PENDAHULUAN
Sejarah dapat ditafsirkan seperti kisah-kisah yang
berlaku pada masa lampau (events that
happened or occurred). Sejarah yang wujud tidak bergantung pada kita untuk
mewujudkannya. Tanpa kita atau tanpa sejarawan, masa lampau atau masa kini dan
masa depan, sejarah tetap wujud dalam
keadaannya.
Dari segi etimologinya, takrifan ini dikatakan secocok dengan
makna asal istilah historia dari
bahasa Greek yang kemudiannya dipakai dalam bahasa-bahasa lain seperti history (Inggeris) dan historia (Perancis) dangan maksud
penyelidikan atau kajian yang dilakukan oleh sejarawan (Historia rerum
gestarum).[1]
R.G. Collingwood (1899-1943) seperti Hegel berpendapat bahawa semua sejarah
ialah sejarah pemikiran. Bahkan baginya semua sejarah ialah pementasan kembali
pemikiran masa lampau di dalam akal fikiran sejarawan.
Menurut Carr yang memutuskan bahawa sejarah ialah suatu proses
perhubungan antara ahli sejarah dengan bahan-bahannya, suatu dialog yang tidak
putus-putus di antara zaman sekarang dengan masa yang telah lalu. Daripada
definisi yang diberikan oleh beliau menunjukkan bahawa sejarah berfungsi untuk
menyimpan dan meneruskan pengalaman – pengalaman sejarah serta berfungsi untuk menyimpan pengalaman
–pengalaman secara kolektif dari satu generasi ke satu generasi yang lain dan
juga tindak balas antara pembaca terhadap penulisan sesebuah buku iaitu
fakta-fakta yang ditulis oleh sejarawan.[2]
Sejarah yang diputuskan oleh Carr itu belum merupakan satu
perkembangan berbanding seorang ahli sejarah pada kurun ke-19 iaitu Von Ranke,
dari Jerman yang telah memperkenalkan cara baru untuk memahami sejarah. Beliau yang terkenal dengan pernyataannya wie es eigentlivh gewesen menimbulkan
satu tradisi yang amat terkenal dan kuat pengaruhnya pada masa itu.[3] Aliran ini bergantung pada fakta sejarah
yang objektif dan bebas serta dapat dikaji secara saintifik dan kritis. Bagi
Ranke, matlamat pengajian sejarah adalah untuk menggambarkan kejadian seperti mana yang benar-benar berlaku
berdasarkan fakta –fakta dan dokumen-dokumen yang dikaji secara saintifik.[4]
A.
Marwick pula membahagikan makna sejarah kepada tiga tahap atau bahagian. Pertama,
sejarah merupakan konotasi tentang keseluruhan masa lalu manusia yang
sebenarnya telah berlaku. Kedua, konotasi terhadap percubaan manusia untuk
menggambarkan dan mentafsirkan masa lalu. Ketiga, sejarah adalah satu disiplin
ilmu pengetahuan yang telah mantap atau sekurang-kurangnya setanding dengan
ilmu falsafah, matematik, sains dan ilmu-ilmu lain.[5]
Sesuatu hakikat
yang menjadi renungan ialah betapa ilmu pengetahuan seperti yang berkembang
pada masa ini tidaklah muncul atau wujud begitu sahaja tanpa latar belakang
atau semangat sezaman (Zeitgeist)
yang mempengaruhinya. Sesungguhnya ilmu pengetahuan yang diwarisi kini dalam
bentuk dan wajahnya yang tertentu itu adalah hasil daripada proses sejarah yang
panjang, atau lebih tepat, hasil daripada proses sekularisasi yang traumatik.[6]
Khususnya tentang ilmu atau
pengajian sejarah juga melalui proses pembentukan dan pengukuhan dari semasa ke
semasa, berasaskan semangat, ruang, dan waktu tertentu. Ruangnya ialah dunia
barat, dan waktunya ialah sejak dari zaman klasik hinngalah ke zaman moden pada
masa ini.
ZAMAN KLASIK
Pensejarahan atau historiografi bukanlah satu bidang
yang baru dalam dunia intelektual, malahan bidang ini telah dikaji dan ditulis
oleh sejarawan Barat sejak abad kelima Sebelum Masihi (S.M.) iaitu pada zaman
Yunani dan Rom (zaman klasik). Kesedaran yang begitu mendalam terhadap sejarah masih kurang dikalangan
masyarakat Greek termasuk kurang memahami kepentingan sejarah.[7] Pada hakikatnya sejarah ilmu pengetahuan
atau sains bermula di Timur Tengah, khususnya di Sumeria (Mesopotamia) dan
Mesir. Tetapi secocok dengan prinsip kesatuan tersebut, ia berkembang
bersama-sama dengan perkembangan agama, yakni bersifat teokratik atau berunsur
mitos yang pelaku-pelaku utamanya ialah tuhan atau dewa-dewi. Sebab itulah bagi
sesetengah pengkaji, yang wujud pada mulanya ialah sifat separa-ilmu, bukannya
ilmu dalam pengertian yang sebenarnya.[8] Pada zaman klasik di barat, perkembangan
penyelidikan sejarah telah bermula. Malah, Garraghan menyamakan istilah teknik
itu dengan kaedah sejarah itu sendiri.[9]
Bidang pensejarahan memang memainkan peranan
penting untuk mengesan dan merujuk
semua peristiwa sejarah yang telah berlaku malah melaluinya jugalah kita dapat mengolah, mengupas, dan
menganalisis pemikiran ataupun idea-idea sejarah tokoh-tokoh. Dalam falsafah
Greek umumnya dan sejarah Athens khususnya, kaum Sophist [10] memainkan peranan penting.
