PENGENALAN
Apakah itu sumber sejarah? Menurut Christoper T.Husband,
sumber sejarah merupakan kunci atau bahan penting sejarah bagi memperoleh
pengetahuan yang luas mengenai sejarah. Melalui sumber sejarah corak perilaku, hidup, dan tulisan masyarakat masa
lalu dapat dikaji. Sumber sejarah, baik bertulis mahupun lisan, sampai kepada
kita dalam bentuk bahasa, penuh dengan kod, simbol serta segala jenis tanda
makna, interprestasi dan persepsi manusia yang meniggalkannya.[1] Menurut Oxford English Dictinory, sumber
atau “source” bermaksud sebuah karya, dan lain-lain yang menyediakan maklumat
atau bukti (khusus yang bersifat tulen atau asli) berkenaan sesuatu fakta,
kejadian, atau siri hal-hal tersebut.[2]
Menurut Kamus Dewan, Sumber
ditakrifkan sebagai asal, punca, atau rekod.[3]
Manakala R.G.Collingwood dalam bukunya “Idea of History” menyatakan sumber ialah
teks yang mempunyai kenyataan-kenyataan mengenai sesuatu peristiwa sejarah.[4] Sumber sejarah amat penting dalam penyelidikan sejarah dan dijadikan
rujukan kepada ahli-ahli sejarah untuk menghasilkan penulisan sejarah yang
tepat serta dapat memberitahu kepada masyarakat hari ini tentang kehidupan
masyarakat dahulu. Menurut R. Suntharalingam dalam karya beliau yang bertajuk “Pengenalan Kepada Sejarah”, beliau
menilai sejarah sebagai ilmu pengetahuan yang mencakupi semua hal, ini
termasuklah sosial, politik dan ekonomi.
Garraghan mendifinisikan
sumber sebagai disiplin sejarah yang merangkumi berbagai-bagai bentuk, jenis,
dan rupa.[5] Menurut Muhd. Yusof Ibrahim, sumber merupakan suatu yang boleh menjadi
punca kepada lahirnya sesuatu pemikiran atau penulisan. Sumber itu berbeza
dengan ilham kerana sumber tidaklah bersifat abstrak ataupun spontan tetapi
sumber boleh dirujuk semula apabila diperlukan. Sumber juga dikatakan sebagai
sekumpulan bahan yang tersimpan di arkib, perpustakaan, muzium, istana dan
sebagainya dan boleh digunakan untuk tujuan penyelidikan dalam semua bidang
keilmuan.[6] Sumber sejarah ialah sesuatu yang boleh menjadi punca kepada sesuatu
lahiran pemikiran ataupun penulisan dan kita boleh rujuk kembali apabila kita
memerlukannya semula.[7] Sumber digunakan sebagai rujukan bagi kegunaan penyelidikan dalam mana-mana
bidang ilmu. Kaedah penyelidikan sumber ini penting untuk membuktikan bahawa
sejarah itu benar-benar wujud. Dalam kajian terhadap sumber sejarah, keaslian
sumber sejarah terhadap keaslian sumber, kandungan, dan tujuan mengkaji sumber
perlu dititik beratkan bagi membuktikan bukti itu benar.
Secara amnya, sumber juga
boleh diertikan kumpulan bahan rujukan bagi kegunaan penyelidikan dalam
mana-mana bidang keilmuan.[8] Umumnya dari segi sejarah, sumber itu kerap dibahagikan kepada dua iaitu
Sumber Primer dan Sumber Sekunder. Walaupun begitu, satu lagi kumpulan ialah
Sumber Lisan yang kadangkala boleh dikategorikan sebagai sumber utama ataupun
sumber kedua, bergantung kepada kepentingan dan ketulenan serta kejituannya
berhubung dengan sesuatu peristiwa yang sedang dikaji dan diselidiki. Sumber
arkeologi turut dikategorikan sebagai sumber sejarah. Ini bermakna, sumber
sejarah boleh dibahagikan kepada empat bahagian iaitu sumber primer, sumber
sekunder, sumber arkeologi dan sumber lisan.
Sumber Primer
Sumber pertama merupakan
sumber yang masih asli dan belum ditafsirkan atau sumber yang masih mentah bagi
penghasilan sesuatu barangan. Hal ini menyaksikan sesuatu peristiwa atau
seseorang yang terima maklumat dari mereka yang terlibat dalam peristiwa
tersebut. Menurut Kamus Dewan, primer bermaksud yang pertama, yang terpenting,
dan yang utama.[9] Sumber primer dihasilkan menerusi
peristiwa sezaman dan kebanyakannya diceritakan semula oleh saksi atau orang
yang pernah terlibat dalam peristiwa tersebut. Menurut Louis Gottschalk dalam bukunya, “Understanding History: A Primer of
Historical Method” menyatakan
bahawa sumber primer adalah sumber yang diperolehi daripada saksi-saksi dalam
bentuk tulisan, catatan dan juga saksi utama kepada sesuatu peristiwa yang
berlaku.[10] Athur Marwick pula menyifatkan sumber
primer adalah sebagai bahan yang wujud dalam keadaan asas, mentah dan tidak
sempurna atau dengan kata lain sumber primer merupakan sumber yang masih belum
diproses oleh ahli sejarah.[11] Manakala menurut Mohd. Yusof bin Ibrahim
dalam bukunya, menyatakan bahawa sumber primer ialah kumpulan sumber mahupun
bahan yang boleh dirujuk tetapi keadaannya masih asli dan belum ditafsirkan.[12] Garraghan mendefinisikan sumber sejarah sebagai disiplin sejarah yang
merangkumi berbaga-bagai bentuk, jenis dan rupa. Rekod-rekod bertulis atau
tidak bertulis, tradisi lisan, peninggalan kampung-kampung pra-sejarah,
tulisan-tulisan purba pada dinding batu.[13] Secara ringkasnya, segala testimonial tentang sebarang objek yang
dapat memberi gambaran sejarah manusia, dapat dikategorikan ke dalam apa yang
kita panggil “sumber sejarah”.
Untuk mengenal pasti sumber
primer, ia mempunyai ciri-ciri yang perlu dilihat. Sumber primer mempunyai
kandungan yang masih baru dan dihasilkan oleh idea-idea kreatif dan ia tidak
diterjemahkan ke bahasa yang lain dan mengekalkan tulisan yang asal. Sumber
primer belum ditafsirkan dimana teks yang sebenar tidak diubahsuai dan ditokok
tambah. Dalam sesuatu penyelidakan sejarah, sumber primer merupakan maklumat
pertama yang diperolehi untuk membuat sesuatu kajian. Sumber primer juga
merupakan bahan mentah yang belum diproses ataupun tidak mengalami perubahan
secara fizikal. Sumber primer merupakan sumber yang sukar diperolehi kerana
terhad, sulit, terhapus, milik peribadi atau orang perseorangan.
