nuffnang

Thursday, June 13, 2013

PENSEJARAHAN INDIA

PENGENALAN

          Pensejarahan atau historiografi merupakan suatu bidang yang umumnya diketahui sebagai penulisan sejarah. Di India, terdapat pelbagai karya yang kebanyakannya lebih berunsurkan keagamaan. Karya-karya tersebut dihasilkan pada tiga zaman iaitu pada zaman klasik, zaman pertengahan iaitu zaman selepas kedatangan Islam dan juga zaman Moden dan juga pertengahan. Pensejarahan merupakan satu proses dengan tahap-tahap dan aturan-aturan  yang lazimnya diikuti atau dilaksanakan oleh Sejarawan dalam usahanya menghasilkan penulisan sejarah.[1] Karya yang akan dihasilkan akan diteliti terlebih dahulu dari segi pengambilan sumber dan juga rujukan yang digunakan. Selalunya, rujukan yang akan digunakan akan dipastikan betul dari segi penyampaian maklumatnya terlebih dahulu.
         
          Pensejarahan India pada zaman klasik lebih kepada penulisan tentang mitos serta tentang masyarakat India pada masa itu. Bagi zaman pertengahan pula, muncul pula karya yang lebih berunsurkan keagungan tentang maharaja. Zaman tersebut dikenali juga dengan nama zaman Islam. Zaman Islam hanya dominan pada abad ke-11 dan sebelumnya didominasi oleh kerajaan Hindu separti kerajaan Gupta dan  kerajaan Harsha.[2]  Pada zaman ini terdapat juga unsur tokok tambah dan lagenda. Pada zaman penjajahan pula, karya adalah lebih kepada unsur bias yang dihasilkan sendiri oleh pihak penjajah yang mana fakta yang ditulis lebih memihak kepada puak barat terutama British yang menjajah India. Manakala pada zaman Moden pula, karya lebih ditekankan mengenai perjuangan bagi mendapatkan kemerdekaan dan menentang penjajahan.
          Karya-karya yang dihasilkan pada ketiga-tiga zaman tersebut juga mempunyai perbezaan dan juga peningkatan hasil karya dari zaman ke zaman yang lain. Walau bagaimanapun, nilai moral lebih diterapkan pada kebanyakan karya yang diterbitkan. Pensejarahan yang lebih saintifik dan objektif ditekankan pada pensejarahan moden. Pelbagai karya yang dihasilkan menggambarkan keintelektualan penghasil karya tersebut.

PENSEJARAHAN INDIA PADA ZAMAN AWAL ATAU KLASIK

          Pensejarahan pada zaman ini pula memaparkan pelbagai unsur kesaktian, dongengan dan lagenda terangkum dalam karya pada zaman ini. Tumpuan kajian sejarah adalah kepada kisah tersebut yang bertujuan untuk menuju kepada tahap nirvana iaitu mendekatkan diri kepada Tuhan. Karya yang tertua sekali adalah kesusasteraan Vedik dan karya tersebut juga menjadi asas kepada budaya dan agama masyarakat Hindu. Menurut kepercayaan masyarakat Hindu, Veda ialah kata-kata yang diperturunkan oleh Tuhan. Ia juga adalah bersifat suci. Selain itu, pengajaran dan nilai moral juga turut diselitkan dalam tradisi pensejarahan India. Antara karya yang terkenal adalah seperti Ramayana, Mahabharata, Rig Veda, Purana dan lain-lain.          
           Epik Ramayana dan Mahabharata merupakan epik yang terkandung di dalamnya pelbagai jenis cerita lagenda, dongeng, mitos dan cerita tentang dewa-dewi yang dapat memberikan nilai pengajaran dan moral.[3] Ia juga dianggap sebagai epik agung. Epik tersebut turut dikenali sebagai Ihtihasa atau kitab. Konsep dharma adalah diberikan penekanan dalam epik tersebut. Dalam Epik Ramayana, dicipta oleh Valmiki dan mengandungi 24 000 seloka. Ia dihasilkan antara tahun 200 S.M hingga 200 S.M. Epik ini mengisahkan tentang Putera Rama yang melarikan diri disebabkan Kaikeyi, ibu tiri yang hendakkan anaknya Bharata di tabal sebagai pengganti takhta kerajaan. Sita pula adalah isterinya yang kemudiannya diculik Raja Ravana. Setelah Sita diselamatkan, dia dan Rama kembali ke Ayodhya untuk menjalankan pemerintahan yang berasaskan prinsip Dharma. Epik ini dianggap sebagai Dharmasatra kerana menerangkan mengenai prinsip abadi atau dikenali sebagai Sanatana Dharma.[4] Isteri Raja Rama iaitu Sita diabadikan oleh masyarakat Hindu sebagai isteri yang sempurna.[5] Rama dalam epik ini digambarkan sebagai seorang yang amat sempurna dari segi tingkah lakunya seperti menghormati orang yang lebih tua serta bersikap adil dalam pemerintahannya.