Dari segi positifnya, sumbangan besar falsafah
Sophisme ialah membawa falsafah yang selama ini menumpukan perhatian kepada
alam kosmos itu, kini memandang manusia pula sebagai masalahnya yang utama.
Sophisme bukan sahaja mengajarkan nilai relativisme bahkan juga skeptisisme.[11] Setiap pendapat manusia hanya benar unuk
sementara dan semuanya harus disyaki kebenarannya.
Perkembangan-perkembangan
inilah yang mempengaruhi pertumbuhan penyelidikan sejarah. Antara tokoh-tokoh
yang terkemuka ialah Herodotus (484-445 S.M.). Beliau dilahir di Wilayah
Halicarnassus, empat tahun selepas berlakunya Perang Salamis di wilayah tersebut.[12]
Herodotus dikenali sebagai ‘Bapa Sejarah dan Antropologi’ telah menulis
karyanya yang terkenal iaitu Histories.
Daripada karya Histories yang membawa
penyelidikan atau penyiasatan terhadap peristiwa lalu.[13]
Melalui karya inilah sejarah Perang Parsi yang mengisahkan peperangan
antara tentera Athens dengan Parsi yang berlaku pada tahun 478 S.M., serta
dianggap sebagai peperangan antara peradaban Hellenic dan Timur dapat diungkap
semula agar tidak luput daripada ingatan manusia. Walaupun peperangan antara kedua-dua
pihak itu akhirnya dimenangi oleh
tentera Greek,[14] namun Herodotus percaya bahawa peperangan
ini bermula disebabkan pemberontakan pihak tentera Greek terhadap pemerintahan
empayar Parsi yang diperintah oleh Darius 1, disamping takdir tuhan yang telah
mengatur segala-galanya.
Dengan tujuan
merakamkan peristiwa itu, Herodotus kemudiannya menjelajah untuk menyaksikan
sendiri tempat-tempat berlakunya peperangan, serta menemubual orang-orang yang
terlibat didalamnya. Hasil
daripada penyelidikannya itu, lahirlah karyanya, Histories atau Sejarah
Perang Parsi. Atas dasar inilah beliau disifatkan oleh Cicero, penulis Rumawi
purba, sebagai Bapa Sejarah, yang juga turut diakui oleh kebanyakan sejarawan
moden.[15]
Selepas Herodotus,
Thucydides (456-396 S.M.) merupakan pengikut Herodotus yang cuba menulis tentang Perang Peloponesia. Dalam karyanya yang berjudul Peloponesian War, beliau telah memuatkan tentang asal usul perang
tersebut. Beliau bersikap
kritis terhadap sejarah dan cuba menolak sejarah yang berbentuk mitos dan
lagenda seperti yang ditulis oleh Herodotus. Jadi, beliau telah memisahkan
sejarah daripada unsur-unsur yang berkaitan dengan kepercayaan karut. Selain
itu juga, beliau berhasrat untuk memaparkan sesuatu peristiwa yang telah
berlaku itu, agar beliau tidak melakukan kesilapan yang pernah dilakukan oleh
Herodotus.[16]
Keupayaan Thucydides mencari
kebenaran sejarah berdasarkan bukti-bukti yang benar dan bersikap kritikal,
maka beliau dianggap sebagai pengasas sejarah berbentuk kritikal dan saintifik.[17] Walaupun demikian, Thucydides masih lagi
kurang dalam membuat analisis secara mendalam tentang sebab-musabab sesuatu
peristiwa berlaku.
Sepanjang
pengalamannya di Rom, beliau menyaksikan kebangkitan Empayar Rumawi yang
berjaya menakluki Itali, Greek, Carthage, dan Sepanyol. Hasilnya lahirlah
karyanya, Histories, yang terdiri
daripada 40 buah buku, yang meriwayatkan sejarah imperialisme Rumawi sepanjang
tahun 220 S.M-14 S.M. Jadi kalau sebelumnya tema penulisannya adalah tentang
bangsa Greek, kini temanya adalah tentang bangsa Rumawi. Bahkan yang lebih penting
daripada itu ialah bahawa ia tidak bercorak nasional, tetapi bercorak sejagat
(universal). Namun corak kesejagatannya adalah berunsur “ecumenical”, yakni
kesejagatan yang terpusat pada Empyar Rumawi dan wilayah-wilayah taklukannya.
Tokoh zaman
Rumawi seperti Gaius Sallustus Crispus
(87-35 S.M.) pada mulanya ialah seorang tokoh politik dan sekutu Julius Caesar,
yang pernah memegang jawatan-jawatan sebagai panglima tentera, gabenor wilayah
dan ahli senat. Tetapi kerana tuduhan-tuduhan rasuah dan berzina, beliau telah
dilucutkan kuasa dan jawatannya, dan kemudiannya menumpukan perhatian kepada
penulisan sejarah. Tema penulisannya lebih menekankan kejadian-kejadian genting
yang berlaku pada zamannya. Antara karyanya ialah Histories, yang menggambarkan sejarah Rom sepanjang tahun 78-6
S.M., The War With Catiline, tentang
konspirasi Serius Catiline pada tahun 66-62 S.M., dan War Against Jugurtha, yang menggambarkan cabaran raja Numidia
terhadap Empayar Rom pada tahun 111-105 S.M.
Tokoh seterusnya, Titus Livius
(59 S.M.-17 S.M.) dilahirkan di Padua ,
dan merupakan rakan Augustus Caesar, tetapi tidak terlibat dengan kancah
politik Rom, sebaliknya lebih berminat bersama tokoh-tokoh ilmu. Satu-satunya
karya beliau ialah History of Rome,
yang terdiri daripada 142 buku, yang mengisahkan sejarah Rom sejak
pengasasannya pada tahun 753 S.M., hingga kematian Dursus pada tahun 9 M.