Sumber primer terdiri daripada bahan
dokumen, surat rasmi, catatan, laporan, buku harian, warkah watiqah dan titah
perintah. Ahli-ahli sejarah dan penyelidik boleh memperolehi sumber primer
dalam pelbagai bentuk dan jenis, seperti surat tulisan tangan yang meliputi
surat-surat milik perseorangan (individu), pembesar (bangsawan) keturunan syed,
penghulu, Ketua Adat, Arkib Negara Malaysia, perpustakaan, muzium, dan juga
Pejabat Public Rekod di Singapura, India dan, London. Selain itu, artifak
arkeologi juga merupakan salah satu sumber primer yang boleh membantu ahli
sejarah dalam usaha mengumpul maklumat sejarah. Contohnya tinggalan
artifak-artifak sejarah seperti jumpaan manik-manik serpihan dan pecahan
tembikar dan kota candi adalah inskripsi di tapak-tapak arkeologi. Akhbar juga
dikelaskan sebagai sumber primer dalam bidang kajian sejarah.
Sumber akhbar boleh diperolehi
sama ada dengan merujuk di perpustakaan negeri, Arkib Negara Malaysia dan
Syarikat Percetakan Surat Khabar. Ini bermakna, sumber seperti diari atau
memoir yang pernah ditulis oleh seseorang tokoh silam, berita dalam akhbar
lama, laporan polis pada masa lampau semuanya dikelaskan sebagai sumber
pertama.[14] Sumber adalah bahan-bahan kajian yang
sangat rapat dengan usaha penyelidikan sejarah. Ia merupakan bahan yang sangat
penting iaitu bahan asasi bagi
penyelidikan sejarah yang boleh diertikan sebagai mencari dan mentafsirkan
sumber-sumber. Secara asasnya sumber sejarah bererti “punca” ataupun “bahan”,
“rujukan” yang mesti dicari dan diguna atau ditafsir oleh sejarawan untuk
mendapatkan bukti-bukti ataupun maklumat bagi sesuatu peristiwa yang dikajinya.
Sumber-sumber adalah terdiri dari pelbagai
bahan seperti dokumen, catatan, karya penulisan, buku harian, surat peribadi,
suratkhabar dan majalah, mata wang, gambar foto, lukisan, batu bersurat, batu
nisan, pita (tape), malah artifek-artifek
dari zaman pra-sejarah. Penyaksi atau keterangan saksi yang sah adalah juga
sumber sejarah. Contoh surat tulisan tangan seperti surat yang ditulis orang
perseorangan, keturunan raja, keturunan syed, penghulu, ketua adat, dan
lain-lain. Contohnya surat-surat daripada Mejar William Farquhar, surat-surat
Perjanjian Pangkor (20 Jan 1874) yang ditandatangani diantara Raja Abdullah
dengan Andrew Clark. Kebanyakan surat-surat tulisan tangan disimpan oleh
individu-individu yang tertentu yang mempunyai perkaitan peristiwa sejarah.
Autobiografi turut diklasifikasikan dalam sumber pertama kerana ia merupakan
dokumen yang ditulis oleh orang pertama yang mengisahkan tentang peristiwa yang
berlaku ke atas orang tersebut termasuklah kisanya sendiri. Contohnya, “Tuanku Abdul Rahman As
I See It” dan “My Life in Sarawak”
oleh Rancee of Sarawak (Margaret Brooke).
Penggunaan sumber harus melalui proses pemilihan atau penapisan, dan
penilaian untuk menentukan ketulenan atau kesahihannya, kaitan dan seterusnya
kebenaran fakta serta maklumat yang terdapat di
dalamnya. Louis
Gottschalk mengistilahkan proses-proses ini sebagai “kritikan luaran” dan
“kritikan dalaman”.[15]
Sumber primer mempunyai
kelebihan-kelebihan yang tertentu. Antaranya ialah penggunaan sumber primer oleh
ahli sejarah dapat menjelaskan tentang kebenaran sejarah dari sudut ‘Validity’ iaitu ketepatan fakta sejarah.
Ahli sejarah turut dapat menghasilkan penyelidikan dan penulisan sejarah yang
berkualiti dan baik kerana sumber primer merupakan sumber yang tepat dan tidak
ada unsur bias. Selain itu, penulisan sejarah yang menggunakan sumber primer
akan dijadikan rujukan utama kepada ahli sejarah lain apabila melakukan kajian
sejarah. Seterusnya, penggunaan sumber primer dengan kaedah sejarah dan kaedah
penulisan yang betul akan dapat mengelakkan kesilapan dan kesalahan dalam
fakta-fakta sejarah. Dari segi hierarkinya, sumber pertama (primary source) sudah tentu dianggap lebih tinggi kedudukannya
daripada sumber kedua (secondary source).[16] Misalnya, katakan seseorang itu menulis
buku tentang Darurat yang diisytiharkan di Malaya dalam tahu 1948, maka sumber
pertama yang digunakannya ialah dokumen kerajaan Inggeris pada masa itu,
laporan akhbar tempatan dalam tahun tersebut, laporan polis, serta surat-surat
peribadi dan, diari Chin Peng, Shamsiah Fakeh (jika ada dan jika ditemui) dan
sebagainya.[17]
Walaupun begitu, sumber primer turut
mempunyai kelemahan. Sumber primer tidak akan memberikan apa-apa makna
sekiranya ahli sejarah tidak melakukan proses tafsiran keatas sumber tersebut
kerana ia sukar difahami oleh para pembaca. Oleh itu, ahli sejarah perlu
membaca dan mentafsir sumber primer tersebut supaya dapat menjelaskan maksud
yang terkandung dalam sumber-sumber berkenaan agar ia mudah difahami oleh
pembaca. Perbezaan masa dan budaya yang terdapat pada zaman lampau tidak banyak
memberi maklumat kepada ahli sejarah yang tidak wujud sezaman dengan sumber
tersebut. Sumber primer dianggap amat sukar diperolehi, membosankan, serta
sukar untuk dibaca kerana tidak terdapat katalog bagi membantu ahli sejarah
dalam penyelidikan. Hal ini menyebabkan, ahli sejarah terpaksa memperuntukkan
masa dan melakukan lebih banyak kerja sedangkan memperolehi hasil yang sedikit
daripada penggunaan sumber primer.
Sumber Sekunder
Sumber seterusnya yang turut
digunakan dalam penulisan sejarah ialah sumber sekunder. Menurut Kamus Dewan
Edisi Ketiga, sekunder bermaksud yang kedua pentingnya atau tidak yang utama
atau yang terbit atau terhasil daripada satu yang asas atau utama.[18] Ini bermakna sumber sekunder terhasil
daripada sumber primer. Manakala menurut Arthur Marwick dalam bukunya “The Nature of Nasionan ”, sumber
sekunder ialah karya-karya yang sudah diproses berdasarkan bahan-bahan mentah tersebut ataupun daripada saksi-saksi yang
terlibat dalam satu kejadian tertentu.[19] Muhd. Yusof Ibrahim mengatakan bahawa
sumber sekunder ialah kajian-kajian ataupun penulisan-penulisan yang telah
dilaksanakan oleh seseorang mahupun sesuatu kumpulan tentang sesuatu peristiwa
ataupun tokoh-tokoh dan sebagainya.[20] Menurut Bilcher Bala, sumber sekunder
ataupun disebut sumber kedua adalah sumber yang telah diproses.[21] Arba’iyah Mohd Noor mengatakan sumber
sekunder adalah ibarat tulisan atau buku yang ditulis oleh sejarawan tentang
seseorang tokoh, sesuatu peristiwa yang didasarkan kepada sumber pertama atau
sumber-sumber yang lain dan sebagainya.[22] Manakala menurut Lousi Gottschalk, dalam
bukunya “Understanding History: A Primer
of Historical Method ” sumber
sekunder adalah sumber yang berbentuk catatan yang diperolehi daripada sesiapa
sahaja yang bukan saksi iaitu seseorang yang tidak hadir semasa kejadian itu
berlaku.[23] Dapat disimpulkan bahawa sumber sekunder
merupakan tafsiran, penyeluruhan, kesimpulan dan malahan andaian-andaian yang
dibuat oleh seseorang pengkaji terhadap perkara-perkara yang dikajinya dengan
bersandarkan sumber primer yang berkaitan. Sumber sekunder turut menceritakan,
menganalisis, mentafsir dan menilai sumber primer. Ia juga merupakan ulasan dan
perbincangan tentang buku yang telah disediakan oleh sumber primer.
