara Raja, A Guide To Historical Sources at The University of Malaya, Selangor: Karisma Production Sdn. Bhd, 2004, hlm. 57.
[15] Muhd Yusof Ibrahim, Ilmu Sejarah:Falsafah ,Pengertian dan Kaedah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1997, hlm. 156.
[16] Ibid. hlm. 157.
[17] Dudung Abdurrahman,M.Hum, Metode Penelitian Sejarah, Jakarta: Logos Wacana Ilmu, 1999, hlm. 34.
[18] Sivachandralingam Sundara Raja, A Guide To Historical Sources at the University of Malaya, Selangor: Karisma Production Sdn.Bhd, 2004, hlm. 41.
[19] Rozeman Abu Hassan, Mengenali dan Mentafsir Sumber Sejarah, Selangor: Karisma Publications
Sdn. Bhd, 2004, hlm. 18.
[20] Ibid, hlm. 19.
[21] Bilcher Bala, Penyelidikan dan Penulisan Sejarah, Selangor: Pusat Pengajian Jarak Jauh Universiti Sains Malaysia, 2000, hlm. 38.
[22] Muhd Yusof Ibrahim, Ilmu Sejarah:Falsafah, Pengertian dan Kaedah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1997, hlm. 157.
[23] Arba’iyah Mohd Noor, Ilmu Sejarah dan Pensejarahan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2002, hlm. 51.
[24] Rozeman Abu Hassan, Mengenali dan Mentafsir Sumber Sejarah, Selangor: Karisma Publications Sdn. Bhd, 2004, hlm. 24.
[25] Ibid.
[26] Ibid, hlm. 25.
[27] Muhd Yusof Ibrahim, Ilmu Sejarah:Falsafah, Pengertian dan Kaedah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1997, hlm. 158.
[28] Http://members.tripod.com/nabirx/1014.htm.
[29] Muhd Yusof Ibrahim, Ilmu Sejarah:Falsafah Pengertian dan Kaedah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1997, hlm. 159.
[30] Ibid, hlm. 161.
[31] Profesor Khoo Kay Kim, Pensejarahan Melayu Nusantara, Kuala Lumpur: Teks Publishing Sdn. Bhd, 1998, hlm. 351.
[32] Ibid.
[33] Rozeman Abu Hassan, Mengenali dan Mentafsir Sumber Sejarah, Selangor: Karisma Publications Sdn. Bhd, 2004, hlm. 25.
[34] Muhd Yusof Ibrahim, Ilmu Sejarah:Falsafah, Pengertian dan Kaedah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1997, hlm. 158.
[35] Rozeman Abu Hassan, Mengenali dan Mentafsir Sumber Sejarah, Selangor: Karisma Publications Sdn. Bhd, 2004, hlm. 26.
[36] Arba’iyah Mohd Noor, Ilmu Sejarah dan Pensejarahan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2002, hlm. 53.
[37] Dudung Abdurrahman,M.Hum, Metode Penelitian Sejarah, Jakarta: Logos Wacana Ilmu, 1999, hlm.  37.
[38] Ibid.
[39] Http://members.tripod.com/nabirx/1014.htm.
[40] Muhd Yusof Ibrahim, Ilmu Sejarah:Falsafah, Pengertian dan Kaedah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1997, hlm. 161.
[41] Bilcher Bala, Penyelidikan dan Penulisan Sejarah, Selangor: Pusat Pengajian Jarak Jauh Universiti Kebangsaan Malaysia, 2000, hlm. 55.
[42] Muhd Yusof Ibrahim, Ilmu Sejarah:Falsafah, Pengertian dan Kaedah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1997, hlm. 162.
[43] Abdul Rahman Haji Abdullah, Pengantar Ilmu Sejarah, Universiti Sains Malaysia: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1994, hlm. 72.
[44] Muhd Yusof Ibrahim, Ilmu Sejarah:Falsafah, Pengertian dan Kaedah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1997, hlm. 162.
[45] Http://members.tripod.com/nabirx/1014.htm.
[46] Abdul Rahman Haji Abdullah, Pengantar Ilmu Sejarah, Universiti Sains Malaysia: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1994, hlm. 72.
[47] Danny Wong Tze-Kin, Sejarah Sumber dan Pendekatan, Kuala Lumpur: Universiti Malaya, 2006, hlm. 23.
[49] Danny Wong Tze-Ken, Sejarah Sumber dan Pendekatan, Kuala Lumpur: Universiti Malaya, 2006, hlm. 23.
[50] Kamus Dewan:Edisi Ketiga, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2002, hlm. 63.
[51] Arba’iyah Mohd Noor, Ilmu Sejarah dan Pensejarahan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2002, hlm. 40.
[52] Bilcher Bala, Penyelidikan dan Penulisan Sejarah, Selangor; Pusat Pengajian Jarak Jauh Universiti Kebangsaan Malaysia, 2000, hlm. 55.
[53] Danny Wong Tze-Kin, Sejarah Sumber dan Pendekatan, Kuala Lumpur: Universiti Malaya, 2006, hlm. 24.
[54] Ibid.
[55] Abdul Rahman Haji Abdullah, Pengantar Ilmu Sejarah, Universiti Sains Malaysia: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1994, hlm. 71.
[56] Ibid.
[57] Arba’iyah Mohd Noor, Ilmu Sejarah dan Pensejarahan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2002, hlm. 42.
[58] Rozeman Abu Hassan, Mengenali dan Mentafsir Sumber Sejarah, Selangor: Karisma Publications Sdn. Bhd, 2004, hlm. 20.
[59] Danny Wong Tze-Kin, Sejarah Sumber dan Pendekatan
[60] Arba’iyah Mohd Noor, Ilmu Sejarah dan Pensejarahan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2002, hlm. 42.
[61] Ibid, hlm. 43.
[62] Qasim Ahmad, Karya Sejarah:Pendekatan dan Persoalan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2000, hlm. 3.
[63] Rozeman Abu Hassan, Mengenali dan Mentafsir Sumber Sejarah, Selangor: Karisma Publications Sdn. Bhd, 2004, hlm. 29.
[64] Zuraina Majid, Archaeology in Malaysia: Centre For Archaelogical Research Malaysia, Universiti Sains Malaysia, 2003, hlm. 27.
[65] Muhd Yusof Ibrahim, Ilmu Sejarah:Falsafah, Pengertian dan Kaedah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1997, hlm. 164.
[66] E.H Carr, Apakah Sejarah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1988, hlm. 4.

No comments:

Post a Comment