Seperti Sallust, Tacitus juga memegang jawatan penting di Rom.Beliau juga
seorang tokoh pemidato yang terkemuka. Tentang sejarah Empayar Rumawi, beliau
menulis Annales dan Historiae yang meliputi tahun-tahun
14-68M. dan 69-97M. Beliau juga menulis Life
of Agricola pada tahun 97 M., iaitu
kisah bapa mertuanya yang menjadi gabenor Rom di Britain, serta Germania, yang menceritakan kebudayaan
orang-orang Jerman purba.
Sejarawan pada zaman empayar Rom itu tidak
mempunyai teknik asas yang formal dan sistematik berkaitan dengan sumber-sumber
sejarah, tetapi mereka berminat melihat nilai-nilai pragmatik sejarah sebagai
tujuan utama dalam sesuatu peristiwa sejarah yang dikajinya.[18]
Sebagaimana kerajaan Athens atau Greek, kegemilangan kerajaan Rumawi
juga tidak kekal lama, apabila pada tahun 410 M , ia diserang oleh kaum
Visigoth pimpinan Alaric, dan juga kaum Vandal pada tahun 455 M. Dan akhirnya
dengan serangan kaum Barbar dari Jerman pimpinan Odoacer pada tahun 476 M ,
lenyaplah kerajaan Rumawi Barat dari lipatan sejarah. Dengan peristiwa ini tamatlah Zaman Klasik, dan
bermulalah pula Zaman Pertengahan dalam sejarah Barat atau Eropah.
ZAMAN PERTENGAHAN
Zaman pertengahan boleh dibahagikan
kepada tiga peringkat atau tahap, iaitu zaman
pertengahan awal(500M-1050M), zaman kemuncak pertengahan (1050M-1270M)
dan zaman akhir(1270M-1520M).Zaman ini
bermula apabila orang-orang Gasar menyerang Rom .Perlu dijelaskan disini bahawa
sewaktu orang Gasar menyerang Rom,hanya
Rom Barat yang jatuh ke tangan orang Gasar, manakala Rom Timur (Byzantium) masih berdiri megah dan kekal
hingga 1453M.[19]Serangan orang Gasar menyebabkan Eropah
mengalami zaman gelap atau zaman belenggu (Dark
Age).
Hampir 500 tahun lamanya Eropah mengalami kemerosotan dalam pelbagai bidang
seperti perdagangan, pentadbiran, dan termasuk juga penyelidikan sejarah. Pendek
kata, Zaman Pertengahan Awal ialah zaman yang telah mengganggu perkembangan
pesat kemajuan manusia Zaman Klasik (Greek dan Rom). Namun, zaman ini telah
meninggalkan sumbangan berharga kepada tamadun Eropah, iaitu institusi Kristian
dan Feudalisme.[20]
Dari
segi politiknya, Zaman Pertengahan menonjolkan konflik di antara kuasa Gereja
dengan kuasa Raja. Pada peringkat awal zaman ini, persaingan kuasa dimenangi
oleh pihak Pope yang dianggap sebagai Vicar
of God itu, seperti yang terdapat dalam doktrin plenitudo potestatis.[21] Dengan monopoli kuasa oleh gereja itu bukan sahaja pihak rakyat tidak
dibenarkan mempunyai fahaman yang berbeza dengan pegangan rasmi, bahkan mereka
akan dihukum kerana perbezaan tersebut. Alat untuk melaksanakan hukuman
tersebut ialah mahkamah-mahkamah inkuisisi, yang ditubuhkan untuk mengadili
sebarang perlakuan yang dianggap menyeleweng atau sesat (heresy).
Dengan kuasa mutlak tersebut akibatnya
kemajuan agama dan ilmu menjadi terencat termasuklah penyelidikan sejarah.
Khusus dalam bidang pensejarahan, hampir tidak ada kemajuan sama sekali
sepanjang zaman ini. Kalaupun ada, ia hanyalah sekadar menyambung tradisi
pensejarahan Helen-Rumawi.
Zaman sebelum kurun kelima belas, Eropah Barat diberikan gelaran
zaman gelap oleh ahli-ahli sejarah terkemudian. Tanggapan mengenai zaman gelap
itu timbul kerana orang-orang di Eropah pada masa sebelum Rennaisanse masih
terselimut oleh nilai nilai agama dan norma-norma yang diperturunkan oleh
paderi-paderi dan gereja.[22] Kecenderungan ahli-ahli sejarah zaman
pertengahan untuk melihat masyarakat zaman pertengahan melalui kaca mata agama
adalah disebabkan oleh sifat khusus dari sumber mereka. Tidak syak lagi bahawa
gereja Kristian adalah institusi rasional zaman pertengahan.[23]
Namun, zaman pertengahan juga terdapat
perubahan kerana pada saat dunia barat mengalami kegelapan dalam bidang ilmu,
dunia Islam mengalami kecerahan yang mengagumkan sekali hingga mendorong bangsa
Eropah mendatangi dunia Islam untuk menyedut ilmu yang ada. Berkat kegigihan
mereka itu mendorong kebangkitan semula dunia Eropah.[24]
Antara perubahan pada zaman ini ialah
kemajuan perdagangan. Yang dikatakan kemajuan perdagangan itu ialah akibat
daripada pertambahan penduduk, pembukaan tanah untuk pertanian, kemunculan
pedagang dan jalinan semula hubungan Eropah dengan Laut Mediterranean yang
tertutup pada zaman gelap. Selain itu, wujud juga universiti-universiti yang
ditadbir sendiri oleh para pengajarnya yang terdiri daripada ahli gereja.[25] Perubahan ini juga membawa kepada kemunculan Rennaisance. Namun, boleh
dikatakan bahawa perubahan masyarakat Eropah pada waktu ini adalah pada Zaman Pertengahan
Akhir.