Ahli-ahli
sejarah sentiasa melakukan penyelidikan terhadap sumber primer untuk
mendapatkan maklumat penting. Kemudian maklumat tadi akan ditulis dan,
dianalisis kemudian diterbitkan dalam
sebuah buku. Buku yang telah diterbitkan dinamakan sumber sekunder. Sumber
sekunder ini memberi gambaran kepada pembaca tentang sesuatu yang telah berlaku
berdasarkan sumber primer. Sumber sekunder penting sebagai kajian, mahupun
pandangan sekali lalu kerana sedikit sebanyak menggambarkan tentang pandangan
seseorang pengkaji itu terhadap perkara dan juga terhadap alam persekitaran
masa lalu yang dikajinya.[24] Contohnya, untuk menulis tentang sejarah
Melayu, maka kita boleh merujuk kepada penulisan sarjana Barat seperti “A History of The Peninsular Malaya” oleh
R.J. Wilkinson. Manakala bagi sarjana tempatan boleh merujuk kepada Buyong Adil
dan penulis-penulis Sejarah yang lain.
Sumber sekunder dapat memberi
teladan dan pengajaran kepada pembaca. Kita tahu bahawa sumber sekunder
merupakan tafsiran menyeluruh sejarawan, maka buku-buku yang dihasilkan mudah
difahami. Unsur-unsur yang diselitkan oleh sejarawan dalam penulisannya dapat
memberi teladan kepada pembaca. Contohnya, buku “Sejarah Melayu”, dimana penulis banyak menekankan unsur mitos dan
legenda untuk menunjukkan bahawa sultan mempunyai kedudukan yang tinggi, maka
sebagai rakyat tidak boleh menderhaka kerana jika menderhaka akan terkena tulah.
Sumber sekunder juga penting untuk melihat sejarah kita bukan sahaja dari kaca
mata tempatan tetapi sedikit sebanyaknya dari kaca yang sebenarnya objektif dan
barangkali alternatif dari pandangan sarjana barat yang ternama seperti R.J.
Wilkinson dan R.O. Winstedt.[25]
Sumber sekunder turut
digunakan dan mempunyai kepentingan oleh
penyelidik untuk mengukuhkan sesuatu hujah mereka. Ahli sejarah selalunya akan
mencari sumber kedua yang ‘reliable’
(dipercayai) sebagai bahan rujukan supaya mereka dapat memahami dan
menyesuaikan sumber primer yang akan digunakan.[26] Mark T. Gilderhus dalam bukunya, “ History and Historians: A Historiographical
Introduction”, mengatakan namun begitu kedudukan sumber sekunder ini adalah
hasil daripada rujukan ke atas sumber primer yang terdiri daripada bahan-bahan
dokumen di arkib dan pelbagai bentuk artifak.[27] Minat ahli sejarah dikatakan cenderung
menggunakan sumber sekunder berbanding sumber primer (first-hand source)
apabila membuat penyelidikan dan penulisan hasil sejarah.[28] Untuk menghasilkan sumber sekunder yang padat dan jelas, maka pengkaji
harus mempunyai sumber primer yan banyak agar sumber sekunder tadi tidak
diragukan oleh pembaca. Menurut amalan ilmiah pada hari ini, penghasilan sumber
sekunder haruslah melalui satu tatacara atau kaedah penyelidikan yang teratur
supaya hasilnya akan merupakan suatu hasil yang boleh diterima kebenarannya.[29] Sumber sekunder terdiri daripada,
penulisan yang lengkap, hasil kajian, karya diedit, buku rencana, latihan
ilmiah, tesis, surat khabar, majalah, makalah, dan karya-karya sastera atau
novel sejarah yang boleh diperolehi di arkib, serta perpustakaan.
Antara kepentingan sumber
sekunder ialah sebagai bahan rujukan supaya mereka dapat memahami dan
menyesuaikan sumber primer yang akan digunakan serta dapat menjelaskan sesuatu
peristiwa yang dikaji. Selain itu, ia merupakan hujah-hujah berdasarkan sumber
pertama. Setersnya, ia memberi gambaran akan sesuatu peristiwa yang hendak
ditulis kerana telah ada orang yang terdahulu mengkaji tentang peristiwa
tersebut. Selain itu, dengan menggunakan
sumber kedua ini dapat memberi hipotesis awal dan interpretasi mengenai masalah
itu tapi hanya dengan tujuan memperbaiki dan tidak boleh ia diterima secara
mentah. Oleh yang demikian, sumber kedua ini turut mempunyai kepentingan dalam
membuktikan sesuatu peristiwa dan dalam penghasilan sesebuah tulisan.
Sumber Arkeologi
Sumber ketiga yang digunakan dalam
kaedah sejarah adalah sumber arkeologi. Perkataan arkeologi berasal dari
perkataan Greek iaitu “ Arkhaiologi ” yang bermaksud barang-barang purba.
Mengikut Kamus Dewan, arkeologi bermaksud kajian saintifik mengenai sesuatu
kebudayaan terutamanya kebudayaan prasejarah dengan cara penggalian dan
penghuraian kesan-kesan tinggalan.[30] Menurut Frank Hole dan Robert F. Heizer
arkeologi adalah suatu kajian tentang masa silam manusia yang dikaji
terutamanya melalui bahan-bahan peninggalan serta arkeologi merupakan susunan
kaedah dan tatacara penyelidikan masa lalu yang menggambarkan data-data yang
diperoleh dan latihan akedemik serta orentasi teori ahli arkeologi.[31] Manakala
pendapat Mortimer Wheeler “archaeology
uses the scientific method to answer the question of humanities”.[32]
Seterusnya berdasarkan pandangan Prof. Dato’ Dr. Nik Hassan Suhaimi Bin Nik
Abd. Rahman yang merupakan antara ahli arkeologi yang terkenal di Malaysia
menyatakan, arkeologi sebagai satu displin yang teratur dan melalui
pendekatan-pendekatan sebagai dan method-method
yang ada padanya maka pengetahuan tentang zaman lampau manusia dapat
dituntut kembali dan diinterpretasikan dari tinggalan budayanya.[33]
Menurut pendapat G’rahame Clark pula, arkeologi adalah kajian sistematik keatas
bahan-bahan purba bagi membentuk semula sejarah.[34]
Seterusnya menurut pendapat Prof. Dr. Hasan Muarif Ambary, arkeologi berfungsi
memberi penjelasan terhadap benda-benda tersebut peniggalan manusia yang sudah
terkubur sehingga benda-benda tersebut kemudian berfungsi sebagai sumber
sejarah.[35] Secara
umumnya, sumber arkeologi bermaksud sumber yang mengkaji kehidupan manusia pada
zaman lampau melalui bahan-bahan tinggalan seperti artifak, ekofak dan feature.