          Epik Mahabharata pula, disusun oleh Vyasa yang pada awalnya terkandung 24 000 seloka. Kemudiannya, ia bertambah menjadi 100 000 seloka atau dikenali sebagai puisi. Epik ini juga adalah epik yang mempunyai puisi yang terpanjang di dunia. Puisi ini mengisahkan tentang pertelagahan dua kumpulan iaitu Pandava dan juga Kaurava yang bersaing bagi mendapatkan tampuk pemerintahan kerajaan Kurukshetra. Seterusnya, kumpulan tersebut berperang yang menyaksikan kemenangan berpihak kepada pihak Pandava. Ia juga mengisahkan konsep Dharma dan juga Adharma iaitu kebaikan dan kejahatan. Konsep Trimurthi seperti Brahma, Vishnu dan Siva diberi penekanan yang menjalankan tiga fungsi utama seperti mencipta, memelihara dan memusnahkan dunia. Karya ini juga dianggap sebagai Ihtihasa, Purana, Dharmasatra, Kamasastra dan juga Moksasastra. Dianggap Itihasa kerana bicarakan tentang sembilan jenis emosi dan matlamat hidup. Dianggap Dharmasastra kerana membincangkan pelbagai jenis Dharma. Dianggap Juga sebagai Moksasastra kerana membincangkan mengenai cara pembebasan diri daripada kelahiran semula.[6]

          Selain itu, terdapat juga karya yang berjudul Arthasastra. Ia dihasilkan oleh seorang menteri Brahmin untuk pemerintah pertama empayar Maurya di Utara India pada abad ke-3 S.M. Karya tersebut contohnya telah berjaya mempengaruhi ramai pahlawan Hindu agar berjuang sehingga mati sampai mati supaya dapat memenuhi matlamat spiritual dan pembebasan daripada rantai kelahiran manusia yang mengikat manusia kepada dunia ini. Menurut Stanley Wolpert, ruang lingkup penulisan karya ini adalah berkisarkan tentang pemerintahan pada zaman Empayar Maurya.[7]

          Bagi karya Rig Veda pula, adalah sastera India yang menerangkan tentang sistem kasta dalam masyarakat Hindu.[8] Unsur mitos juga diselitkan dalam karya ini. Ia ditulis dalam bentuk puisi yang mengandungi sepuluh buku dan terkandung 1028 mazmur dan pujian mengenai dewa-dewi. Ia adalah antara karya yang tertua dalam kesusasteraan Vedik. Mazmur terawal terkandung dalam mandala kedua hingga mandala ketujuh dan dicipta oleh sekumpulan paderi iaitu Gritsamada, Visvamitra, Vasistha, Atri, Bharadvaja, dan Vamadeva.[9]