Sejarah juga dianggap penting
dan membawa kepada penyelidikan sejarah dan penghasilan buku-buku sejarah pada
zaman ini. Hal ini kerana sejarah dianggap bidang yang mempunyai kepentingan
agama dan rohani.[26] Antara sejarawan yang terkenal ialah St. Augustine
atau Aurelius Augustine yang yang merupakan seorang paderi terkenal pada zaman
pertengahan. Beliau telah menulis karya bertajuk City of God sebagai balasan kepada konflik yang berlaku antara
orang Pagan dengan orang Kristian. Orang Pagan menuduh orang Kristian yang
menyembah tuhan secara total telah menyebabkan keadaan negara menjadi tenat.
Dalam karyanya itu beliau telah menolak dakwaan tersebut dan
mengkritik bukan sahaja institusi kerajaan malah empayar Rom yang berasa di
bawah pemerintahan Constantine
dan Theodosius. Augustine
mengharapkan agar pemerintahan dapat dijalankan secara adil dan saksama dengan
mengabdikan diri kepada tuhan yang agung.[27] Beliau juga menyifatkan sejarah sebagai
pertentangan di antara Bandar dewa-dewa dan Bandar-bandar Iblis. Karya ini juga
turut menggambarkan sejarah manusia sebagai perjuangan antara kerajaan tuhan (civitas Dei) dengan kerajaan dunia.[28]
Tidak timbul, yakni sejak runtuhnya kerajaan Romawi –Yunani dan
terbentuknya empayar Romawi yang suci, akan persoalan-persoalan yang mendalam
mengenai nilai-nilai kebendaan.[29]Jadi boleh dikatakan bahawa matlamat utama karya City of God ini ditulis adalah untuk menentang
masyarakat daripada menyembah banyak tuhan berjaya membawa kembali masyarakat
kepada tuhan yang satu.[30]
Karya ini dianggap karya yang masyhur pada ketika itu sehingga mempengaruhi
pemikiran ramai sejarawan selepasnya seperti Eusebius, Phampilus, dan Paulus
Orasius.
Eusebius
adalah seorang biskup yang berasal dari Palestine. Atas dorongan
rakan-rakannya, seperti Origen dan Pamphilus, serta mengambil sempena dasar
maharaja Constantine yang meletakkan agama Kristian secara terhormat,beliau
muncul sebagai bapa dalam penulisan sejarah Gereja (Church History). Antara karyanya ialah Chronography, iaitu suatu kronologi sejarah bangsa dan tamadun
purba, serta tokoh-tokoh yang terdapat dalam Perjanjian Lama, Ecclesitical History, yang menggalurkan kejadian-kejadian penting
dalam sejarah gereja, serta riwayat hidup Costantine sebagai penaung (patron) yang
menggalakkan perkembangan Kristian.
Selain itu,
St.Isidore, seorang biskup di Sepanyol banyak berusaha mengukuhkan kedudukan
gereja di Sepanyol dan menarik orang-orang Yahudi kepada agama Kristian. Beliau menulis karya yang berkisarkan
kehidupan tokoh-tokoh agama Kristian. Antara tokoh zaman Kristian yang lain
ialah St.Gregory. Beliau ialah seorang paderi di Tours, Perancis pada tahun
573M. Bukunya, History of the Frank,
cuba meninjau tentang sejarah awal orang-orang
Frank dan kisah Raja Clovis yang memeluk Kristian.
Antara tokoh yang lain juga ialah Venerable
Bede. Beliau lahir di Monwermouth, England dan turut menulis buku sejarah
gereja di England dan menulis buku biografi seorang tokoh mubaligh, The Life of St.Cuthbert, di samping
memperkemaskan kronologi Kristian.
Zaman ini juga dipengaruhi oleh pandangan
hidup yang bercorak ketuhanan (God-centered),
namun dengan peralihan kepada zaman moden, ia lebih memberi tumpuan kepada
persoalan kemanusiaan (Man-centered).
Dengan kemunculan zaman pertengahan ini yang didominasikan oleh agama Kristian,
konsep perbezaan yang tumbuh sebelumnya diganti oleh pandangan dunia (world view) yang berasaskan konsep
kesatuan manusia (unity of man).[31]
Dengan kebangkitan zaman Rennaisanse pada abad
pada abad-abad ke-13 dan 14, timbullah semula keghairahan ke arah menghidupkan
warisan klasik yang dianggap lebih unggul. Karya berbentuk epik Kristian ini
telah dapat bertahan sehingga abad ke-17. Daripada karya mereka itu, maka telah
dapat dibuktikan bahawa wujudnya penulisan dan penyelidikan sejarah pada zaman
pertengahan walaupun karya itu berbentuk teologi.[32]
Terdapat sedikit perbezaan pensejarahan antara
zaman klasik dengan zaman pertengahan terutama dari segi kualiti dan tema. Di
samping kualiti pensejarahannya yang telah bertambah baik berbanding zaman
sebelumnya, tema sejarah pada zaman pertengahan lebih berbentuk keagamaan
Kristian atau falsafah Kristian (teologi). Hal ini kerana agama Kristian telah
menjadi agama rasmi kerajaan Rom setelah maharaja Constantine memeluk agama
Kristian, ditambahkan pula kebanyakan karya yang dihasilkan oleh pederi-pederi
bersumberkan kitab Bible.[33]
ZAMAN MODEN
Kemunculan
Zaman Moden di Eropah memang berkait rapat dengan faktor luaran,iaitu adanya
kontak dengan dunia Islam, baik secara langsung mahupun tidak langsung.[34]
Tetapi factor yang sebenarnya mendorong kebangkitan semula Eropah ialah masalah
dalaman sendiri, iaitu tekanan gereja dalam pelbagai rupa dan bentuknya,
terutamanya terhadap golongan sarjana dan ahli sains. Setelah menyaksikan
keghairahan umat Islam menghidupkan ilmu pengetahuan, termasuk dari warisan
Barat (Greek dan Roman) sendiri, maka timbullah semangat untuk mencapai
kemajuan yang sama. Dengan itu timbullah gerakan Renaissance, yang disebut juga
gerakan Klasisme atau Antiquarianisme. Pada hakikatnya gerakan
Renaissance yang bermula di Itali
sekitar abad ke-14 dan 15 itu adalah langkah pertama ke arah proses
sekularisasi ilmu dan kehidupan disamping permulaan kepada zaman moden. Kalau
sebelumnya pada zaman pertengahan ia dipengaruhi oleh pandangan hidup yang
bercorak ketuhanan (God-centred),
kini ia lebih memberi tumpuan kepada persoalan kemanusiaan (Man-centerd). Ciri-ciri zaman Moden ini
telah memungkinkan zaman ini menyumbangkan pelbagai kemajuan khususnya dalam bidang
politik, ekonomi, dan sosial.