Sumber ini digunakan oleh sejarawan
untuk melengkapkan lagi kajian yang dilakukan samada ia berurusan dengan masa
prasejarah atau masa sejarah. Sumber ini kadangkala boleh dikategorikan sebagai
sumber utama yang berbentuk ataupun sumber kedua, ia bergantung kepada
kepentingan dan ketulenan serta kejituannya berhubung dengan sesuatu peristiwa
yang sedang dikaji dan diselidiki.
Sumber ini terdiri daripada
tiga jenis iaitu artifak, ekofak, dan feature. Artifak mengikut Kamus Dewan
bermaksud barang-barang buatan manusia (terutamanya alat perkakas, senjata)
yang merupakan peninggalan sesuatu zaman.[36]
Artifak adalah segala benda yang dihasilkan daripada aktiviti dalam kehidupan
manusia sebagai contoh alat batu, gendang gangsa, tembikar, gelang batu, kapak
batu, tembikar, alatan batu dan lain-lain. Bukti-bukti artifak yang ditemui ini
bukan sahaja menjelaskan peristiwa tentang sumber-sumber awal manusia dalam
pelbagai bentuk dan rupa serta maklumat tentang corak kehidupan manusia dari
segi keperluan asas, petempatan, aktiviti yang dilakukan serta lain-lain
maklumat. Kebanyakan artifak yang ditemui oleh para ahli arkeologi adalah
seramik yang terdiri daripada serpihan porselin,
pottery, stoneware, dan celadon
turut menemui pelbagai jenis alatan batu.[37]
Contohnya, pada tahun 1983, E. Noetiling telah menemui perkakas batu yang
pertama di Burma.[38]
Di Sabah, jumpaan awal artifak zaman prasejarah dilakukan oleh I.H.N. Evans
yang telah mengumpul alat-alat batu di daerah Tempasuk sekak tagun 1911.[39]
Artifak boleh dikategorikan kepada artifak prasejarah dan protosejarah atau
sejarah. Artifak prasejarah seperti tembikar, dan alat-alat batu manakala
artifak sejarah merupakan artifak semasa zaman kemunculan sesebuah tamadun
seperti monumen, manik, mata wang dan sebagainya. Contohnya manik-manik yang
dijumpai di tapak-tapak arkeologi di Kuala Selinsing di Perak yang menunjukkan
bahawa masyarakat zaman tersebut telah terlibat dengan perdangangan manik
antara masyarakat setempat atau pedagang asing.[40]
Ekofak pula sesuatu yang bukan dihasilkan
atau dibuat oleh manusia tetapi dapat menjadi petunjuk bahawa pernah wujud ciri
kehidupan manusia seperti fosil, tulang, kerangka manusia, arang, sisa
pembakaran, polen tumbuhan, dan sebagainya. Ekofak juga meliputi tinggalan
kulit siput serta flora dan fauna. Contohnya, Zurina Majid yang merupakan
antara ahli arkeologi tempatan yang
terkemuka melakukan penyelidikan, galicari, dan ekskavasi di Gua Gunung Runtuh,
Lenggong, Perak telah menemui satu rangka manusia dianggap hampir lengkap di
Malaysia yang dikenali sebagai “Perak Man” yang pernah hidup di zaman
prasejarah [41]
dan ia merupakan yang tertua di Malaysia. Selain itu, jumpaan tengkorak Homo
Sapiens telah dijumpai di gua Niah, Sarawak.[42]
Jenis arkeologi seterusnya iailah
feature yang bermaksud sesuatu yang berada di permukaan tanah atau dibawah
permukaan tanah dan sekiranya diubah atau dipindah tanpa rekod yang rapi maka
akan memusnahkan data yang sedia ada. Antaranya seperti stuktur bangunan,
nisan, benteng kota, bedul pintu, tempat pembuangan sampah dan asas pelapik
tiang. Contohnya, kajian yang dilakukan oleh J.P. Moquette yang dikatakan orang
pertama melakukan kajian arkeologi secara komprehensif pada 1913, beliau
melakukan kajian dan penelitian serta pembacaan terhadap batu nisan di Kampung
Samudra, Acheh. Hasilnya, beliau berjaya meterjemahkan atau mengidentifikasikan
bahawa nama yang tercantum pada batu nisan tersebut adalah Malik al-Saleh dan
anaknya, Malik al-Zahir yang masing-masing meninggal pada 969/1297 dan
726/1326. Hasil penelitian Moquette ini sangat bernilai kerana bukti ini
memperkuatkan teks seperti Raja-Raja
Pasai (A.H. Hill, 1960), dan Sejarah
Melayu (R.O. Winstedt, 1938) mengenai sejarah kerajaan Samudra Pasai dan
Melaka.[43]
Selain itu, menurut Frank Hole dan Robert F. Hazer, ahli arkeologi yang pertama muncul dalam sejarah
adalah Nebonidus iaitu raja Babylon akhir telah melakukan ekskavasi terhadap
bangunan purba serta menyimpan barangan yang ditemui ke dalam muzium yang
didirikannya sendiri kerana beliau sangat meminati sejarah tamadun Babylon.[44]
Arkeologi
terbahagi kepada beberapa bidang kajian yang tertentu antaranya, bidang
epigrafi yang mengkaji tentang prasasti, inskripsi, dan batu bersurat seperti
batu bersurat yang dijumpai di Terengganu, dan bidang filologi yang mengkaji
tentang naskhah-naskhah dan tulisan kuno seperti kajian terhadap tulisan
cuniform dan hiroglif. Selain itu, bidang mengkaji tinggalan bangunan seperti
Angkor Watt dan candu, seterusnya bidang ikonografi tentang kajian seni-seni
pahatan dan ikon seperti taj mahal. Kajian tentang pola petempatan tempat
tinggal seperti petempatan di Harappa dan Mohenjo Daro yang merupakan bandar
yang sistematik turut termasuk dalam bidang dalam arkeologi serta bidang
antropologi yang merupakan suatu kajian tentang asal-usul manusia (perkembangan
fizikal dan kebudayaannya, adat resam,
serta kepercayaannya). Seterusnya, bidang sosiologi yang mengkaji tentang
sejarah masyarakat dan bidang numismatik merupakan kajian terhadap tinggalan
mata wang. [45]
Bidang arkeologi ini turut memerlukan bidang atau ilmu lain dalam kajiannya
seperti geografi dan sains. Terdapat pelbagai kategori ahli arkeologi antaranya
ahli arkeologi antropologi manusia iaitu melihat arkeologi sebagai ilmu
ethnologi dan displin antropologi yang saintifik. Golongan kedua adalah ahli
arkeologi galicari yang terlibat dengan proses galicari dalam usaha membina semula
sejarah dalam seluruh aspek dengan menggunakan rekod-rekod arkeologi sebagai
method mengkaji dan membina semula sejarah.