          Karya Purana pula adalah suatu tradisi, lagenda, mitos, ritual, keagamaan dan prinsip falsafah. Mengikut penerimaan umum, Purana mempunyai 18 Purana. Karya tersebut amat popular dalam masyarakat disebabkan bahasa yang digunakan mudah difahami. Antara purana yang terkenal ialah Matsya Purana, Bhagavata Purana dan juga Vishnu Purana. Empat purana terawal diselenggarakan antara tahun 600 S.M hingga 300 S.M. Karya tersebut juga adalah karya yang tidak begitu terkenal tetapi diperbesarkan, data yang kurang tepat serta kabur dari segi topografi dan juga kronologinya.[10]
          Seterusnya ialah, karya Rajatrangini yang dihasilkan oleh Kalhana. Karya ini dihasilkan bermula tahun 1148 hingga 1149 M. Puisi ini menggambarkan tentang peristiwa yang telah berlaku dalam masyarakat Hindu dan mempunyai lapan bab dan 8 000 seloka. Beliau menulis karya tersebut dalam bahasa Sanskrit berdasarkan fakta yang boleh dipercayai. Tiga bahagian awal babad tersebut mengandungi rangkaian sejarah dirujuk daripada teks Nilamatapurana. Bahagian yang keempat pula menceritakan mengenai Dinasti Kalkota dalam bentuk penceritaan sehingga abad ke-8 M.  Bahagian yang kelima hingga ketujuh menceritakan tentang peristiwa sejarah dan sebahagiannya menceritakan tentang kisah luar biasa. Bahagian yang terakhir pula menceritakan tentang sejarah pada zaman Kalhana. Disamping itu, dalam karya ini juga turut membincangkan tentang nilai moral, menaikkan semangat patriotisme serta sindiran kepada golongan pengampu raja yang bersikap berpura-pura. Selain itu, unsur dongengan dan agama turut diselitkan dalam karya ini.
         
PENSEJARAHAN INDIA PADA ZAMAN PERTENGAHAN

          Pensejarahan pada zaman ini mengalami sedikit peningkatan unsur karya. Permulaannya, masyarakat Islam membawa masuk karya sejarah tradisi Parsi dan disimpan ketika berada di India. Walau bagaimanapun, pensejarahan tersebut tidak mendapat sambutan kerana dikhuatiri mereka tidak dapat memenuhi konsep dan gambaran yang sebenar tentang sejarah India. Di zaman Kesultanan di Delhi, banyak karya dihasilkan sejarawan Islam. Kemunculan ramai sejarawan yang menghasilkan pelbagai penulisan sejarah telah menyebabkan pelbagai karya sejarah diterbitkan. Antara sejarawan yang terkenal pada zaman ini adalah seperti Ziauddin Barani, Nizamuddin Ahmad, Abdul Qadir Badauni, Muhammad Qasm Ferishta dan juga Khafi Khan. Mereka menulis atas pelbagai sebab seperti inginkan ganjaran, atas arahan raja dan lain-lain. Kebanyakan mereka adalah sejarawan Istana yang dikongkong dalam penulisan mereka. Terutama pada zaman pemerintahan Maharaja Akhbar, Abu Fazl berpeluang menulis karya Akhbar Nama dan Ain-I-Akhbari.[11]

          Karya tersebut membicarakan tentang maharaja, ilmu sosial dan perundangan serta kepercayaan agama. Beliau telah menghasilkan karya yang bertujuan mengagungkan Maharaja Akhbar. Dalam karyanya, beliau menyamatarafkan Maharaja Akhbar dengan kedudukan Nabi Muhammad s.a.w. Abu Fazl juga sering menolak pendekatan keagamaan dalam beberapa perkara. Dalam karyanya, Maharaja Akhbar dianggap sebagai pemerintah yang agung dan terbaik dalam pemerintahannya serta mendokong prinsip kebebasan beragama. Menurut J.N Nanda, pemerintahan Maharaja Akhbar adalah adil dan masyarakat pada zamannya amat berpuas hati dengan pemerintahannya yang adil dan juga berjaya mencapai keamanan.[12]

        
         