POLITIK
Dari segi politik, telah
muncul penulis yang telah menulis buku-buku yang menyarankan system politik
paling ideal bagi Negara Itali.[35]
Tokoh yang terkenal ialah Niccolo Machiavelli menerusi bukunya The Prince.[36]
Melalui buku ini beliau telah mnggalurkan cara-cara bagaimana seorang
pemerintah boleh memiliki, mengekal, dan meningkatkan kekuasaan. Ia secara
tidak langsung menjadi kitab teori politik bagi para pemerintah Eropah. Selain
daripada Machiavelli, Rene Descartes menerusi bukunya Discourse On Method secara tidak langsung telah menghasilkan karya
teologi yang unggul. Falsafah beliau menjadi asas kepada hukum logik yang
kemudiannya menyedarkan masyarakat untuk berfikir secara bernas dalam
mempersoalkan keadaan persekitaran mereka. Perubahan yang nyata hasil Renaissance
ialah kemerosotan sistem feudalisme dan permulaan kemunculan negara bangsa.
Kemungkinan untuk perubahan ini mengambil tempat adalah disebabkan fahaman
kebendaan yang membanjiri Eropah, kemunculan bandar-bandar baru, kemasukan
idea-idea baru dari luar dan perubahan lain yang menyusulinya. Ini telah
mendorong tuan-tuan tanah dan raja-raja negara bangsa merebut kekayaan.
Pada zaman Pertengahan, manusia melihat diri
mereka sebagai petani, pahlawan dan rahib. Pada zaman ini, mereka mula melihat
diri mereka sebagai orang Inggeris, Perancis atau Belanda. Dengan pertumbuhan
semangat kebangsaan, kedudukan raja mula meningkat dari segi kepentingan. Raja
mula menjadi simbol kemegahan dan kemewahan negara. Nasionalisme terbukti
berfaedah untuk melemahkan feudalisme.[37]
Keadaan ini juga dibantu oleh para penulis politik zaman berkenaan . Buku The Prince, karangan Machiavelli
menyarankan cara bagaimana seorang raja harus mengekalkan kuasa. Menurutnya
kerajaan adalah matlamat raja. Jika raja mendapati kedudukannya tergugat disebabkan
seorang penasihatnya yang tidak jujur, raja harus mengorbankannya untuk
kepentingan sendiri.
EKONOMI
Dari segi ekonomi, perdagangan
berkembang pesat dan bandar di bahagian utara Itali seperti Milan, Genoa, dan
Florence mula berfungsi sebagai pusat politik, ekonomi dan social.[38]
Florence berkembang menjadi tempat tinggal para pedagang dan antara yang
terkenalnya ialah keluarga Medici. Keluarga ini meraih kekayaan daripada
perdagangan kain bulu, kemudian menceburi perbankan dan muncul sebagai golongan
kelas pemerintah
Perkembangan ini telah mula
mengubah sikap manusia dan telah membuka jalan kepada beberapa perubahan besar
di Eropah. Antaranya ialah kemunculan negara bangsa. Pembentukan negara bangsa
dibantu oleh perkembangan bahasa kebangsaan. Pada masa ini, buku-buku telah
ditulis bukan dalam bahasa Latin tetapi dalam bahasa pertuturan masyarakat
masing-masing. Raja-raja bangsa menggalakkan perkembangan Kapitalisme dan
mengamalkan suatu dasar ekonomi yang dikenali sebagai Merkantilisme.[39]
Gabungan kapitalisme dan merkantilisme membantu perkembangan Revolusi
Perdagangan.
SOSIAL
Perubahan paling ketara ialah
dalam bidang sosial. Berlaku kemajuan yang pesat dalam penulisan, seni lukis,
seni ukir, seni bina, dan sebagainya.
Dalam penulisan, banyak karya-karya falsafah dan sejarah telah dihasilkan.
Sebagai contoh, Leopold von Ranke telah menulis karyanya yang pertama iaitu Histories of the Latin and Germanic Nations
from 1494-1514, telah mendapat pengiktirafan daripada ramai sejarawan
sebagai sumbangan yang dianggap agung dan bermakna dalam disiplin sejarah.