Selain itu, ahli arkeologi sejarah seni yang lebih tertumpu kepada penemuan
alat-alat seni berbeza dengan golongan ahli arkeologi geologi yang menumpukan
bidan arkeologi zaman prasejarah kepada aepek geologi, kimia tanah, dan, kajian
iklim. Terdapat banyak lagi ahli arkeologi yang berusaha membentuk pelbagai
kaedah untuk menjalankan penyelidikan dalam bidang arkeologi sebagai satu
bidang yang lebih bersifat saintifik. Antara ahli arkeologi barat yang terkenal
seperti Thomas Jefferson, T.E. Lawrence, Gibson, dan I.H.N Evans.
Sumber
arkeologi ini sememangnya membantu dalam sesuatu kajian dan penulisan yang
dibuat untuk membuktikan atau mengukuhkan penyataan disamping menggunakan
sumber-sumber lain. Sumbangan arkeologi kepada ilmu pengetahuan boleh dilihat
dari beberapa sudut. Pertama, melalui kejayaan penyelidikan arkeologi dapatlah
kita melihat manusia secara menyeluruh dalam pelbagai ragam yang berkembang
melalui tamadun dan kebudayaan yang berbeza. Seterusnya membantu kita untuk
terus maju kehadapan melalui dapatan maklumat hasil penyelidikan arkeologi.
Selain itu, kepentingan sumber arkeologi ini adalah untuk mengetahui dan
memperolehi pengetahuan mengikut susunan peristiwa dan kronologi dengan
ketiadaan dokumen bertulis atau tidak dapat dijelaskan oleh sumber bertulis. Di
samping itu, arkeologi menggalakkan perkembangan ilmu epigrafi. Ahli-ahli
epigrafi membantu ahli arkeoligi untuk membuat transkripsi inskripsi-inskripsi
yang diperoleh oleh ahli arkeologi ketika proses carigali. Transkripsi itu
membolehkan ahli sejarah menulis semula sejarah dan sejarah kebudayaan. Contohnya,
beberapa inskripsi dijumpai di Sumatera, Jawa, Selatan Negara Thailand dan
China telah menghasilkan maklumat mengenai kerajaan Srivijaya dan kerajaan tua
lain dari abad ke-7 sehingga abad ke-14.[46]
Secara tidak lansung, arkeologi membantu memperkembangkan ilmu fiologi. Akhir sekali, sumber ini
berperanan sebagai bidang untuk mencari data-data dengan memerhati
monumen-monumen purba dan membuat gali cari bagi menambah pengetahuan sejarah
yang sedia wujud dalam bentuk tulisan sejarah
oleh ahli sejarah terdahulu. Keadaan ini menyebabkan sesuatu maklumat
yang diragui sebelumnya akan diyakini sepenuhnya.
Sumber Lisan
Sumber seterusnya
ialah sumber lisan. Lisan dalam Kamus Dewan bermaksud sesuatu yang diucapkan (tidak
ditulis).[47] Sumber lisan meliputi dua zaman iaitu
zaman lampau dan zaman moden. Zaman lampau dipelopori oleh Herodotus yang mana
beliau telah menjalankan proses temuramah individu untuk mendapatkan
peristiwa-peristiwa sejarah yang dianggap penting pada masa lampau seperti
Perang Parsi 5 S.M. Sumber lisan turut dipelopori oleh Thucydides yang menulis
menggunakan pengalaman tentera-tentera yang terlibat dalam Peperangan
Peloponnesian.[48] Zaman moden pula dipelopori oleh Profesor
Allan Nevins yang telah melancarkan projek penggunaan sumber sejarah lisan di
Universiti Columbia pada 1948 dan semakin berkembang dan diminati hingga 1960.
Louis Star pula meneruskan projek ini dengan menjalankan proses pengumpulan
data sejarah setelah hilang tradisi penulisan sejarah melalui kaedah ini.[49] Antara bukti penggunaan sumber lisan
dalam penulisan sejarah iailah Mamoru
Shinozaki yang menulis buku “Syonan, My
Story: The Japanese Occupation of Singapore”[50]
berasaskan kepada sumber perang di Singapura telah menngunakan kaedah
berdasarkan temuramah lisan. Hal ini menunjukkan sumber lisan penting untuk mengukuhkan dan bukti bagi
sesuatu sejarah. Menurut Yusuf Ibrahim sumber dapat dibahagikan kepada sumber
utama dan sumber kedua. Sumber utama adalah yang didapati daripada
penyaksi-penyaksi atau orang-orang terlibat dalam peristiwa sejarah dimana
mereka boleh beri maklumat asal tentang peristiwa sejarah dimana mereka
saksikan atau yang mereka turut terlibat. Jika maklumat itu dimuatkan ke dalam
pita rakaman ataupun apa-apa perakam suara, maka itu dianggap sebagai sumber
utama. Tetapi jika mereka menulisnya,
maka ia menjadi sumber utama yang bertulis
bukan lisan lagi.[51]
Menurut Louis Gottschalk dalam bukunya yang bertajuk “Understanding History”, sumber lisan dalam kategori sekunder pula,[52]
ia adalah maklumat daripada mereka yang tidak menyaksikan atau terlibat dalam
sesuatu peristiwa yang diterangkan. Bukti arkeologi amat berbeza dengan bukti
lisan kerana bukti lisan telah ditafsirkan semula atau ditokok tambah oleh
sejarawan itu sendiri dan ia hanya berlaku sejak berlakunya sesuatu peristiwa
sejarah itu.[53]
Oleh itu, kaedah lisan ini digunakan untuk mengukuhkan kesahihan fakta sejarah
dengan syarat sejarawan bijak menapis sumber tersebut. Sumber lisan ini bermula
sejak sebelum lahirnya penulisan dan ia merupakan satu kaedah pengumpulan
fakta-fakta sejarah yang masih belum dikaji dan dirakam semula. Sumber lisan
ini mestilah dilaksanakan mengikut kaedah dan teknik yang betul bagi memastikan
hasilnya benar-benar sahih. Dalam proses mendapatkan sumber lisan terdapat tiga
tahap utama iaitu proses persediaan,
teknik mengumpul iaitu menjalankan temuramah dan memproses rakaman.[54]
Keterangan lisan termasuklah keterangan yang masih belum terakam atau yang
telah dirakam atau telah didokumentasikan dalam transkrip sejarah lisan.
Sumber lisan
adalah keterangan yang didapati melalui wawancara dan merakam ke dalam pita atau lain-lain alat perakam suara tentang
keterangan samada dalam bentuk pelaku seperti keterangan proto atau saksi mata,
keterangan kata dengar atau saksi pendengar, keterangan daripada seseorang
pemegang tradisi dan seseorang yang mengetahui tentang sesuatu peristiwa.