           Maharaja Akhbar pada masa pemerintahannya telah mengarahkan kitab suci agama Hindu seperti Veda, Ramayana dan Mahabharata disalin semula dalam bahasa Parsi sebagai tanda tolak ansurnya terhadap agama Hindu. Kemudiannya, kitab yang disalin itu dibaca dihadapannya.[13] Selaras dengan dasar pemerintahannya, beliau menjadikan bahasa Parsi sebagai bahasa istana dan bahasa kesusasteraan.[14] Berdasarkan karya karangan Abu Fazl, beliau telah merungkaikan pelbagai peristiwa yang berkaitan dengan maharaja dan empayarnya. Beliau telah mengumpulkan pelbagai rekod dan maklumat berkenaan dengan kehidupan Maharaja Akhbar. Beliau tidak hanya mencatat fakta sahaja, tetapi turut memerihalkan tentang tindakan maharaja dalam memerintah empayar.[15] Jelaslah bahawa, maharaja menguasai empayar melalui penulisan karya yang bermotifkan untuk memberikan keyakinan bahawa pemerintahannya adalah yang terbaik disamping pensejarahan digunakan pada masa itu sebagai alat untuk mengukuhkan kedudukan maharaja.








PENSEJARAHAN INDIA PADA ZAMAN PENJAJAHAN

          Pada abad  yang ke-15, kuasa barat mula bersaing untuk mengumpul kekayaan dan juga pembinaan negara bangsa. Mereka berlumba-lumba untuk mendapatkan tanah jajahan dan mengeksploitasi sumber alam. Antara kuasa barat yang pernah menjelajah ke India adalah Perancis, Belanda, British dan juga lain-lain.[16] Di India, bidang pensejarahan dikuasai oleh golongan kolonialis. Karya pada zaman ini menolak segala unsur mitos, lagenda dan kepercayaan karut. Pensejarahan pada zaman ini juga lebih bersifat berat sebelah atau bias. Pihak penjajah bukan sahaja menguasai bidang politik, ekonomi dan sosial malahan pula turut menguasai bidang penulisan sejarah pada ketika itu.

          Di India, pemerintah British menganggap diri mereka golongan kelas pertama. Masyarakat India pula dianggap sebagai golongan kedua. Mereka dianggap sedemikian kerana pihak penjajah beranggapan bahawa masyarakat di India harus ditamadunkan dan segala kemajuan yang dibawa ke India adalah hasil daripada bangsa Eropah sehingga mereka telah berjaya mencapai kejayaan dan kemajuan khususnya pada zaman Kesedaran. Pada zaman ini juga lahirnya golongan intelektual yang muncul untuk memperbetulkan fakta sejarah serta gambaran tentang India yang telah diselewengkan oleh orang Eropah pada zaman penjajahan. Mereka cuba mengembalikan identiti sebenar sejarah India dan juga menimbulkan semangat nasionalisme. Kesan daripada perkembangan pensejarahan India, lahirlah tokoh nasionalisme seperti Mahatma Gandhi.
           Karya yang terkenal pada zaman ini ialah Hukum Manu yang diterbitkan oleh Sir W. Jones yang telah diterjemahkan dalam Bahasa Inggeris. Karya ini mengandungi dasar perundangan Hindu. Hukum Manu juga dikatakan menyimpang daripada tradisi Hindu. Bagi Sir W. Jones, beliau adalah orang yang pertama bertangungjawab memperbetulkan catatan tentang kebudayaan India semasa zaman penjajahan Inggeris di India. Hukum Manu pada zaman tradisi adalah menyokong konsep Dharma. Ia adalah tentang perlakuan yang baik yang ditetapkan oleh Tuhan. Raja bertindak memelihara undang-undang suci dengan menghukum orang yang jahat dan juga memberi ganjaran kepada orang yang baik. Karya tersebut turut diterjemahkan oleh Charles Wilkins yang mahir tentang Bahasa Sanskrit disamping bantuan Sir Jones.