Beliau telah membawa era baru dalm bidang penyelidikan sejarah sehingga
dianggap sebagai pengasas pensejarahan Jerman.[40]
Kelahiran tokoh-tokoh penyelidikan sejarah amat memainkan peranan dalam
perkembangan penyelidikan sejarah. Sebagai contoh, Niebuhr, Leopold von Ranke,
Karl Marx dan sebagainya. Penemuan mesin cetak oleh Johanes Guttenberg pada
tahun 1470 telah membantu penerbitan dan pengedaran buku penyelidikan sejarah
secara meluas di Eropah. Buku menjadi perlu pada zaman ini kerana golongan
pertengahan bandar rata-rata membaca, menulis dan mengira dalam usaha untuk
mengurus perniagaan dan hal ehwal bandar.
Penduduk Eropah mengalu-alukan
kedatangan para pengkaji Greek yang lari bersama manuskrip dan hasil pelajaran
mereka di Turki. Ramai penulis terkenal telah lahir pada zaman ini. Antara
mereka ialah Niccolo Machiavelli, Erasmus, Thomas More dan lain-lain. Penulisan
mereka meliputi pelbagai aspek. Sebagai contoh, Mostesquieu (1689-1755) melalui
karyanya The Spirit of the Laws (1748),
telah menekankan bahawa betapa sejarah manusia tidak dapat dipisahkan sama
sekali denagna faktor alam, seumpama keadaan geografi dan iklim.
KELAHIRAN GOLONGAN BARU
Sekiranya pada peringkat
awalnya aliran humanisme masih dipengaruhi agama (Christian humanism), kemudiannya
telah timbul corak humanisme secular.
Sungguhpun demikian, kontrovesi lama antara aliran rasionalisme dengan
empirisisme bergema semula.[41]
Bermula dengan gagasan rasionalisme oleh Descartes (1596-1650) yang juga
melahirkan aliran skepticism, muncullah para pendukungnya yang terkemuka
seperti Spinoza (1632-1677) dan Leibniz (1646-1716).
Di samping itu, terdapat
golongan idealis yang bersifat sintesis antara rasionalisme dan empirisisme.
Antara tokoh yang terkemuka ialah Immanuel Kant (1724-1804). Dengan lahirnya
golongan baru ini,maka kewujudan golongan fhilosophy yang memberikan impak yang
besar dalam penyelidikan sejarah. Sebagai contoh, Karl Marx ( 1818-1883) telah
menulis karya Das Capital yang
terkenal dengan konsep sejarah kebendaan yang menekankan faktor ekonomi sebagai
asas hidup.
Pada awal abad ke-19, ramai
sejarawan mula melakukan penyelidikan dengan menggunakan kaedah moden dan
kemudiannya mengambil idea baru bagi menyelesaikan masalah-masalah yang mereka
hadapi. Mereka telah membahagikan beberapa sejarah kepada pelbagai bidang dan
menekankan fakta-fakta serta bukti-bukti yang bersifat objektif. Pada zaman ini
juga dapat dilihat munculnya kajian sejarah moden sehingga menjadi suatu
disiplin akademik, bermula di Jabatan Sejarah, Universiti Gottingen. Di sini,
sejarawan mula menekankan bukti-bukti yang kukuh dan asas-asas sejarah bagi
memenuhi keperluan sejarah sebagai disiplin akademik yang baru. Malah di sini
jugalah asas-asas pengkaedahan telah mendapat tempat bagi membentuk struktur
histiografi.
Sejarawan ini telah merangkumkan satu bidang
yang luas antara bidang falsafah sejarah dengan kemahiran teknikal golongan
terpelajar dan juga tokoh yang dilatih dalam kritikan sumber.[42]
Selain itu juga, sejarawan turut mengasimilasikan ilmu sejarah dengan ilmu-ilmu
bantu yang lain seperti diplomatik, geneologi, geografi, dan pengajian terhadap
dokumen dalam memberi latihan kepada pelajar sejarah.. Antara tokoh terkemuka dalam bidang
penyelidikan sejarah ialah Leopold von Ranke.
Leopold von Ranke
Beliau mendapat pendidikan
peringkat awalnya dalam bidang teologi dan filologi klasik di Universiti
Leipzig. Beliau dikatakan tidak berminat dengan sejarah pada ketika itu.
Setelah beliau membaca karya Niebuhr iaitu History
of Rome, beliau telah menukar bidang filologinya ke bidang sejarah.
Sepanjang hayatnya selama 90 tahun, beliau telah menerbitkan 60 jilid karya.
Karyanya yang pertama iaitu Histories of
the Latin and Germanic Nations
from 1494-1514, dianggap sebagai sumbangan yang dianggap agung dan bermakna
dalam disiplin sejarah. Beliau telah membawa era baru dalam pensejarahan
sehingga dianggap sebagai pengasas pensejarahan Jerman dan dikenali sebagai
“bapa pensejarahan moden”. Ranke cuba membuat penyelidikan berdasarkan kaedah
baru dengan menggunakan fakta-fakta yang benar bagi menunjukkan bahawa
penulisannya berbeza daripada penulisan sejarah sebelumnya.[43]
Beliau telah memperkenalkan asas teknik penyelidikan dan kaedah serta latihan
yang sesuai bagi tenaga pengajar yang menjadi sejarawan di semua universiti di
Jerman. Hal ini kerana beliau tidak berpuas hati dengan sesetengah sejarawan
sebelumnya yang menulis sejarah dengan memasukkan segala perkara ghaib, dan
fiksyen sehingga mencacatkan sejarah yang sebenarnya.