Keterangan proto iailah keterangan lisan
yamg dituturkan oleh pelaku yang terlibat dalam sesuatu peristiwa yang dikaji.
Keterangan yang dituturkan adalah merujuk kepada peranan dan pengalaman pribadi
atau penglibatan secara lansung dalam peristiwa berkenaan. Contohnya keterangan
hidup seseorang pada masa pendudukan Jepun antara tahun 1941-1945 menceritakan
keadaan pada ketika itu, terdapat
kampung-kampung yang dibakar kerana kesalahan kecil, kekurangan makanan, serta
siksaan yang dilakukan terhadap masyarakat melayu ketika itu.[55]
Melalui penggunaan sumber lisan kita
dapat mengetahui dan membuktikan dengan lebih jelas sesuatu perstiwa
namun penggunaannya perlu kepada berhati-hati. Seterusnya keterangan saksi mata
pula iailah keterangan yang diberikan oleh seseorang yang melihat peristiwa
yang telah berlaku itu. Pengisah itu tidak mempunyai peranan dalam peristiwa
tersebut selain menjadi pemerhati dan atau saksi mata. Keterangan lisan yang
diberikannya adalah keterangan yang telah diperhatikannya. Keterangan ini
berbeza dengan keterangan proto kerana pengisah keterangan proto adalah pelaku
yang terlibat secara lansung dalam peristiwa berkenaan berbeza dengan penutur
keterangan saksi mata yang tidak memainkan peranan dalam peristiwa berkenaan.
Seterusnya, keterangan kata dengar lisan atau
saksi pendengar iaitu keterangan yang diceritakan oleh seseorang dari apa yang
diketahui melalui sumber orang lain atau dengan kata lain, keterangan daripada
orang kedua. Saksi pendengar mendengar atau mengetahui perkara berkenaan
semata-mata dari apa yang telah didengarnya dari pelaku atau saksi mata.
Contohnya, seorang bapa akan menceritakan peranannya dalam sesuatu perstiwa
kepada si anak atau isterinya. Keterangan yang diperoleh orang kedua ini adalah
keterangan kata dengar. Semua yang dikisahkannya kepada pengkaji itu adalah
keterangan yang telah didengar daripada orang pertama.[56]
Namun, tidak semua keterangan kata dengar tersebar sehingga mencapai ke tahap
berikutnya. Sekiranya proses penuturan ini tidak berterusan kepada generasi
berikutnya, maka lama kelamaan ia akan terhapus.
Pada tahap
ketiga pula, keterangan kata dengar melalui proses penyebaran penuturan dari
mulut ke mulut, dari satu generasi ke generasi. Pada tahap ini, keterangan
lisan berkenaan telah mencapai tahap tradisi lisan dan penyampaiannya bergantung
kepada kekuatan ingatan seseorang penutur. Kepada pengkaji sejarah, tradisi
lisan itu boleh diertikan sebagai keterangan lisan yang dipertuturkan dari satu
generasi kepada generasi berikutnya.[57]
Terdapat dua cara penyebaran dari satu
generasi ke satu generasi dalam tradisi lisan ini iaitu, tradisi terkawal dan
tradisi tidak terkawal. Tradisi terkawal ini kebiasannya berlaku kepada
masyarakat yang tidak ada sistem penulisan. Bagi penutur yang terkawal, penutur
merupakan adalah orang yang mempunyai tanggungjawab dalam masyarakatnya untuk
mempelajari tradisi lisan tertentu dengan cara menghafal daripada penyimpan
tradisi masyarakat berkenaan. Pada kebiasaanya, ia melibatkan undang-undang,
politik, sosial, serta adat masyarakat
berkenaan. Contohnya, di kalangan masyarakat melayu tradisional, dapat dilihat
melalui masyarakat adat pepatih. Terdapat orang tertentu yang boleh dianggap
sebagai pemegang tradisi bagi sesuatu perut, suku, dan luak. Di peringkat
perut, seseorang buapak yang diberi tanggungjawab perlu mengetahui tradisi
lisan perutnya. Di peringkat suku, seseorang lembaga perlu mengetahui tradisi
lisan sukunya dan berlaku perkara yang sama di peringkat seterusnya.[58]
Oleh itu, ia dikategorikan sebagai tradisi lisan terkawal. Manakala tradisi
lisan tidak terkawal pula, penyebarannya berleluasa dan tiada sekatan serta
tiada penutur tententu. Dalam erti yang lebih luas, tradisi lisan yang tidak
terkawal didefinisikan meliputi semua keterangan lisan tentang masa lalu yang
telah diperturunkan dari seorang kepada seorang dengan cara penuturan. Dengan
itu, ia meliputi suatu bidang yang luas seperti mitos, lagenda, cerita rakyat
hingga kepada pantun, perumpamaan, bidalan, salasilah dan sebagainya. Sesuatu
peristiwa yang berkesan kepada pengalaman sesebuah masyarakat maka, perkara
berhubung dengan peristiwa berkenaan akan sentiasa menjadi ingatan dan dikenang
kembali oleh generasi berikutnya turut termasuk dalam tradisi lisan tidak
terkawal. Contohnya, peristiwa revolusi yang berlaku pada tahun 1789 serta
peristiwa yang berkaitan seperti penderitaan, dan pembunuhan Louis XVI dan
keluarganya yang berlaku di negara
Perancis[59] akan
sentiasa diingati, dikaitkan dengan peristiwa lain, dan penuturannya masih
berlaku sehingga kini. Tradisi yang memberi kesan kepada pengalaman masyarakat
seperti yang berlaku dalam masyarakat Perancis ini kadangkala disebut
sebagai national tradition.
Sejarah lisan
sering dipersoalkan tentang dari segi ketepatan dan kebenarannya. Oleh yang
demikian para penyelidik mestilah menilai informan atau penyaksi yang hendak
diwawancara tentang kewarasannya, kekuatan ingatannya dan akhlak peribadinya.