           Dalam karya ‘The History of British India’ ia dihasilkan pada tahun 1818. Penulis karya ini adalah James Mill. Beliau meragui bahawa India pada zaman sebelum kedatangan penjajah British ada suatu tamadun yang tinggi. Dari aspek pentadbiran, pemerintahan dan institusi undang-undang di India tidak memenuhi ciri-ciri ketamadunan. Beliau menganggap bangsa Eropah adalah lebih baik berbanding dengan bangsa India.[17] Malahan pula, karya bertajuk The History of India karangan Montstuart Elphinstone mengatakan bahawa semua urusan yang berkaitan dengan perdagangan di India bukanlah oleh masyarakat tempatan, tetapi telah diusahakan oleh orang Arab dan Greek. [18] Elphinstone adalah seorang Residen British di Poona serta pernah menjawat jawatan sebagai gabenor di Bombay antara tahun 1827 hingga 1830, sebelum digantikan oleh John Malcome.[19] Selain itu, terdapat juga pelbagai karya lain seperti ‘Hind Swaraj’ hasil karya Mahatma Gandhi pada tahun 1908. Ia bermaksud “Kebebasan India”. Melalui karya tersebut, beliau mengkritik golongan British di India dan juga kepada masyarakat barat secara keseluruhannya.  

PENSEJARAHAN INDIA PADA ZAMAN MODEN
          Berbanding dengan zaman yang lalu, pensejarahan pada zaman ini menolak unsur mitos, lagenda, kepercayaan karut dan dongengan yang diamalkan pada zaman yang sebelumnya. Pensejarahan pada zaman ini adalah menggunakan kaedah yang lebih teliti dan bersifat lebih objektif. Penyatuan masyarakat lebih diutamakan dalam pensejarahan pada masa ini. Ketepatan fakta adalah amat dipentingkan disamping akan dianalisis serta ditafsir bagi memastikan tiada unsur bias dalam penulisan sejarah. Fakta akan diteliti dan disiasat terlebih dahulu bagi memastikan maklumat yang akan ditulis tidak menyimpang daripada peristiwa sebenar.

          Antara karya yang terkenal pada zaman ini ialah ‘Europe Centered’ yang mana karya ini membicarakan tentang India. Dalam penulisan ini, Marx memberikan pandangan bahawa Britain adalah pusat asas kemajuan duniawi bagi India. Selain itu, terdapat juga pelbagai karya lain seperti ‘Hind Swaraj’ hasil karya Mahatma Gandhi pada tahun 1908. Ia bermaksud “Kebebasan India”. Melalui karya tersebut, beliau mengkritik golongan British di India dan juga kepada masyarakat barat secara keseluruhannya.



KESIMPULAN
           Secara keseluruhannya, pensejarahan pada zaman klasik lebih menjurus kepada nilai keagamaan sahaja serta mengandungi unsur mitos dan lagenda. Penulisan pada zaman pertengahan atau zaman selepas kedatangan agama Islam, adalah lebih menjurus kepada mengagungkan pemerintah dan terdapat juga unsur tokok tambah dalam penghasilan karya. Terdapat banyak karya klasik yang diterjemahkan oleh pihak Eropah. Walau bagaimanapun, catatan mereka itu terdapat pengubahsuaian dari segi fakta yang menyeleweng daripada situasi sebenar. Kelahiran golongan intelektual telah merancakkan penulisan tentang pensejarahan India. Seterusnya, ia telah menyebabkan timbulnya kesedaran untuk berjuang demi kemerdekaan tanah air. Pensejarahan pada setiap zaman adalah berbeza dari segi perkembangannya terutama cara dan unsur penulisan karyanya.
          Kesimpulannya, pensejarahan pada zaman klasik adalah lebih dominan dengan pengaruh agama. Jika dilihat, begitu banyak karya yang diterbitkan lebih menjurus kepada kepentingan agama terutama agama Hindu-Buddha. Begitu juga jika dilihat pada zaman pertengahan iaitu pada zaman selepas kedatangan agama Islam, banyak karya berkaitan pemerintah diterbitkan oleh sejarawan islam pada ketika itu. Khususnya, terdapat juga karya yang menyelitkan tentang keagamaan khususnya agama islam dan agama lain. Berlainan pula dengan zaman penjajahan, pengaruh agama kurang dominan pada zaman tersebut.  
         