KESIMPULAN
Jika ditinjau semula
karya-karya pensejarahan pada zaman tradisional,didapati banyak aspek dalam
pensejarahan tersebut ditinggalkan oleh sejarawan moden sehingga aspek-aspek
tersebut terputus (terpisah) dan tidak diteruskan oleh mereka. Jika dilihat
dari faktor zaman, kita dapat saksikan bahawa perkembangan sains dan teknologi,
maka semakin banyak karya ‘sejarah baru’ dihasilkan. Keadaan ini telah bermula
di Universiti Gottingen, Jerman pada awal abad ke-19 apabila universiti itu
telah melahirkan ramai sejarawan yang mula menjadikan sejarah sebagai disiplin
akademik di samping memperkenalkan kaedah-kaedah moden bidang sejarah.
Selain itu, ahli sarjana seperti Leopold von
Ranke telah melahirkan sejarah yang bersifat saintifik dan kritis sehingga
sejarah menjadi ‘ilmu baru’ yang terpisah daripada ilmu-ilmu lain. Aspirasi
Ranke ini kemudiannya diteruskan oleh pengikutnya di serata dunia. Kemudian di
Perancis pada tahun 1929, muncul dan berkembangnya karya-karya yang menekankan
bukan sahaja karya yang bertemakan politik, malah juga ekonomi dan sosial.
Faktor kedua ialah faktor yang
melibatkan perkembangan kaedah dan teknik baru
dalam pengkajian sejarah. Proses penyelidikan ini lebih menekankan
penggunaan sumber primer (manuskrip, cetakan,dokumen,dan lain-lain) dan sumber
sekunder (buku, rencana, artikel, surat khabar dan lain-lain) telah
diperkenalkan. Hal ini berbeza dengan zaman sebelumnya,yang tidak mementingkan
sumber dan bukti. Di samping itu juga, penggunaan kaedah kuantifikasi yang
merupakan kaedah baru dalam metodologi sejarah terutamanya dalam sejarah
ekonomi merupakan faktor perkembangan penyelidikan sejarah dari zaman klasik
hingga zaman moden.
BIBLIOGRAFI
Abdul Rahman Haji Abdullah, 1994.
Pengantar Ilmu Sejarah. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka bersama Pusat Pengajian Luar Kampus USM.
Arbai’yah
Mohd Noor, 2002. Ilmu Sejarah dan
Pensejarahan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
Carr
E.H, 1984. Apakah Sejarah. Terjemahan
Abdul Rahman Hj. Ismail. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
H. Butterfield, 1995. Man on His Past: The Study of the History
of Historical Scolarship. Cambridge: Cambridge University Press.
Hans
Meyerhoff, 1959. The Philosophy in Our Time.New York: Double
Day Anchor Books
Loh
Wail Eng, 1994. Sejarah Baru dan Sejarah
Ekonomi dalam Penulisan Sejarah Malaysia: Kertas Kerja Konvensyen
Kebangsaan Malaysia.
Mohd
Yusof Ibrahim, 1975. Pengertian Sejarah. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Suntharalingam
R, 1993. Pensejarahan barat. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Sivachandralingam
Sundara Raja, 2002. Sejarah Eropah. Kuala
Lumpur: Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd.
[1] Abdul Rahman Haji Abdullah, Pengantar
Ilmu Sejarah, Pulau Pinang: Penerbit Bersama Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala
Lumpur dan Pusat Pengajian Luar Kampus Universiti Sains Malaysia , 1994, hlm. 23.
[2] Arbai’yah Mohd Noor, Ilmu Sejarah dan Pensejarahan,
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2002, hlm. 5.
[3] Mohd Yusof Ibrahim, Pengertian Sejarah, Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1975,
hlm. 1.
[4] Abdul Rahman Haji Abdullah, Pengantar Ilmu Sejarah, Pulau Pinang :
Penerbit Bersama Dewan Bahasa dan Pustaka dan Pusat Pengajian Luar Kampus
Universiti Sains Malaysia, 1994, hlm. 23.
[5] Arbai’yah Mohd Noor, Ilmu Sejarah dan Pensejarahan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka, 2002, hlm. 5.
[6] Abdul Rahman Haji Abdullah,
Pengantar Ilmu Sejarah, hlm. 1.
[7] Hans Meyerhoff, (ed.), The
Philosophy in Our Times, New York :
Double Day Anchor Books:1959,
hlm. 1.
[8] Abdul Rahman Haji Abdullah, Pengantar
Ilmu Sejarah, Penerbit Bersama Dewan
Bahasa dan Pustaka dan Pusat Pengajian Luar Kampus Universiti Sains Malaysia
:1994, hlm. 2.
[9] G.J. Garraghan, A Guide to
Historical Method, hlm. 33.
[10] Dengan kemenangan Greek ke atas Parsi menyebabkan berduyun-duyun
rakyat dunia Greek mengambil kesempatan bertumpu ke Athens . Antara mereka termasuklah golongan
Sophist yang datang untuk menjual ilmunya bagi mereka yang sanggup membayar,
padahal selama ini pengajaran ilmu dijalankan dengan ikhlas tanpa sebarang
ganjaran. Sebagai golongan opportunis, mereka hamya muncul pada zaman
kemakmuran sahaja, oleh kerana pada zaman inilah orang dapat membeli ilmu
mereka. Lihat Abdul Rahman Haji Abdullah,
Pengantar Ilmu Sejarah, hlm. 3.
[11] Skeptisisme bermaksud sikap sangsi, syak, atau ragu - ragu
[12] Robert Maynard Hutchins (ed.), “The Texts of Herodotus, Thucydides:
The History of The Peloponesian War”
dlm. Great Books of Western World. London : The University
of Chicago , 1988, hlm.
Ix.
[13] Barnes H.E., History of
Historical Writing, New York :
Dover Publications, hlm. 20-30. Lihat juga Muhd Yusof Ibrahim,
Aspek dan Perkembangan Falsafah
Sejarah Dunia Barat, Kuala Lumpur :
Dewan Bahasa dan Pustaka, 1991, hlm. 3.