Sekiranya terdapat informan lain, penyelidik mestilah turut mewawancara mereka
serta mengkaji maklumat-mallumat yang telah dirakamkan serta membandingkan
dengan sumber-sumber lain. Sekiranya informan hanya seorang sahaja, dalam hal
ini kewibawaan sumber itu sangatlah bergantung pada faktor-faktor keikhlasan
penyaksi yang tunggal itu, iaitu dari segi kejujurannya, keikhlasannya, malah
keimanannya.[60]
Kemantapan sifat-sifat tersebut dapat menyakinkan penyelidik bahawa apa yang
diperkatakan adalah benar. Proses wawancara yang dilakukan akan dirakam dan
peyaksi semasa proses dijalankan akan menggunakan sumber dengan merujuk gambar,
surat, kertas, diari dan sebagainya. Maklumat yang diperoleh hasil wawancara
yang dilakukan kemudiannya akan ditranskripsi, disemak dan disimpan menjadi bahan
pengajaran dan penyelidikan pada masa hadapan.[61]
Sumber lisan
ini walaupun sering diragui kebenarannya namun ia tetap mempunyai kepentingan
iaitu memberi gambaran yang lebih lengkap dan jelas mengenai sesuatu peristiwa
yang tidak terdapat dalam sumber lain. Contohnya, ramai yang mengetahui krisis
antara Menteri Besar Negeri Sembilan dengan pihak istana.[62]
Sebaliknya tidak ramai pula mengetahui tentang sebab-sebab berlakunya krisis
berkenaan dan cara penyelesaiannya. Perkara ini tidak tercatat dalam keterangan
bertulis. Oleh itu, peyelidikan tentang peristiwa seperti ini memerlukan
pendekatan sejarah lisan untuk mengetahui dengan lebih mendalam. Seterusnya, ia
menjadi pelengkap kepada keterangan
bertulis. Rekod lisan mempunyai keunikan berbanding dengan sumber lain kerana
Ia dicipta untuk kepentingan kegunaan sejarah, menerangkan dan memelihara
cerita-cerita sebenar, motivasi, memperlihatkan pemikiran, persepsi dan
personaliti. Hal ini jelas kerana dokumen sejarah akan terus kekal
selama-lamanya tetapi mereka yang mewarisi peristiwa sejarah tidak akan kekal
untuk selama-lamanya,[63]
Melalui sumber lisan ini juga kita akan dapat mengetahui tentang seseorang
tokoh melalui penggunaan perakam suara yang digunakan ketika proses wawancara
dilakukan atau penggunaan transkrip yang terdapat di Arkib Negara. Oleh itu
sumber lisan perlu digunakan agar dapat melengkapkan sesuatu penulisan sejarah.
Kesimpulan
Secara keseluruhannya, sumber pertama, kedua, arkeologi dan lisan saling memerlukan
antara satu sama lain dan ia sangat penting dalam menghasilkan sesuatu sejarah
dalam penulisan sejarah. Selain itu, ia juga penting dalam bidang pengajaran,
penyelidikan, dan pengkajian sejarah. Dalam usaha untuk menghasilkan sesuatu
karya sejarah, seseorang sejarawan mestilah berusaha untuk mendapatkan
sumbernya. Kemudian memilih sumber yang bersesuian. Sejarawan juga perlu mengkaji
dan menganalisis sumber sumber yang diperolehi untuk mendapatkan fakta yang
sahih dan dan seterusnya melakukan penulisan serta membuat tafsiran terhadap peristiwa
berkenaan. Etika dalam pencarian sumber sejarah perlu mengikut acuannya yang
sebenar kerana dengan dengan sedikit sahaja kesilapan akan menyebabkan sesuatu
sumber sejarah itu terpesong dan menyimpang.
Oleh
itu, dalam proses pengumpulan sumber yang baik dari segi ketulenan sumber
membantu pengkaji menghasilkan penulisan
sejarah yang baik. Dengan itu, dalam proses pengumpulan sumber, pengkaji
harus mengambil langkah serius agar sumber yang diperoleh merupakan satu sumber
yang baik dan berkaitan dengan tajuk yang dikaji. Tanpa sumber, sejarawan tidak
berupaya menghasilkan pensejarahannya.
Bibliografi
Abdul Rahman Haji Abdullah, Wacana Falsafah Sejarah Perspektif Barat dan
Timur, Selangor: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd, 2000.
Arba’iyah Mohd Noor, Ilmu Sejarah dan
Pensejarahan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2002.
Atan Long, Pengajian
Am, Petaling Jaya: Fajar Bakti, 1987.
Badriyah Hj. Salleh dan Tan Liok Ee, Alam Pensejarahan Dari Pelbagai Perspektif
Penyelenggara, Kuala Lumpur :
Dewan dan Pustaka, 1996.
Bilcher Bala, Penyelidikan dan
Penulisan Sejarah, Selangor: Pusat Pengajian Jarak Jauh Universiti
Kebangsaan Malaysia, 2000.
Frank Hole
dan Robert F. Heizer, Arkeologi
Prasejarah Satu Pengenalan Ringkas, Terjemahan Shakila Yaacob, Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka,1990.
Hasan Muarif
Ambary, Menemukan Peradaban Jejak
Arkeologi dan Historis Islam Indonesia, Editor, Jajat Burhanuddin, Jakarta: Logos Wacana Ilmu, 1998.
Ishak
Saat, Ilmu Sejarah Antara Tradisi dan Moden, Shah
Alam: Karisma Production Sdn. Bhd, 2007.
J. G. Garraghan, Guide to Historical Method, New York : Fordham
University Press, 1946.
Kamus Dewan, Edisi Ketiga, Kuala Lumpur :
Dewan Bahasa dan Pustaka, 2000.
Louis
Gottschalk, Understanding history: A
Primer of Historical Method, 2nd edition. New York : Alfred a Knopf, 1969.
Muhd. Yusof
Ibrahim, Pengertian Sejarah, Beberapa
Perbahasan Mengenai Teori dan Kaedah, Kuala
Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, 1896.
Penyelidikan
dan Penulisan Sejarah, Bangi: Universiti
Kebangsaan Malaysia, 2000.
Qasim Ahmad, Isu-isu Pensejarahan
(esei penghargaan kepada Dr. R. Sutharalingam), Pulau Pinang: Universiti Sains Malaysia, 1995.
Rozeman Abu Hassan, Mengenali dan Mentafsir Sumber Sejarah,
Selangor: Karisma Publications Sdn. Bhd, 2004.
R. Suntharalingam,
Pengenalan Kepada Sejarah, Kuala
Lumpur: Marican & Sons (M) Sdn. Bhd, 1985.
Tan Liok
Ee, Isu-isu Pensejarahan (esei
penghargaan kepada Dr. R. Sutharalingam), Pulau Pinang: Universiti Sains Malaysia, 1995.
[1] Tan Liok Ee, Isu-isu
Pensejarahan (esei penghargaan kepada Dr. R. Sutharalingam), Pulau Pinang:
Penerbit Universiti Sains Malaysia ,
1995, hlm. 79.
[2] R. Suntharalingam, Pengenalan
Kepada Sejarah, Kuala Lumpur : Marican
& Sons (M) Sdn. Bhd, 1985, hlm. 28.
[3] Kamus Dewan, Edisi Ketiga,
Kuala Lumpur :
Dewan Bahasa dan Pustaka, 2000, hlm. 1318.
[4] Rozeman Abu Hassan, Mengenali
dan Mentafsir Sumber Sejarah, Selangor: Karisma Publications Sdn. Bhd.
2004, hlm. 8.
[5] Bilcher Bala, Penyelidikan
dan Penulisan Sejarah, Selangor: Pusat Pengajian Jarak Jauh Universiti
Kebangsaan Malaysia ,
2000, hlm. 64.
[6] Muhd. Yusof Ibrahim, Pengertian
Sejarah, Beberapa Perbahasan Mengenai Teori dan Kaedah, Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka, 1896, hlm. 103.
[7]Ibid. hlm. 65.
[8]Ibid.
hlm. 65.
[10] Rozeman Abu Hassan, Mengenali dan Mentafsir Sumber Sejarah, Shah Alam: Karisma
Production Sdn. Bhd, 2004, hlm. 18.
[11] Ibid.
hlm . 18.