BIBILIOGRAFI

Muhd.Yusof Ibrahim(1997). Ilmu Sejarah: Falsafah, pengertian dan Kaedah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka


Azharudin Mohd. Dali,(2004), Tamadun India, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka


Sivachandralingam Sundara Raja dan Ayadurai Letchumanan,(2005). Tamadun Dunia Edisi Semakan, Selangor, Penerbit Fajar Bakti,

N.M Idaikkadar,(1979). Latar Belakang Kebudayaan Hindu. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka
Stanley Wolpert, (2000). A New History of India. New York. Oxford Universiti Press.

Arba’iyah Mohd Noor,(2002). Ilmu Sejarah dan Pensejarahan,Ampang Selangor;Dewan Bahasa Dan Pustaka


Majumdar, R.C,(1974). Ancient India, Montilal Bonarsidass, Delhi


Muhd Yusof Ibrahim dan Mahayudin Haji Yahaya,(1998). Sejarawan dan Pensejarahan: Ketokohan dan Karya. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

J.N. Nanda, (2002). Glimpses of Indian History And Culture. Mumbai. Bharatiya Vidya Bhavan


Prof. Dr. Hamka,(1997), Sejarah Umat Islam,Singapura: Pustaka Nasional Pte Ltd

Mahyudin Hj. Yahaya, (2005). Tamadun Islam Edisi Semakan, Selangor: Penerbit Fajar Bakti






         


         
         



[1] Muhd.Yusof Ibrahim(1997). Ilmu Sejarah: Falsafah, pengertian dan Kaedah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka, hlm 223.
[2] Azharudin Mohd. Dali,(2004), Tamadun India, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka, hlm 121.

[3] Sivachandralingam Sundara Raja dan Ayadurai Letchumanan,(2005). Tamadun Dunia Edisi Semakan, Selangor, Penerbit Fajar Bakti, hlm.77
[4] Sivachandralingam Sundara Raja dan Ayadurai Letchumanan,(2005). Tamadun Dunia Edisi Semakan, hlm.539
[5] N.M Idaikkadar,(1979). Latar Belakang Kebudayaan Hindu. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa Dan Pustaka. Hlm.6.

[6] Ibid, hlm.538
[7] Stanley Wolpert, (2000). A New History of India. New York. Oxford Universiti Press. Hlm.57.

[8]  Arba’iyah Mohd Noor,(2002). Ilmu Sejarah dan Pensejarahan,Ampang Selangor;Dewan Bahasa Dan Pustaka, hlm.215
[9] Majumdar, R.C,(1974). Ancient India, Montilal Bonarsidass, Delhi,. Hlm.36
[10] Ibid, hlm. 215
[11] Muhd Yusof Ibrahim dan Mahayudin Haji Yahaya,(1998). Sejarawan dan Pensejarahan: Ketokohan dan Karya. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm.214-216
[12] J.N. Nanda, (2002). Glimpses of Indian History And Culture. Mumbai. Bharatiya Vidya Bhavan. Hal.62.
[13] Prof. Dr. Hamka, Sejarah Umat Islam,Singapura: Pustaka Nasional Pte Ltd 1997, hlm 511.

[14] Mahyudin Hj. Yahaya, (2005). Tamadun Islam Edisi Semakan, Selangor: Penerbit Fajar Bakti, hlm.83
[15] Arba’iyah Mohd Noor, Ilmu Sejarah dan Pensejarahan. hlm. 221
[16] Azharudin Mohd Dali,(2004). Tamadun India, hlm 253.
[17] Arba’iyah Mohd Noor, (2002). Ilmu Sejarah dan Pensejarahan, Ampang, Selangor.hlm. 224
[18] Ibid, hlm.224
[19] Stanley Wolpert, (1999). A New History Of India. Hal.204.

1 comment:

  1. assalamualaikum, saya nak minta pendapat penulis tentang tajuk

    Bincangkan pensejarahan di tanah melayu dari zaman klasik hingga zaman moden.

    saya agak kurang faham kehendak soalan ini. Jika tidak keberatan bolehkah penulis membantu memberi kefahaman atau justifikasi kepda saya apa sebenrnya kehendak soalan ini? Terima Kasih.

    ReplyDelete