[14] Weech, W.N. (ed.), Sejarah
Dunia: Jilid 1, Kuala Lumpur :
Dewan Bahasa dan Pustaka, 1976, hlm. 180-181.
[15] Abdul Rahman Haji Abdullah, Pengantar
Ilmu Sejarah, Pulau Pinang: Penerbit
Bersama Dewan Bahasa dan Pustaka dan Pusat Pengajian Luar Kampus Universiti
Sains Malaysia ,
1994, hlm. 135.
[16] R.Suntharalingam, Pensejarahan
Barat, Kuala Lumpur: Fajar Bakti, 1993,
hlm. 13-17.
[17] Barnes H.E., History of
Historical Writing, New York :
Dover Publications, hlm . 30.
[18] R.Suntharalingam, Pensejarahan Barat, Kuala Lumpur: Fajar Bakti, 1994, hlm. 44.
[19] Sivachndralingam Sundara Raja, Sejarah
Eropah, Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd, 2002,
hlm. 61.
[21]Abdul Rahman Haji Abdullah, Pengantar Ilmu Sejarah, Penerbit Bersama Dewan Bahasa dan Pustaka,
Kuala Lumpur,Pusat Pengajian Luar Kampus Universiti Sains Malaysia,Pulau
Pinang, hal.7
[22] Muhd Yusof Ibrahim, Pengertian Sejarah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka,
1975, hlm. 54.
[23] Carr E.H,
Apakah Sejarah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka,
1988, hlm.164.
[24] Abd Rahman Haji Abdullah, Pengantar Ilmu Sejarah, hlm.10.
[25] Sivachandralingam Sundara Raja, Sejarah Eropah, hlm. 61.
[26] Arba’iyah Mohd Noor , lmu
Sejarah dan Pensejarahan, Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka, 2002,
hlm. 74.
[28] Abd Rahman Haji Abdullah, Pengantar Ilmu Sejarah, hlm. 139.
[29] Muhd Yusof Ibrahim, Pengertian Sejarah, hlm. 54.
[30] Arbai’yah Mohd Noor, Ilmu Sejarah dan Pensejarahan,
hlm. 75.
[31] Abdul Rahman Haji Abdullah, Pengantar Ilmu Sejarah, hlm. 94.
[32] Arbai’yah Mohd Noor, Ilmu Sejarah dan Pensejarahan,
hlm.75.
[34] Abdul Rahman Haji Abdullah, Pengantar Ilmu Sejarah, hlm. 164.
[35] Sivachandralingam Sundara Raja, Sejarah Eropah, Kuala Lumpur: Penerbit
Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd, 2002.
[36] Machiavelli pernah memegang jawatan sebagai canselor kedua dan juga
setiausaha kepada Majlis Sepuluh di Florence. Tetapi dengan kebangkitan kuasa
Medici, beliau terlucut daripada jawatannya, dan menumpukan perhatiannya kepada
bidang penulisan. Dengan tujuan untuk mendapatkan kembali kepercayaan daripada
keluarga Medici, lalu ditulisnya karyanya yang terkenal, The Prince, pada tahun 1513. Melalui buku inilah terkenalnya
prinsip realpolitik iaitu “the end justifies the means”. Bagaimanapun prinsip
menghallkan setiap cara untuk mencapai matlamat ini hanya berlaku pada sesebuah
negara yang rakyatnya mengamalkan rasuah. Bagi sesebuah tempat yang rakyatnya
baik belaka, Machiavelli menyarankan supaya kuasa harus diperolehi melalui
persetujuan rakyat. Malangnya saranan ini tidak dikenali berabnding denganm
prinsip realpolitik. Selain buku-buku tersebut, Machiavelli juga menulis Florentine History dan Art of War. Keterangan lanjut sila lihat Pengantar Ilmu Sejarah, Abdul Rahman
Haji Abdullah, hlm. 144-145.
[37] Feudalisme adalah suatu bentuk kerajaan yang terbentuk di Eropah
Barat pada abad ke-9 Masihi, selepas pemecahan Empayar Charlemagne dan
berlanjutan sehingga abad ke-13 Masihi. Sistem pemerintahan ini wujud apabila kuasa
kerajaan jatuh ke tangan orang persendirian. Sivachandralingam Raja,
Sejarah Eropah, Kuala Lumpur: Penerbit Utusan Publication & Distributors
Sdn. Bhd. 2002.
[38] Sivachandralingam Sundara Raja, Sejarah
Eropah, Kuala Lumpur: Penerbit Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd, 2002.
[39] Kapitalisme adalah system yang menggalakkan pengumpulan modal, hak
milik persendirian,persaingan untuk pasaran dan perniagaan untuk keuntungan.
Merkantilisme merupakan system yang menjadikan negara kaya dan berkuasa. Lihat
Sivachandralingam Sundara Raja, Sejarah
Eropah, Kuala Lumpur :
Penerbit Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd., 2002.
[40] Suntharalingam, R.,
Pensejarahan Barat, Petaling Jaya: Fajar Bakti, 1987, hlm. 95.
[41] Rasionalisme adalah teori pengetahuan melalui sumber akal manakala
empirisisme adalah teori pengetahuan melalui
sumber pancaindera. Abdul Rahman Haji Abdullah, Pengantar Ilmu Sejarah,hlm. 160-162.
[42] Butterfield, H., 1955. Man on
His Past: The Study of the History
of Historical Scholarship. Cambridge : Cambridge
University Press, hlmn. 5 dan 43-44.
[43] Abdul Rahman Haji Abdullah, Pengantar
Ilmu Sejarah, hlm. 151.
very good and useful information about zaman tiga fasa zaman eropah ni. glad to found your blog. thanks :)
ReplyDelete