[12] Muhd. Yusof Ibrahim, Ilmu Sejarah: Falsafah, Pengertian, dan Kaedah, Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka, 1997, hlm. 156.
[13] J. G. Garraghan,, Guide to
Historical Method, New York :
Fordham University Press, 1946, hlm. 12.
[14] Qasim Ahmad, Isu-isu
Pensejarahan (esei penghargaan kepada Dr. R. Sutharalingam), Pulau Pinang: Universiti Sains Malaysia , 1995, hlm. 61.
[15] Louis Gottschalk, Understanding
history: A Primer of Historical Method, 2nd edition. New York : Alfred a Knopf, 1969, hlm. 42.
[16] Abdul Rahman Haji Abdullah, Wacana
Falsafah Sejarah Perspektif Barat dan Timur, Selangor: Utusan Publications &
Distributors Sdn Bhd, 2000, hlm. 83.
[17] Qasim Ahmad, Isu-isu Pensejarahan (esei penghargaan kepada Dr. R. Sutharalingam), Pulau Pinang:
Universiti Sains Malaysia ,
1995, hlm. 61.
[19] Abdul Rahman Haji Abdullah, Wacana Falsafah Sejarah Perspektif Barat dan
Timur. Selangor: Utusan
Publications & Distributors Sdn Bhd. 2000. hlm. 83.
[20]Muhd. Yusof Ibrahim, Pengertian Sejarah, Beberapa Perbahasan Mengenai Teori dan Kaedah,
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1896, hlm.157.
[21]Bilcher Bala, Penyelidikan dan Penulisan Sejarah, Selangor: Pusat Pengajian Jarak
Jauh Universiti Kebangsaan Malaysia, 2000, hlm. 64.
[22]Arba’iyah Mohd Noor, Ilmu Sejarah dan Pensejarahan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka, 2002, hlm. 51.
[23]Rozeman Abu Hassan, Mengenali dan Mentafsir Sumber Sejarah, Shah Alam: Karisma
Production Sdn. Bhd, 2004, hlm. 24.
[24] Muhd. Yusof Ibrahim, Ilmu Sejarah:Falsafah, Pengertian dan Kaedah, Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka, 1896, hlm. 158.
[26] Rozeman Abu Hassan, Mengenali dan Mentafsir Sumber Sejarah, Shah Alam: Karisma
Production Sdn. Bhd, 2004, hlm. 24.
[28] Ibid.
hlm. 29.
[29] Muhd Yusof Ibrahim, Ilmu Sejarah: Falsafah, Pengertian, dan Kaedah, Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka, 1896, hlm. 157.
[31] Frank Hole dan Robert F. Heizer, Arkeologi
Prasejarah Satu Pengenalan Ringkas, Terjemahan Shakila Yaacob, Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka,1990, hlm. 5.
[32] Rozeman Abu Hassan, Mengenali
dan Mentafsir Sumber Sejarah, Shah Alam: Karisma Production Sdn. Bhd, 2004,
Hlm. 59.
[33] Ibid. hlm. 60
[34] Ibid. hlm. 59
[35] Hasan Muarif Ambary, Menemukan Peradaban Jejak Arkeologi dan Historis Islam Indonesia, Editor,
Jajat Burhanuddin, Jakarta: Logos Wacana
Ilmu, 1998, hlm. 9.
[36] Kamus Dewan, Edisi Ketiga, Kuala
Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, 2000, hlm. 64.
[37] Rozeman Abu Hassan, Mengenali
dan Mentafsir Sumber Sejarah, Shah Alam: Karisma Production Sdn. Bhd, 2004,
hlm. 73.
[38] Ishak Saat, Ilmu Sejarah Antara Tradisi dan
Moden, Shah Alam: Karisma Production Sdn. Bhd, 2007, hlm. 95.
[39] Rozeman Abu Hassan, Mengenali dan
Mentafsir Sumber Sejarah, Shah Alam: Karisma Production Sdn. Bhd, 2004, hlm.
76.
[40]Ibid.
hlm. 86.
[41]Ibid.
hlm. 64.
[42] Ishak Saat, Ilmu Sejarah Antara Tradisi dan
Moden, Shah Alam: Karisma Production Sdn. Bhd, 2007, hlm. 95.
[43] Hasan Muarif Ambary, Menemukan
Peradaban Jejak Arkeologi dan Historis Islam Indonesia, Editor, Jajat
Burhanuddin, Jakarta: Logos Wacana Ilmu,
1998, hlm. x.
[44]Frank Hole dan Robert F. Heizer, Arkeologi Prasejarah Satu Pengenalan
Ringkas, Terjemahan Shakila Yaacob, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka,
1990, hlm. 33.
[45] Hasan Muarif Ambary, Menemukan
Peradaban Jejak Arkeologi dan Historis Islam Indonesia, Editor, Jajat
Burhanuddin, Jakarta: Logos Wacana Ilmu,
1998, hlm. 7.
[46] Atan Long, Pengajian Am, Petaling Jaya: Fajar Bakti, 1987, hlm. 248.
[48] Rozeman Abu Hassan, Mengenali dan Mentafsir Sumber Sejarah, Shah Alam: Karisma
Production Sdn. Bhd, 2004, hlm. 148.
[49] Loius Star. ed. David
K Dunway & Willa K Baum, Oral
History: An Interdisciplinary Anthology, Second Edition. London :
Altamira Press, 1984, hlm. 8.
[50] Rozeman Abu Hassan, Mengenali
dan Mentafsir Sumber Sejarah, Shah Alam: Karisma Production Sdn. Bhd, 2004,
hlm. 185.
[51] Muhd. Yusof Ibrahim, Ilmu
Sejarah:Falsafah, Pengertian dan Kaedah, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, 1986,
hlm. 161.
[52] Ibid. hlm. 161.
[53] Arba’iyah Mohd Noor, Ilmu
Sejarah dan Pensejarahan, Kuala
Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, 2002, hlm. 42.
[54] Rozeman Abu Hassan, Mengenali dan Mentafsir Sumber Sejarah, Shah
Alam: Karisma Production Sdn. Bhd, 2004, hlm. 153.
[55] Muhd. Yusof Ibrahim, Ilmu Sejarah:Falsafah, Pengertian dan Kaedah, Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka, 1986, hlm. 162.
[57] Badriyah Hj. Salleh dan Tan Liok Ee, Alam
Pensejarahan Dari Pelbagai Perspektif Penyelenggara, Kuala Lumpur: Dewan
dan Pustaka, 1996, hlm. 149.
[58]Ibid. hlm. 146-147.
[59]Ibid.
hlm. 148.
[60] Muhd. Yusof Ibrahim, Ilmu Sejarah:Falsafah, Pengertian dan Kaedah. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka, 1986, hlm. 162.
[62] Badriyah Hj. Salleh dan Tan Liok Ee, Alam
Pensejarahan Dari Pelbagai Perspektif Penyelenggara, Kuala Lumpur: Dewan
dan Pustaka, 1996, hlm. 151-152.
[63]
Rozeman Abu Hassan, Mengenali dan
Mentafsir Sumber Sejarah, Shah Alam: Karisma Production Sdn. Bhd, 2004, hlm.
188.
No comments:
Post a Comment